Monday, 2 December 2013

Akhirnya Kazim Isytihar Keluar PAS Juga


Ada jugalah orang PAS yang gelak dengan keputusan Kazim Elias isytihar keluar dari PAS walaupun secara rasminya, Kazim telah dipecat dari PAS pada 21 Mei 2011 dalam satu usul yang dibuat oleh Dewan Muktamar PAS.

Aku sebenarnya tak gembira langsung dengan perkembangan ini. Bukanlah kerana aku sayang sangat dengan Umno atau Kazim Elias. Tapi aku melihat perbuatan dan perangai orang kita sendiri, aku rasa terlalu bodoh dan membodohkan!

Bila Ketua Pemuda PAS Perak menyatakan yang Kazim masih lagi ahli PAS dan masih aktif serta berdaftar menerusi PAS Tambun, aku dah nampak dah, ini peluru baik untuk Umno menghentam PAS.

Kita ni macam lalang. Sekejap kita buat perangai bodoh sombong. Sekejap kita buat perangai sombong tetapi terlalu banyak sangat kita buat perangai bodoh.

Kalau dah Umno tawarkan tempat untuk orang kita dalam parti yang dah nyanyuk tu, biarkan sajalah. Buat apa kita nak bising-bising. Kita senyap dan tunggu kelebihan yang akan datang kepada kita. Rezeki yang menggolek, kita nak buat jadi rezeki yang tersepak. Kesudahannya, ahli-ahli sendiri pandang kepimpinan sebagai kepimpinan yang politiknya hanya bersendikan PKR dan DAP. Apa-apa sahaja yang PKR dan DAP kata, kita akan turut dan angguk. Otak kita semuanya duduk dalam kepala PKR dan DAP. Kita tak ada otak dan kita tak ada pendirian langsung.

Kes Kazim pun serupa jugalah. Kita nak berlagak pandai sangat. Mujur jugalah kita tak macam PKR dan Anwar Ibrahim yang bila dah tak ada alasan, kita akan kata orang macam Kazim Elias tu sebenarnya tak diperlukan oleh parti atau dia tidak pernah jadi ahli langsung.

Patutnya kita diam-diamkan sahaja dan tak perlu memberikan reaksi yang kita dah cemas. Biarkan seberapa ramai pun Umno nak lantik orang kita sebagai pemimpin mereka. Kita kena ingat, kita menang 21 Kerusi Parlimen masa PRU13 lalu pun bukan sebab undi orang kita sangat, tapi undi daripada orang Umno, terutama sekali orang Umno yang dah kecewa.

Kalau Anwar Ibrahim boleh letakkan konco-konco dan talibarutnya dalam PAS bermula dengan bekas Setiausaha Agung PAS, Kamaruddin Jaafar, apa masalahnya kalau kita letakkan dan tanamkan orang-orang kita dalam Umno seperti Ustaz Nasha dan Ustaz Kazim Elias.

Jadi, taklah kita rugi banyak sangat. Lagipun, pusing kut mana pun, Umno adalah parti pemerintah berbanding PKR dengan Ketua Umumnya duk perasan dan berangan-angan nak jadi Perdana Menteri tapi tetap tak jadi-jadi juga. Apa ruginya kalau orang kita ada dalam parti yang sedang memerintah negara? Sekurang-kurangnya dapat juga pengalaman selain persediaan untuk kita pula mengambilalih Putrajaya suatu hari nanti... INSYA-ALLAH

Malangnya pemimpin-pemimpin yang kita lantik, harap serban sahaja besar, tapi otak hanya sebesar biji kacang tanah.

Sunday, 1 December 2013

PAS Tidak Akan Berkembang Bersama PKR-DAP Sampai Bila-Bila

Masa Muktamar, aku berjumpa dengan beberapa orang kawan lama yang pernah berceramah ke sana ke mari menggunakan van Nissan LiteAce warna putih dan beberapa kali juga pernah rosak ketika mendaki Bukit Berapit ketika cuba mengelak dari membayar tol. Nissan LiteAce itu jugalah yang membawa kami ke Pulau Melaka, Marang mahupun ke Sala, malah ke Kampung Bukit Tungku rumah Al-Fadhil Ustaz Ahmad Awang dan dilanggar dari belakang oleh kereta anak lelaki sulungnya, Daihatsu Charade warna kelabu.

