Tuesday 24 June 2014

Akhirnya SHAARI SUNGIP Tunjuk Belang Sebenar Bila Pesuruhjaya PAS Selangor Dikecamnya Semata-mata Kerana Anwar Ibrahim

Cubaan Iskandar Samad untuk meredakan keadaan dan mengurangkan persepsi buruk terhadap Pakatan Rakyat Selangor, nampaknya telah dilihat oleh sekutu-sekutu Anwar Ibrahim, terutama sekali yang berada di dalam PAS sebagai cubaan menghalang Anwar Ibrahim daripada melantik isterinya, Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor yang baru menggantikan Khalid Ibrahim.

Pada ketika kebanyakan ahli-ahli PAS Selangor yang berfikiran waras mahukan jawatan Menteri Besar diserahkan kepada PAS memandangkan PAS adalah yang paling layak, para pemimpin PAS pro-Anwar Ibrahim pula melihat ini adalah peluang terbaik mereka untuk menyakau dan menyamun harta benda di Selangor dengan sewenang-wenangnya.

Shaari Sungib yang diketahui merupakan konco rapat Anwar Ibrahim bersama-sama bekas Setiausaha Agung PAS, Kamaruddin Jaafar, membidas Iskandar Samad, Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga merupakan ADUN Cempaka dan orang yang paling layak memegang jawatan Menteri Besar Selangor kerana tidak bersetuju dengan pandangan puak pro-Anwar Ibrahim.

Pro Anwar Ibrahim di dalam PAS yang diketuai oleh Khalid Samad sedang melancarkan serangan untuk menggulingkan Khalid Ibrahim bagi menjayakan rancangan KAJANG MOVE yang menyaksikan Wan Azizah menang dalam PRK Kajang pada Mei lalu. Wan Azizah disebut-sebut sebagai Menteri Besar Selangor apabila Anwar Ibrahim yang telah didapati bersalah meliwat oleh Mahkamah Rayuan serta dikenakan hukuman penjara 5 tahun, tidak lagi berkelayakan untuk jawatan berkenaan.

PKR tidak boleh mengharapkan DAP kerana sebarang campurtangan DAP dalam perebutan jawatan Menteri Besar Selangor itu, akan hanya menimbulkan kecurigaan memandangkan rekod DAP tidak begitu baik selepas apa yang berlaku di Perak pada 2008-Februari 2009 dahulu. Lagipun dengan 15 kerusi DUN Selangor yang dikuasai oleh PAS, membuatkan PAS jauh lebih berkredibiliti dan berwibawa berbanding PKR yang hanya mendapat 14 kerusi dengan sebahagian besarnya dimenangi atas ehsan PAS.

Shaari Sungib berang apabila Iskandar menyatakan, sepatutnya jawatan Menteri Besar Selangor itu dikembalikan kepada rakyat untuk memilih. Shaari berpendapat, Pakatan Rakyat itu sendiri adalah mewakili rakyat.

Pemecatan Khalid Ibrahim pula menurut Shaari adalah urusan dalaman parti yang tidak ada kena-mengena dengan rakyat.

Permusuhan antara Khalid Ibrahim dan Shaari Sungib dengan Iskandar Samad tercetus apabila Iskandar Samad yang dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor menggugurkan mereka daripada jawatan Naib Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor pada 2013.

Golongan pro Anwar Ibrahim dalam PAS sekarang ini sedang giat menjalankan kempen melanggar Iskandar Samad dan cuba mengaitkannya dengan menantu TG Presiden.

TAJUDIN PASIR SALAK Disalak Dan Kemudian Menyalak

Rafizi Ramli yang cukup pakar dalam mendedahkan kekayaan orang Melayu yang dilabelkannya sebagai penyelewengan tetapi tidak ada satu pun pendedahan dibuat melibatkan pemimpin-pemimpin atau tokoh-tokoh korporat Cina, sekali lagi menggegarkan UBN.

Kali ini dia mendedahkan tentang pegangan saham minoriti Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Rahman dalam konsensi penswastaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tapah.menerusi anak perempuannya Sri Rahayu Tajuddin yang menjadi pengarah dalam UniTapah.

Sri Rahayu pernah menjadi Setiausaha UMNO Bahagian Pasir Salak yang diketuai oleh Tajudin.

Tidak menghairankan apabila Rafizi membuat pendedahan ini. Dan aku juga tidak hairan mengapa UBN bersungguh-sungguh mempertahankan kerajaan yang mereka menangi dari tahun 1955 lagi. Dan itulah juga objektif mana-mana parti politik pun dalam negara yang mengamalkan demokrasi.

Yang akan menjadi kemusykilan nanti ialah, apabila golongan yang menjadi bekas pemimpin UBN melangkah atau berhijrah masuk ke parti-parti lain yang kemudian disambut bagaikan wira seperti yang PAS lakukan terhadap bekas-bekas pemimpin UBN.