Sebut saja mana tempat kami tak pergi dengan van buruk itu. Sebut sahaja, mana pekarangan masjid yang tidak disinggahi oleh van buruk itu setiap kali ada program parti yang memerlukan sokongan kehadiran.

Semua perjalanan itu menggunakan wang sendiri. Tak seduit pun datang dari pemimpin. Kami semua diajar dan ditarbiyah agar berkorban untuk Islam dengan memenangkan PAS kerana PAS saja yang boleh membela dan mengangkat Islam di negara ini.

Kami betul-betul percaya dengan apa yang diberitahu kepada kami walaupun beberapa persoalan kami timbulkan terutama sekali yang membabitkan kutipan derma yang hilang begitu sahaja, tidak pernah dijawab oleh pemimpin-pemimpin parti. Bila nak dibangkitkan dalam muktamar atau mesyuarat, akan adalah mulut-mulut yang menegah dan memberitahu bahawa kita seharusnya mengamalkan sikap wala' dan menerima kethiqahan pemimpin kita.

Masa tu, kita bergerak sendiri semuanya. Ahli-ahli parti komited dan tidak meletakkan sebarang kepentingan peribadi. Tidak menghairankan apabila ramai yang menolak apabila diberikan tanggungjawab kerana sedar bahawa tanggungjawab adalah amanah dan kegagalan menunaikan amanah akan mengakibatkan kita bersoal jawab di hadapan Rabbul Jalil nanti.

Sekarang, keadaan sudah berubah sama sekali. Kalau dulu, PAS hanyalah dianggotai jemaah kampung yang berfikiran jumud, sukar berubah dan menerima setiap ajaran tanpa sebarang bersoal jawab kerana percaya kepada kethiqahan ustaz-ustaz yang mengajar, sekarang ini parti dibarisi ramai golongan profesional yang mempunyai gelaran Dr. Ir, dan sebagainya. Dulu, PAS tak banyak songeh dan kontroversinya tapi sekarang, dengan Umno pun dah tak boleh nak beza.

Timbalan Presiden PAS, Abang Mat kata PAS tak boleh bersendirian. Segeralah Lim Kit Siang menyokong kenyataan Abang Mat yang aku percaya, kenyataan itu sebenarnya disuruh oleh Kit Siang dan DAP. Abang Mat takkan pandai bercakap kalau Kit Siang dan DAP tak suruh.

Sebelum tahun 2008, PAS bergerak sendirian. Anwar Ibrahim dulu pun pujuk dan mengurat PAS sebelum berjaya perdaya Allahyarham Ustaz Fadhil pada tahun 1999. Masa tu, PAS tak ada pun connection dengan DAP. DAP yang terhegeh-hegeh nak kat PAS sebab nakkan sokongan serta undi Melayu.

Pilihanraya tahun 1999, kita berjaya dapat 27 kerusi berbanding 7 sebelum itu. Jumlah terbanyak yang kita pernah dapat. PKR cuma dapat 5 dan DAP dapat 10 Kerusi Parlimen. Bila kita bergabung dengan PKR dan DAP secara rasmi pada tahun 2004, kita cuma dapat balik 7 Kerusi Parlimen tapi DAP bertambah jadi 12 Kerusi manakala PKR pula tinggal 1.

Tidak ada sebarang petunjuk yang mengatakan bahawa kita tidak boleh bergerak secara bersendirian seperti yang didakwa oleh Abang Mat dan disokong pula oleh DAP. Aku sentiasa percaya, DAP dan PKR jadi kuat kerana PAS bukan kerana mereka sendiri. Kalau nak harapkan undi Cina semata-mata, aku tak fikir DAP boleh jadi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, taiko besar di Perak, Sarawak, Negeri Sembilan dan Selangor.