Mereka ini sudah kenyang dengan pelbagai kemewahan semasa berkuasa. Apabila mereka tidak lagi berkuasa, mereka tidak lagi mempunyai bahagian untuk bermewah-mewah, biasanya rentak cakap mereka akan berubah. Kalau semasa berkuasa, mereka akan melaungkan HIDUP MELAYU! HIDUP MELAYU! sekuat-kuat hati tetapi apabila sudah tidak berkuasa dan bahagian yang mereka nikmati ditarik balik, mereka akan melaung-laungkan KERAJAAN RASUAH! KERAJAAN ZALIM!

PAS sudah acapkali terkena dengan orang-orang sebegini. Contoh paling jelas yang boleh kita lihat adalah PKR itu sendiri. PKR terdiri daripada golongan yang semasa di dalam UBN dahulu merupakan serigala lapar yang bukan sahaja makan daging, bahkan sampai ke bulu dan tahi pun mereka telan. Tetapi apabila keistimewaan mereka ditarik dan kekayaan mereka disekat, mereka mula bercakap tentang perjuangan. Untuk memurnikan lagi perbuatan mereka, mereka berkawan pula dengan PAS dengan harapan PAS akan menghalalkan perbuatan khianat mereka sewaktu mereka berada di dalam UBN.

Buat masa sekarang, Tajudin mungkin tidak akan keluar dari UBN kerana dia akan kerugian banyak benda apatah lagi terbukti yang Rafizi sekadar menyalak tetapi kemudian, dia menyalak kosong. Tetapi lambat-laun, Tajuddin yang sudah bergelar veteran akan kehilangan taring dan tidak lagi diperlukan oleh UBN. Pada ketika itu, mereka yang sudah terbiasa makan di atas pinggan emas ini, akan mencari-cari wadah terbaik untuk mereka meneruskan amalan tersebut.

Dan wadah terbaik mereka adalah PAS!

Jangan lagi PAS memberikan daging dan susu kepada pendatang sedangkan anak sendiri yang sanggup berjuang bermati-matian, disuruh menelan air liur sendiri sampai sendawa kekenyangan.

Monday 23 June 2014

AMARAN DR. KHAIRUDDIN AT-TAKIRI: DAP Jangan Cuba Main Gila Dengan Islam dan PAS!

1. Tindakan berkali-kali pimpinan tertinggi DAP mengeluarkan kenyataan menentang pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan yang telah diluluskan pada tahun 1992 sebelum kelahiran PR telah merosakkan perpaduan rakyat pelbagai kaum yang menentang hegemoni pemerintahan UMNO.

2. Ia juga satu khidmat tidak langsung DAP dalam memanjangkan jangka hayat UMNO apabila orang-orang Melayu dalam PAS atau yang sudah mula cenderong dan bersimpati dengan perjuangan PAS mula bimbang dengan pendirian DAP.

3. Kenapa tidak disokong pelaksanaan Hudud di Kelantan atas nama demokrasi yang boleh juga menyumbang kelangsungan sokongan Melayu terhadap PAS? Hudud di Kelantan telah diluluskan sebelum PR. Analogi mudah yang boleh dibuat ialah "anak yang PAS lahirkan di DUN Kelantan sebelum perkahwinan dengan DAP adakah patut dibuang hanya kerana berkahwin? Kenapa tidak dikendong bersama anak tersebut?"

4.DAP boleh sahaja terus membiarkan PAS khususnya Kelantan memperjuangkan hak pelaksanaan undang-undang yang telah mereka gubal 1993. Tetapi kenapa ditentang? Sentimen agama? Atau sentimen apa?

5. Pelaksanaan Kanun Jenayah syariah II di Kelantan adalah terpakai kepada orang Islam tanpa melibatkan bukan Islam. Namun kenapa bukan Islam menentang lalu DAP pula bersedia menjadi juaranya?

6. Hujah yang diberi oleh DAP ialah ia bertentangan dengan perlembagaan Malaysia. Kita boleh menegaskan bahawa menolak Hudud bertentangan dengan prinsip beragama Islam ahli-ahli PAS. Menerusi demokrasi, berikan hak kepada muslim untuk mereka mengamalkan tuntutan agama mereka di negeri majoriti mereka dan terpakai hanya kepada mereka!!! Itulah demokrasi.

7. Mungkin dijawab; Bukan Islam menyokong PAS bukan untuk dilaksanakan Hudud? Tapi boleh juga dibalas; Ahli PAS menyokong DAP pada pru ke 12 dan 13 bukan untuk menggugurkan Hudud!!!

8. Justeru apa penyelesaiannya? Kita menawarkan penyelesaian bahawa biarkan kuasa demokrasi berbicara. PAS berasaskan sokongan demokrasi yang diberikan di peringkat Kelantan menuntut hak pelaksanaan Hudud yang telah mereka luluskan 1993 di DUN Kelantan. DAP boleh sahaja tidak bersetuju secara demokrasinya dan menterjemahkannya dalam pengundian rang-rang undang-undang persendirian yang cuba membenarkan pelaksanaan Hudud di Kelantan apabila dibawa ke parlimen nanti. Tetapi tidak dengan menunjukkan penentangan yang berapi-api hingga mencarikkan hati ahli-ahli PAS dan muslim yang komited dengan agamanya.

9. Penentangan terhadap Undang-Undang Hudud di Kelantan lebih kepada sentimen beragama berbanding sentimen mempertahankan perlembagaan kononnya. Itulah yang boleh ditafsirkan secara mudah oleh rakyat bawahan terhadap sikap pimpinan DAP.

10. Samalah juga seperti tindakan seorang pimpinan DAP minggu lepas membangkitkan isu di parlimen agar menghormati hak rakyat untuk murtad. Tidakkah itu mencabar perjuangan ahli-ahli PAS yang berjuang menghalang murtad kerana ia adalah kesalahan besar beragama Islam. Apatah lagi kesalahan murtad adalah kesalahan jenayah Syariah yang disokong oleh undang-undang Syariah di peringkat negeri di bawah Mahkamah Syariah yang menjadi sebahagian undang-undang bernegara yang diiktiraf.

11. Begitu juga dengan isu mengislamkan anak di bawah umur oleh salah seorang ibu atau bapa apabila salah seorang mereka masuk Islam yang berbangkit sebelum ini. Ia adalah undang-undang yang termaktub dan sedia ada dalam perundangan negara. Pimpinan DAP dengan begitu mudah berbicara menentang undang-undang yang telah sedia ada itu tanpa memikirkan reaksi ahli dan pimpinan PAS.

12. Isyarat yang dihantar kepada rakyat muslim menerusi isu-isu khususnya yang kuat pegangan agamanya ialah timbulnya persoalan adakah PR mesra Islam?

13. Ini menggoyah kepercayaan melayu Islam terhadap PAS. Dan tentu memberi kesan kepada sokongan Melayu dalam pilihanraya. Apatah lagi realitinya PAS berhadapan dengan UMNO di kerusi-kerusi Parlimen dan DUN untuk merebut hati pengundi Melayu.

14. Adakah DAP bersedia atau mahu untuk PAS gagal menjuarai hati Melayu lalu sokongan kekal kepada UMNO di saat DAP pula berjaya menambat semaksima sokongan bukan Islam di kerusi-kerusi bukan Islam berhadapan dengan Gerakan atau MCA?

15. Apa kepentingan menentang Hudud bagi DAP? Kenapa tidak diutamakan usaha kesatuan menentang kezaliman UMNO tanpa dikaitkan dengan Hudud yang telah sedia menjadi perjuangan PAS dan telah dijadikan undang-undang di peringkat negeri oleh PAS sebekum lahirnya PR.

16. Mana yang DAP mahu? Menentang Hudud atau menjatuhkan UMNO? Sekiranya DAP bersedia untuk meninggalkan PR atau berpisah dengan PAS kerana perjuangan Hududnya sehingga sanggup membiarkan UMNO terus hidup maka terbukti bahawa DAP sememangnya memperjuangkan penentangan terhadap perjuangan PAS dan ia lebih utama daripada menguburkan UMNO. Mana lebih utama? Menentang Hudud atau bersatu menguburkan UMNO? Tepuk dada tanya hati!!!

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
15hb jun 2014

Usaha Terdesak Pemimpin PAS Sendiri Burukkan Imej TG Presiden Dibongkar Pemuda PAS Selangor!


Pemuda PAS Selangor mendedahkan terdapat usaha sistematik didalangi beberapa pemimpin parti bekerjasama dengan portal propembangkang untuk memperburuk-buruk imej Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Syarhan Humaizi Abdul Halim dalam kenyataan medianya 21 Jun berkata, beliau tidak hairan apabila The Malaysian Insider (TMI) telah meletakkan sasaran terhadap Abdul Hadi sebagai faktor kegagalan pihak tertentu mahu menyingkirkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.


“Yang lebih memeritkan, sudahlah beberapa kenyataan oleh salah seorang MP PAS Selangor yang membelakangkan keputusan Pas Selangor, dengan penuh biadap peluru itu ditujukan pula kepada Tuan Guru Presiden Pas Tuan Guru Haji Hadi Awang.

“Kini, TGHH pula difitnah sebagai punca kegagalan menyingkirkan TKSI selepas kegagalan Kajang Move yang dirancang oleh pihak tertentu.