Sedangkan kita pula, selepas tiga PRU kita lalui dengan menerusi penggabungan dengan PKR dan DAP, kita tidak berkembang atau bertambah kuat. Sebaliknya kita pula sentiasa jadi pak turut dan kekuatan kita sebenarnya lebih kepada ilusi, bukannya solid.

PRU13 yang lalu dah buktikan bahawa kita memang rugi besar kerana bergabung dengan PKR dan DAP. Suara dari akar umbi ialah, PAS perlu keluar dari gabungan Pakatan Rakyat dan bergerak sendiri. Sebab utamanya, PAS lebih rugi kerana terpaksa menyerahkan banyak kerusi kepada PKR dan DAP berbanding mereka menyerahkan kerusi untuk ditandingi oleh PAS.

Nak tengok bukti bukannya susah sangat. Pilihanraya Negeri Sarawak akan dilangsungkan sekurang-kurangnya dua tahun lagi. Kita tengok sendirilah nanti macam mana kita akan ditekan terutamanya oleh PKR dan akhirnya kita hanya sekadar jadi tukang sorak untuk mereka berbanding untuk kita sendiri.




PAS Kena Berbangga Kerana Akhirnya UMNO Pandang Juga Pentingnya Orang Agama!

Aku tertarik tentang isu Kazim Elias masuk Umno atau menerima perlantikan sebagai anggota MT Umno. Setahu aku, Kazim Elias telah dipecat dalam satu Muktamar Dewan Ulama PAS pada 21 Mei 2011 menerusi desakan Setiausaha Dewan Ulama PAS Perak waktu itu, Azli Musa atau lebih dikenali sebagai Azli Taliban.

Kazim Elias dipecat dan disingkirkan dari PAS sebab dia menentang keras gabungan PAS dengan PKR dan DAP. Kazim Elias merupakan adik kepada ADUN Batu Kurau waktu itu, Najmuddin Elias mewakili Umno yang sekarang ini merupakan Pegawai Agama di Pejabat Menteri Besar Zambry Metalik.

Jadi bila Dr. Ahmad Iskandar Al-Hiss yang juga Ketua Pemuda PAS Perak memberitahu bahawa Kazim masih ahli PAS, aku agak musykil jugalah. Adakah Dr. Ahmad Iskandar Al-Hiss mahu menafikan keputusan yang telah dibuat oleh Dewan Ulama PAS Pusat pada Mei 2011 dulu?

Tapi bagi akulah, walaupun Kazim masih ahli PAS sekalipun, apa masalahnya dia dilantik sebagai anggota MT Umno? Baik Umno mahupun PAS, bukannya agama atau akidah yang tidak boleh ditukar ganti sesuka hati. Setakat ahli PAS dilantik jadi MT Umno, apa masalahnya?

Takkanlah Kazim Elias dah jadi murtad dan terkeluar dari Islam sebab terima jawatan itu? Takkanlah akidahnya terganggu kerana jadi pemimpin Umno? Ada dalil dan nas, ijma' atau qias yang bersangkutan tak untuk menegakkan hujah yang Kazim bukan lagi beragama Islam sebab dia jadi anggota MT Umno?

Jangan disebabkan ego dan taksub membuta tuli serta malu nak mengakui yang kita tak cukup ilmu, kita lebih pandai jatuhkan hukum demi menutup kelemahan kita sendiri.

Bior dilantaknya Kazim nak jadi Umno atau kekal PAS. Kita patutnya berbangga kerana akhirnya Umno mahu juga kepada golongan agama walaupun selama ini, golongan agama dalam Umno hanya bertaraf tukang baca doa dan tukang angguk. Kalau kita tak tunjukkan kepada Umno hebat dan pentingnya ulama serta pendakwah, sampai ke sudahnya Umno akan kekal sombong dengan orang agama.

Disebabkan kita, akhirnya Umno buka juga peluang kepada orang agama untuk berada dalam kepimpinan parti itu. Kita patut berbangga bukannya terus mempersoalkan status keahlian Kazim.