“Sebagaimana yang sentuh di awal tadi, ia tidak menghairankan apabila TGHH dimangsakan sebagai penyebab kegagalan ini kerana tujuan sasaran utama sebenarnya ialah TGHH.

“Ia juga adalah sebagaian usaha untuk menjatuhkan imej TGHH, sekaligus memburukkan institusi dan imej kepimpinan ulama,”katanya.

Kenyataan penuh :

Pemuda Pas Selangor Pertahan Presiden Dari Fitnah

Saya tidak hairan melihat TMI berhari-hari membuat serangan bertalu-talu dalam isu MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim akhir-akhir ini.

Yang menariknya serangan itu mempergunakan PAS sebagai peluru. Seolah-olah keputusan PAS Selangor yang turut mahukan TKSI disingkirkan ketika ini.

Sebagai Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor yang juga ahli mesyuarat Harian PAS Selangor amat bersetuju dengan kenyataan Pesuruhjaya Pas Selangor YB Tuan Iskandar Abd Samad yang menafikan bahawa ia adalah pendirian Pas Selangor berhubung dengan beberapa kenyataan mengelirukan yang mendakwa PAS Selangor ingin menolak TKSI.

Ketika ini, sepatutnya Pas Selangor dan semua kompenan Kerajaan Pakatan Rakyat seharusnya meningkatkan komitmen memberi kebajikan kepada rakyat.TSKI perlu mendengar suara akar umbi dan mendahului agenda kebajikan rakyat. Bukan dengan kaedah menyerang serta membantutkan agenda tersebut yang boleh mengutungkan musuh.

Yang lebih memeritkan, sudahlah beberapa kenyataan oleh salah seorang MP PAS Selangor yang membelakangkan keputusan Pas Selangor, dengan penuh biadap peluru itu ditujukan pula kepada Tuan Guru Presiden Pas Tuan Guru Haji Hadi Awang.

Kini, TGHH pula difitnah sebagai punca kegagalan menyingkirkan TKSI selepas kegagalan Kajang Move yang dirancang oleh pihak tertentu.

Sebagaimana yang sentuh di awal tadi, ia tidak menghairankan apabila TGHH dimangsakan sebagai penyebab kegagalan ini kerana tujuan sasaran utama sebenarnya ialah TGHH.

Ia juga adalah sebagaian usaha untuk menjatuhkan imej TGHH, sekaligus memburukkan institusi dan imej kepimpinan ulama.

Ia juga adalah rentetan “projek langgar Hadi” yang pernah diusahakan oleh beberapa individu upahan pasca PRU12 dahulu yang akhirnya menemui jalan buntu.

Masih segar lagi dalam ingatan saya usaha melaga-lagakan dua Tok Guru ; TGHH dan TGNA dengan tujuan untuk memburukkan imej TGHH yang kononnya pro-UMNO, oleh individu-individu upahan tadi.Tidak cukup itu, kemudian mengfitnah TGHH sebagai punca projek 16 September yg gagal.

Gagal menjatuhkan TGHH melalui serangan terus menerus, kemudiannya TGHH diserang melalui orang-orang kuat sekelilingnya, antaranya melalui menantunya dan melalui bekas Ketua Pemuda PAS.

Kini, TGHH pula difitnah sebagai punca kegagalan menyingkirkan TKSI.

Usaha-usaha serangan terhadap TGHH ini akan terus berlangsung berpunca daripada ketegasan TGHH yang komited dengan prinsip PAS untuk menegakkan syariat Islam di bumi Malaysia.

Memang dalam sirah Rasulullah SAW pun wujud individu yang menjadi penyebar fitnah dan menjadi munafik dalam perjuangan Islam.

Maka tidak hairan juga ia wujud dalam mana-mana gerakan Islam sepanjang zaman, seluruh dunia. Munafik inilah yang melaga-lagakan sesama ahli PAS yang kononnya dipetik oleh media sebagai ‘sumber dalaman’.

Saya mencabar media yang menyatakan ‘sumber dalaman’ itu utk menyatakan siapa gerangan ‘sumber dalaman’ dan saya akan tunjukkan itulah munafik yang sedang melaga-lagakan PAS.

Ramai musuh Islam dari luar dan dalam yang sedang merangka grand design ini. Ada yang bertaraf YB, ada editor dan ada wartawan yang bersekongkol untuk menjayakan usaha ini sejak sekian lama. Kalimah biadap adalah kalimah yang sesuai di tujukan kepada mereka atas perbuatan ini.

Kami para pemuda PAS akan sentiasa mempertahankan PAS dari sebarang parasit liberal yang sedang menjalar ini.