Saturday, 30 November 2013

Tak Betullah Anwar Tuntut RM15 Juta Tahun Lepas Tapi Kenapa Azmin Ali Macam SARKAS?

Laporan-laporan blog yang menyatakan tentang tuntutan RM15 juta pada tahun lepas oleh Anwar Ibrahim, telah dinafikan oleh Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim. Jadi, kalau Menteri Besar Selangor sendiri dah buat penafian, maknanya betullah gamaknya kut.

Aku lebih tertarik dengan gelagat yang ditunjukkan oleh SETPOL Khalid, Faekah Hussin. Nampaknya, Faekah dah tak boleh nak duduk diam-diam. Hebat betul dia melindungi Khalid Ibrahim daripada menjadi sasaran kemarahan Azmin Ali yang semua orang tahu, bercita-cita besar untuk menggulingkan Khalid dan merampas jawatan Menteri Besar Selangor.

Tidak sahaja Faekah, Teng Chang Kim dan Elizabeth Wong pun menyatakan kehairanan mereka dengan sikap Azmin yang melompat sakan dan cuba menonjolkan diri sebagai hero dalam soal kenaikan gaji luar biasa kadarnya di Selangor. Padahal semasa dalam Dewan, Azmin yang merupakan ADUN Bukit Antarabangsa tak pula menyatakan bantahan. Hanya selepas pengumuman dibuat, barulah Azmin nak marah?

Tapi mungkin juga Azmin tak membantah sebelum ini sebab dia tak tahu Khalid akan menaikkan gajinya sendiri sampai RM29,000. Mungkin Azmin ingat, kenaikan yang dibuat hanyalah kenaikan pada kadar munasabah memandangkan Selangor bukannya negeri terkaya sebagaimana yang ditemberangkan.

Kadar kemasukan pelaburan, pendapatan dan perolehan Selangor, telah menurun semenjak PKR jadi Menteri Besar dan DAP sebagai Speaker serta Exco. Aku bukan nak kata pentadbiran UBN sebelum ini lebih baik, tapi setidak2nya, Khir Toyo taklah menaikkan gajinya sendiri tiga tahun sekali macam yang dibuat Khalid Ibrahim, sedangkan pada masa yang sama, banyak perkara lain berbangkit termasuklah peruntukan daripada Federal membabitkan PBT, Sampah dan Jalanraya.

PAS Selangor bukannya tak ada pakar-pakar dalam bidang berkenaan tapi semua pakar-pakar PAS telah disenyapkan dan ditutup mulut. Ingat lagi dengan Che Rosli Che Mat, pakar sains nuklear yang menjadi Ahli Parlimen Hulu Langat?

Ramai yang masih ingat bagaimana DAP dan PKR telah memperkecil-kecilkan kelayakan Che Rosli Che Mat sebab kegilaan mereka terhadap penutupan Lynas di Gebeng, Pahang. Penjelasan yang diberikan oleh Che Rosli Che Mat, tidak sahaja dicemuh bahkan ada gesaan dari PKR dan DAP untuk PAS memecat Che Rosli Che Mat kerana keluarkan kenyataan bertentangan dengan PKR dan DAP.

Keadaan jadi lebih keruh apabila Che Rosli Che Mat memberitahu kilang LYNAS di Pahang, jauh lebih selamat berbanding kilang Shin-Etsu yang terletak di Seksyen 26 berdekatan dengan Proton Shah Alam.

Kalau PKR dan DAP betul2 ikhlas dalam Pakatan Rakyat macam yang mereka selalu cakapkan, kepakaran PAS tidak akan disesiakan begitu sahaja. Pemimpin-pemimpin PAS boleh dilantik untuk menjalankan kerja-kerja rakyat, sekaligus mampu menarik saki-baki sokongan kepada Umno. Kalau kita dah buat pembaikan PBT, sampah dan jalanraya menggunakan peruntukan Federal, tak ada lagi helah UBN untuk memperkecil-kecilkan kewujudan kita.