Syarhan Humaizi Abd Halim
Ketua Pemuda Pas Selangor
21 Jun 2014

Saturday 21 June 2014

Bila PAS Berwajah Anwar Buat Keputusan Sokong Azmin Ali

Pertembungan kuasa di Selangor sebenarnya hanyalah melibatkan Khalid Ibrahim dengan Azmin Ali. Azmin Ali masih tidak dapat menerima hakikat bahawa dia sebenarnya sudah jauh tercicir. Perbuatan curang dan sikap angkuh terhadap PAS yang melibatkan Azmin Ali selama ini, dibalas menerusi pendedahan tentang penipuan undi dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR yang menyaksikan, Khalid Ibrahim mendahului Azmin Ali menerusi peti-peti undi selepas pendedahan dibuat.

Seperti biasa, apabila memperkatakan tentang PAS Selangor, mahu tidak mahu nama Khalid Samad perlu diperkatakan. Inilah orang yang paling kuat munafiq dan parasitnya dalam jemaah. Walaupun dia merupakan ahli, pemimpin dan kepimpinan PAS Selangor, bahkan menjadi Ahli Parlimen Shah Alam atas jenama PAS, hakikatnya Khalid Samad sebenarnya berkiblatkan Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng.

Apa-apa sahaja yang menjadi musuh Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng, merupakan musuhnya walaupun musuh itu bukanlah musuh PAS Selangor.

Khalid Ibrahim mengetuai Hanipa Maidin, peguam PAS yang turut dikenali dengan amalan dan pegangan Syiahnya, Dr. Mariah Mahmud dan Che Rosli Che Mat dikatakan telah bersetuju untuk mendesak Khalid Ibrahim meletakkan jawatan.

Dari awal lagi, ketika kemelut kepimpinan negeri Selangor berlaku tempoh hari, sudah ada desakan agar Khalid Ibrahim meletakkan jawatan dan jawatan Menteri Besar Selangor dipulangkan kepada PAS. PKR merupakan parti minoriti di Selangor dan jawatan Menteri Besar Selangor, bukanlah hak mutlak PKR.

Bagaimanapun, ketika suara-suara tersebut kedengaran, selain dibidas oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution, turut membidas adalah orang-orang seperti Khalid Samad dan Mariah Mahmud. Dikatakan, PAS tidak lapar dengan jawatan Menteri Besar, sebaliknya bersetuju untuk menjadi pecacai kepada PKR. PAS bagi mereka tidak berkelayakan menjadi Menteri Besar Selangor.

Dengan kata-kata lain, PAS ketandusan pemimpin-pemimpin yang layak untuk jawatan tersebut.

Selepas Dr. Rani, PAS sebenarnya berkaliber dengan ADUN Cempaka yang juga merupakan Exco Perumahan iaitu Ir. Iskandar Samad. Sepatutnya puak yang diketuai oleh Khalid Samad, menyorong nama Iskandar Samad untuk jawatan Menteri Besar Selangor. Apatah lagi Iskandar Samad telah berjaya melaksanakan tugasnya dengan baik sebagai ADUN Cempaka dan Exco Kerajaan Negeri kecuali kekangan kewangan yang dibuat oleh Khalid Ibrahim.

Kemenangan selesa Iskandar Samad di DUN Cempaka pada PRU-13 lalu, sepatutnya menjadi bukti bahawa dia merupakan calon terbaik untuk menggantikan Khalid Ibrahim. Mengapa pula, keempat-empat pemimpin PAS Selangor itu, lebih melihat Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar Selangor yang lebih sesuai walaupun laluan Azmin Ali untuk jawatan tersebut dihalang oleh Istana Selangor?

Thursday 12 June 2014

Selepas Puas Hentam PAS, Kini Masanya Untuk DAP Ambil Hati


DAP sudah lama tahu, untuk ambil hati PAS bukannya susah sangat. DAP boleh menggelarkan PAS dengan pelbagai gelaran. Boleh membodoh-bodohkan PAS dengan pelbagai cerita. Malah boleh menuduh PAS dengan sebarang tuduhan yang mereka suka.

Apabila ahli-ahli PAS sudah mulai marah, DAP akan melihat terlebih dahulu. Kalau memberikan keuntungan kepada mereka, DAP akan menambahkan api kemarahan tersebut dengan pelbagai tuduhan yang lain. Malah DAP menerusi beberapa pemimpin mereka yang vokal seperti Anthony Loke atau Tony Pua, PAS akan diperlekehkan tidak ubah seperti anjing kurus minta tulang yang boleh disepak diterajang sesuka hati mereka.

Namun apabila DAP berhadapan dengan kerugian apabila PAS menunjukkan sikap memberontak atau cuba bersikap lebih bijak dari sebelumnya, DAP ada kaedah lain untuk terus memujuk PAS agar terus sujud dan tunduk kepada mereka.

Contoh terbaiknya adalah PRK Teluk Intan!

Apa yang DAP tidak katakan kepada PAS? Bahkan PAS dihalau seperti anjing kurap dari Pakatan Rakyat hanya kerana PAS mahu membentangkan Usul Persendirian Perlaksanaan Hudud di Kelantan, walaupun sebenarnya, PAS yang menjadi nadi untuk Pakatan Rakyat kerana tanpa PAS, DAP dan PKR tidak akan dapat waimma satu kerusi Parlimen apatah lagi DUN. Kerana PAS jugalah, DAP dapat majoriti besar apabila orang Cina tidak lagi percaya kepada MCA atau GERAKAN sebagai wakil mereka. Malah kerana PAS jugalah, orang India mulai membuka mata bahawa MIC dalam BN tidak boleh membantu mereka kerana para pemimpin MIC sibuk mengumpulkan dana yang diperuntukkan untuk masyarakat India, di dalam akaun mereka sendiri.

Dek kerana itulah, Lim Kit Siang menjadi duta DAP untuk bertemu dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNA). DAP sangat tahu, kalau menghadap TGNA saja, maka semua masalah mereka akan selesai. Semua kesalahan dan caci maki mereka terhadap PAS juga akan dianggap sudah 'settle'.

Setakat jumpa kemudian mengumpan TGNA dengan Dyana Sofya yang mereka jadikan sebagai ikon baru untuk memberi isyarat kepada ahli-ahli PAS bahawa kesemua ahli-ahli dan jemaah PAS perlu terus tunduk dan sujud kepada DAP kerana Lim Kit Siang sudah pun menghadap TGNA. Pada masa yang sama, para pemimpin DAP yang lain terus menyerang HUDUD dan Islam seperti yang dilakukan oleh Ngeh Koo Ham, saingan Lim Guan Eng dan pada masa yang sama, merupakan Pengerusi DAP Perak.

Ahli-ahli PAS sepatutnya tidak mudah berpuas hati dengan kaedah 'merendah diri' yang ditunjukkan oleh Lim Kit Siang. Secara peribadi, aku melihat usaha yang dilakukan oleh Lim Kit Siang yang membawa rombongannya yang turut disertai oleh Dyana Sofya sebagai umpan dan helah semata-mata untuk terus menekan kepala ahli-ahli PAS agar terus kow tow di hadapan mereka.

Kita perlu lebih bijak menangani masalah ini. Kalau Lim Kit Siang sudah sanggup merendah diri, bermakna keperluan PAS kepada Pakatan Rakyat semakin berkurangan, sebaliknya Pakatan Rakyat yang sangat memerlukan PAS. Kepimpinan sepatutnya menggunakan kesempatan ini untuk memartabatkan PAS, Islam dan umat Islam, bukannya terus terpedaya dengan permainan DAP dan kafir yang sentiasa memusuhi Islam dan umat Islam dengan pelbagai cara.

Wednesday 11 June 2014

ALHAMDULILLAH Sekiranya Benar Berita Hasan Ali Akan Kembali Ke Pangkuan PAS

Sesungguhnya sesuatu yang amat malang apabila PAS memutuskan untuk memecat Hasan Ali dan menurunkan pangkat Nasharuddin Mat Isa semata-mata untuk mengambil hati DAP dan PKR.

Hasan Ali sewaktu dipecat merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor dan merupakan salah seorang Exco Negeri Selangor. Dia dipecat setelah diserang bertalu-talu oleh Ronnie Liu, seorang lagi Exco Negeri Selangor pada waktu itu kerana Hasan Ali dikatakan mendalangi operasi-operasi membersihkan Shah Alam dan Damansara daripada industri pelacuran dan hiburan keterlaluan. Orang yang paling kuat mengarahkan PAS memecat Hasan Ali adalah Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR.

Manakala Nasharuddin Mat Isa pula diturunkan pangkat apabila DAP melihat Nasharuddin Mat Isa yang rapat dengan Perdana Menteri dan turut terlibat dalam kunjungan Najib ke Gaza sebagai ancaman kepada 'tahaluf siyasi' PAS-DAP.

Kepimpinan akhirnya memilih untuk menyingkirkan Nasharuddin Mat Isa dan Ustaz Nasha tidak lagi mempunyai sebarang jawatan dalam parti kecuali sebagai ahli biasa.

Beberapa percaturan yang melibatkan DAP dan PKR dalam PAS, sebenarnya telah merugikan PAS dalam semua perkara. PAS cuba bangkit kembali dengan isu HUDUD tetapi sekali lagi PAS mendapat tentangan hebat daripada PKR dan DAP, terutama apabila UBN menyatakan sokongan kepada usul tersebut.