Malangnya, semuanya nak dikaut oleh PKR dan DAP tapi bila datang bab kerja, kita pula yang dikerah untuk cover mereka. Ni bila dah timbul masalah kenaikan gaji luar biasa besarnya, PAS Selangor sekali lagi akan dikerahkan untuk menghantar para penyokong menyerang dan mematikan hujah UBN.

Itu sajalah peranan dan tugas kita di Selangor ini... tak habis-habis nak kena bela PKR dan DAP sedangkan bila kita bagi buah fikiran kita, kita pula yang disekeh oleh PKR dan DAP. Tak cukup disekeh, kita dikatakan parti kampung yang tak tahu apa-apa.

Kita yang kerja teruk-teruk, yang dapat habuan besar adalah PKR dan DAP.

Friday, 29 November 2013

Takkan PAS Selangor Masih Nak Lindungi Pembohongan Anwar Ibrahim?

Memang masalah betullah kalau ada ramai 'Ibni Ibrahim' ni.

Anwar Ibrahim walaupun dah bertahun-tahun bersekutu dengan PAS, nampaknya perangai Islam langsung tak lekat di hatinya. Tidak itu sahaja, bertambah-tambah pula perangai jahanamnya terutama sekali lidah dan mulutnya yang mudah sangat menipu apabila berkata-kata. Memang betullah macam yang macai-macai Umno duk kata, Anwar Ibrahim hanya bercakap benar kalau dia dah masuk liang lahad. Selain dari itu, semuanya menipu belaka.

Dalam ceramah-ceramahnya, Anwar selalu sangat mendabik dada kononnya gaji dia dengan Kerajaan Negeri Selangor hanyalah SERINGGIT.

Aku ulangi... SERINGGIT!

Tapi akhirnya Khalid Ibrahim bocorkan rahsia, Anwar Ibrahim dapat lebih dari SERINGGIT, bahkan lebih SEJUTA RINGGIT setiap bulan berdasarkan tuntutan yang dibuatnya memandangkan sepanjang tahun lepas sahaja, Anwar Ibrahim dapat RM15 juta daripada Kerajaan Negeri Selangor untuk pelbagai kos termasuklah tuntutan elaun perjalanannya ke luar negara.

Patutlah macai-macai Umno duk tanya, haram tak sekali Anwar berani nak jawab dari mana dia dapat duit untuk buat perjalanan ke luar negara. Bayangkanlah sibuknya dia berjalan ke luar negara, kalah Najib Razak, kalah Rosmah Mansor. Lagi kalah Presiden Amerika Syarikat. Sarapan di KL, makan tengah hari di Jakarta, minum petang di Bangkok, makan malam di Abu Dhabi dan makan pagi esoknya di New York.

Padahal jawatannya cumalah Penasihat Ekonomi Negeri Selangor bergaji SERINGGIT dan berjawatan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia yang gajinya juga tidaklah membolehkan dia membeli tiket perjalanan dengan kapal terbang ke serata dunia untuk tempoh yang kerap.

Harap-harap sangatlah, janganlah ada musibat dari PAS Selangor yang cuba menyibukkan diri nak membela Anwar Ibrahim dan puak-puak DAP serta PKR di Selangor lagi. Ingatlah, ADUN dan Exco PAS cuma dapat kenaikan 102% berbanding DAP yang dapat lebih 200% dan PKR yang dapat 373%. Nilai kita di Selangor ini, jauh lebih hina berbanding BARUA, bahkan lebih tepat lagi kita ini sebenarnya hanyalah ANJING DAN KUCING KURAP di mata DAP dan PKR walaupun tanpa kita, DAP dan PKR takkan berani berbuat sesuka hati sebaliknya terus berlakon baik macam tahun 2008-2013 dulu.

Takkan Pusat tak sedar-sedar lagi? Takkan PAS Pusat masih tunggu dan lihat saja tanpa sebarang tindakan? Nak berlapang dada pun, agak-agaklah!