Anehnya pula, di kalangan pemimpin PAS sendiri melihat perubahan sikap UBN itu sebagai jerat yang hendak memerangkap PAS walaupun pada masa yang sama, PAS sudah pun terperangkap dan sedang ditindas di dalam Pakatan Rakyat.

PAS di Selangor berada dalam keadaan yang amat daif. Sekalipun Iskandar Abdul Samad, ADUN Cempaka kini menyandang jawatan Pesuruhjaya PAS Selangor, namun dia dilihat terikat kejap dengan PKR dan DAP, terutama di kawasan Pandan sendiri sehinggakan, fungsinya sebagai Exco Perumahan yang sepatutnya memberikan pulangan besar kepada PAS dari segi sokongan, tidak dapat dilaksanakan dengan sebaik-baik mungkin.

PAS Selangor bahkan PAS Pusat sebenarnya memerlukan pemimpin-pemimpin yang keras kepada kaum kafir tetapi bersifat kasih sayang sesama umat Islam, bukan sebaliknya, dalam usaha melangsungkan kuasa dan memantapkan kewujudan PAS di Selangor.

Selangor merupakan sebuah negeri yang menjadi rebutan. Di Selangor, segala-galanya jauh lebih baik berbanding negeri lain kesan daripada pemerintahan BN yang berat sebelah. Suatu masa dahulu, PAS langsung tidak mendapat tempat di Selangor, walaupun Selangor mencatatkan Kerusi Parlimen pertama yang berjaya dimenangi oleh PAS sewaktu PRU-1 dahulu.

Namun perubahan sikap pengundi ditambah pula dengan kesedaran anak-anak muda untuk terlibat dalam memilih kerajaan menyaksikan PAS muncul sebagai antara kuasa terkuat di Selangor.

Kita seharusnya mengambil kesempatan ini dengan sebijak-bijaknya. Bukan sebaliknya membiarkan kita dipijak-pijak.

Sesuatu yang perlu kita ingat ialah, PKR sebenarnya tidak sekuat mana. Malahan tanpa sokongan PAS, PKR hanyalah sebuah parti minoriti yang kemenangan mereka sekadar di kawasan-kawasan bekas UBN yang kuat menyokong Anwar Ibrahim. Hanya kerana sokongan serta tenaga-tenaga kerja PAS sahajalah yang membolehkan PKR bercakap besar dan gah.

Semoga kesilapan kita kerana membenarkan PKR mencaturkan kepimpinan parti yang kita sayangi ini, tidak diulang semula.

PAS perlu terus maju dan bijak demi kesejahteraan ummah!

Sunday 8 June 2014

GST Kita Tentang, Segala Cukai Makneka di Pulau Pinang, Kenapa Kita Senyap?


Sudah menjadi catatan dalam sejarah dunia, banyak kerajaan yang tumbang, raja-rajanya dibunuh dan pemerintahan digulingkan hanya kerana dasar percukaian. Walaupun cukai merupakan salah satu daripada dasar pendapatan sesebuah negeri atau negara, namun kadar cukai atau bilangan cukai yang melampau, pasti menjadi bebanan kepada rakyat.

PAS wujud dalam siyasah negara sebagai pembela rakyat marhein. Dari dahulu sehingga kini, PAS dianggotai dan dipimpin oleh kalangan marhein. Tidak ada golongan feudal yang dilantik sebagai ketua atau pemimpin dalam PAS. Bahkan PAS tidak pernah memperjuangkan kaum feudal kerana feudal sudah mendapat pelbagai keistimewaan dari dahulu sehinggalah sekarang.

Pun begitu, tidak bermakna PAS menentang feudal atau kewujudan raja-raja dan kaum kerabat mereka. Siapalah PAS kalau hendak dibandingkan dengan keistimewaan yang Allah Taala anugerahkan kepada orang-orang tertentu untuk menjadi 'bayangan Allah Taala' di muka bumi ini dalam bentuk raja.

Antara Asma dan Sifat-Sifat Allah Taala selain tujuh Sifat Ma'ani yang 'dipinjamkan' atau diciptakan-Nya untuk manusia adalah Mulk (raja). Allah Taala banyak menyatakan perkara ini dalam al Quran. Kalau benar raja-raja tidak perlu wujud sebagaimana sesetengah orang daripada kalangan ahli-ahli PAS fikir, sudah tentulah Allah Taala tidak menyebut langsung tentang raja-raja itu.

Begitu jugalah dalam hal kepimpinan. Memang benar kita dianjurkan dan diwajibkan oleh Allah Taala dan rasul-Nya untuk mentaati Allah, Rasulullah s.a.w dan ulil amri. Namun ketaatan itu pula terutama sekali kepada ulil amri, tidak bermakna menjadikan kita sebagai zombie yang mengikut sahaja titah perintah mereka.