Al-Kataki Sibuk Dengan Kenaikan Gaji Di Selangor, Tapi Diamkan Diri Bila Dapat Jawatan Lembaga Pengarah UiTM!

Katak merupakan haiwan yang disebut oleh Nabi palsu, Musailamah Al-Kazzab dalam surah syaitannya.

Surah Katak ciptaan Musailamah Al-Kazzab laknatullah berbunyi begini:

"Hai katak betina anak dua katak, bersihkanlah berapa banyak kamu membersihkannya, bukan air yang kamu kotori, dan bukan orang minum yang kamu larang."

Surah Katak ciptaan Musailamah Al-Kazzab laknatullah itu akhirnya menjadi bahan jenaka di kalangan pensyair dan penyajak Arab.

Di Malaysia, antara banyak-banyak katak, yang paling terkenal adalah Ibrahim Ali. Seorang lagi adalah Saifuddin Nasution. Tetapi berbeza antara kedua-duanya, Ibrahim Ali lagi kuat bunyinya manakala Saifuddin Nasution pula, lebih senyap terutama selepas Khalid Ibrahim menolak mentah-mentah saranan Anwar Ibrahim agar menjadikan Saifuddin Nasution sebagai Ketua Staff di Pejabat Menteri Besar Selangor.

Ibrahim Ali cuba memperolok-olokkan kenaikan gaji yang diumumkan oleh Khalid Ibrahim. Kata Ibrahim Ali, rakyat Selangor sepatutnya keluar beramai-ramai dan menentang Khalid Ibrahim serta Kerajaan PR Selangor. Katanya lagi, penjawat awam di Selangor sepatutnya turut mendesak kenaikan gaji sepertimana yang dinikmati oleh Menteri Besar Selangor.

Mungkin kedengaran eloklah saranan Ibrahim Ali itu tetapi inilah yang orang kata, menyibuk dengan carik kain orang, sedangkan kain sendiri koyak di punggung, buat-buat tak tahu.

Memang betul, tindakan menaikkan gaji pada kadar luar biasa sehingga 373% adalah sesuatu yang langsung tidak terjangkau dek akal walau apa pun alasan yang diberikan oleh Khalid Ibrahim. Namun Ibrahim Ali sendiri tidak memberikan contoh yang baik pun.

Apa jasa Ibrahim Ali kepada UiTM sehingga dia dilantik sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarah UiTM? Apakah kerana dia memperjuangkan PERKASA yang diketahui hanya merupakan sebuah NGO yang mencari duit dan melaksanakan cita-cita politik kuno serta jumud Ibrahim Ali, maka ianya dianggap sebagai satu jasa kepada komuniti pelajaran?

Adakah perlantikan Ibrahim Ali selaku salah seorang Ahli Lembaga Pengarah UiTM akan menambahbaik institusi pengajian tinggi Bumiputera itu, atau sekadar untuk membalas jasa dan menutup mulutnya yang sebelum ini menyatakan ingin menjadi pemandu teksi sebagai sindiran kepada Khairy Jamaluddin yang pernah berlakon sebagai pemandu teksi bersama-sama Namewee?

Tidak logik seorang Ibrahim Ali dilantik menduduki kerusi berkenaan kerana masih terdapat tokoh-tokoh akademik lain yang boleh dilantik dan membantu meningkatkan taraf serta mutu UiTM berbandingnya. Kalau dalam politik pun, Ibrahim Ali sekadar katak kuang yang bunyi sahaja lebih walaupun tubuh badan kecil, dia tidak akan mampu memberikan sebarang penambahbaikan untuk UiTM.

Rasa-rasanya cadangan dan saranan Ibrahim Ali itu tidak layak dijadikan sebagai artikel media. Dia orang gila kuasa dan jawatan selain perasan bagus. Menjadikannya sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarah UiTM akan menjadikan UiTM sama seperti PERKASA yang tidak ke mana pun, selain daripada melalak dan kemudian jadi pengecut apabila digertak.

Tak payah pergi jauhlah, sebutkan mana satu demonstrasi PERKASA yang benar-benar memberi kesan? Kalau setakat PERKASA dan Ibrahim Ali semata-mata tanpa Tun Mahathir, rasa-rasanya perhimpunan yang dianjurkan oleh PERKASA tidak lebih daripada sekadar himpunan budak-budak bohjan dan bohsia yang tidak ada maruah diri.

Monday, 25 November 2013

Harap Sangat2lah, Hudud Di Kelantan Memang Akan Dilaksanakan, Bukan Sekadar Buah Hentam Umno Saja

20 tahun kita berkempen ke sana ke mari, mengutuk dan mengeji Umno kononnya Umno yang halang kita laksanakan hudud di Kelantan. Kita salahkan Federal, kita salahkan Ahli-Ahli Parlimen Umno, kita salahkan Dr. Mahathir tapi kita tak pernah ceritakan perkara sebenar kenapa hudud masih tak dilaksanakan di Kelantan.

Aku tak beranilah nak cakap lebih2 dengan macam2 teori. Mungkin ada masalah lain. Kalau tak, takkanlah sampai lebih 20 tahun isu hudud jadi polemik dan bahan kempen semata2, bukannya untuk kita laksanakan walaupun kita selalu kata, kita adalah jemaah yang memperjuangkan Islam.

Tapi sesapa pun akan heran. Yalah, Sultan Kelantan dari zaman Sultan Ismail sampailah sekarang, Sultan Mohammad Ke-V pun dah bagi perkenan untuk undang2 hudud dilaksanakan di Kelantan. ADUN2 UMNO pun semuanya setuju. Sekarang, Ketua Hakim Jabatan Mahkamah Syariah Negeri Kelantan pun kata, mereka dah bersedia kalau Kerajaan Negeri Kelantan nak laksanakan hudud.

Sepatutnya dah masanya untuk Menteri Besar Kelantan dan Kerajaan Negeri Kelantan bentangkan Undang-Undang Syariah (II) Kelantan semasa persidangan DUN untuk digazetkan dan diluluskan perlaksanaannya. Sepatutnya undang-undang hudud Kelantan bukan lagi dalam bentuk draf sahaja tapi undang-undang yang dikanunkan.

Menteri Parlimen pun dah kata, Federal setuju dan sokong sekiranya PAS nak usulkan pindaan undang-undang bagi membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan.

Tapi nampaknya, pemimpin2 kita tak ambil berat dengan persetujuan serta sokongan yang diberikan Umno. Orang2 kita pula masih mengulang2 soalan kenapa Umno tolak hudud di Facebook dan masih lagi dengan kempen matikan Umno cara lama. Pihak kita macam katak dalam tempurung dan anggap orang ramai semuanya bodoh dan tak tahu apa2, tak reti baca dan tak reti dan cari balik apa yang berlaku tahun 92 dulu.

Tuan Guru Haji Hadi dah kata, Kelantan tetap akan melaksanakan hudud. Alhamdulillah, syukur kepada Allah Taala kerana akhirnya cita-cita kita akan termakbul dalam tempoh terdekat. Lebih membuatkan kita bangga lagi ialah bila Tuan Guru Presiden bagi amaran kepada DAP agar menerima dan menghormati perbezaan antara PAS dengan parti sekutu.

Kita harap sangatlah, cakap2 macam ni akan direalitikan. Kita dah tak mampu nak tanggung malu untuk 20 tahun lagi. Masanya dah tiba untuk kita buktikan bahawa hudud memang boleh dilaksanakan sekurang2nya di Kelantan. Tak payahlah kita sibuk nak meraikan Karpal Singh atau DaP atau PKR atau mana-mana pemimpin dari jemaah kita sendiri.

Kalau kita dah kata, kita lebih takutkan Allah Taala dan mengharapkan keredhaan-Nya dengan melaksanakan perintah-Nya,  jadi masanya dah sampai untuk kita buktikan apa yang kita cakap. Buktikan bahawa hudud memang kita nak laksanakan, bukan setakat jadi kempen politik dan buah untuk membubuh Umno dan Barisan Nasional saja.