Ucapan Syaidina Abu Bakr al-Siddiq r.a apabila menjadi khalifah:-

“Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat. Orang yang lemah dalam kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat dalam kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya Allah. Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan RasulNya. Jika aku derhakakan Allah dan RasulNya, maka tiada ketaatan untukku” (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361).

 Berbalik kepada cukai. Pada 1 Mei 2015 nanti, Kerajaan Malaysia yang diterajui oleh UBN akan mengenakan cukai baru iaitu GST menggantikan SST yang sedang diamalkan sekarang. Mengikut kata sesetengah pihak, GST akan menurunkan kadar cukai kerana para peniaga tidak lagi boleh mengenakan cukai berganda seperti yang berlaku sekarang ini. Namun penjelasan-penjelasan yang dibuat sehinggakan menelan kos sebanyak RM17 juta, tidak pula dapat memberikan jaminan bahawa harga barangan di Malaysia akan dikurangkan atau diturunkan memandangkan Malaysia mengamalkan dasar ekonomi bebas. Pembabitan kerajaan cumalah dalam pemantauan dan kawalan harga beberapa jenis barangan keperluan sahaja.

Dalam bahasa yang lebih mudah, harga barang dan perkhidmatan tetap tertakluk kepada pemain utama iaitu pemborong dan orang tengah.

PAS menentang sebarang cadangan untuk menambahkan bebanan ekonomi kepada rakyat. Justeru, GST yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan, diharapkan dapat memberi keselesaan kepada rakyat, bukannya mendambahkan lagi penderitaan memandangkan seperti yang kita ketahui, pihak peniaga, pemborong dan orang tengah mempunyai seribu satu macam alasan untuk menaikkan harga walaupun pada ketika ianya tidak perlu.

Pulau Pinang di bawah DAP mendahului semua negeri-negeri lain dalam penambahan pembayaran cukai. Selepas menaikkan tarif air sebanyak 200%, bermula 1 Jun lepas, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengenakan cukai katil (bed tax) kepada mereka yang tinggal di hotel-hotel, motel, homestay dan sebagainya. Kadarnya adalah RM3 untuk sebuah bilik bagi hotel-hotel bertaraf 4 dan 5 bintang. RM2 bagi semua jenis rumah-rumah penginapan yang lain.

Ke mana hilangnya suara PAS dalam hal ini? Penginapan di hotel tidak sahaja melibatkan pelancong-pelancong asing atau pun orang berada. Sekarang ini, sudah ramai yang memilih untuk menginap di hotel apabila mereka berada di luar kawasan. Apakah ini menandakan satu lagi isyarat bahawa suara PAS sebenarnya langsung tidak relevan apabila berhadapan dengan DAP tetapi kita cukup lantang dan lancang apabila berhadapan dengan UBN?

Atau sebenarnya di kalangan kita, telah diberi kata dua oleh pemimpin-pemimpin PAS yang memperolehi 'gaji' daripada DAP Pulau Pinang termasuklah diangkat ke jawatan-jawatan Pengerusi atau Ahli Lembaga Pengarah untuk tutup mulut?

Atau kita sebenarnya memang tidak mempunyai sebarang keberanian untuk berhadapan dengan Lim  Guan Eng kerana bimbang dana dari DAP tidak mengalir ke tangan sesetengah pemimpin atasan PAS?

Wednesday 4 June 2014

Pendedahan Kekalahan DAP Di Teluk Intan, Jangan Cabar Kesabaran Ahli-Ahli PAS


Tuduhan melulu para pemimpin DAP terhadap PAS dan menjadikan PAS sebagai punca kekalahan DAP di Teluk Intan, sepatutnya menjadi perhatian dan ingatan kepada ahli-ahli PAS yang lain, terutama sekali yang kuat menyokong DAP dan mengangguk sahaja terhadap sebarang suapan DAP.

Ahli-ahli PAS diminta menggunakan otak mereka untuk berfikir walaupun untuk seketika mengenai peranan buruk DAP dalam parti yang kita sayangi ini.

Barangkali itulah ayat yang tidak mampu diluahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor bagi kawasan Cempaka yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Iskandar Samad.

Tuduhan yang dilemparkan oleh para pemimpin DAP terutama sekali Lim Guan Eng dan Gobind Singh Deo bahawa kekalahan DAP di Teluk Intan adalah disebabkan oleh PAS, sememangnya merupakan tuduhan yang sangat jahat, biadap dan kurang ajar!

DAP telah melepaskan keseluruhan tanggungjawab di Changkat Jong yang merupakan kawasan pengundi majoriti Melayu kepada PAS. PAS dengan serba serbinya kekurangan telah berusaha menjalankan usaha menarik undi Melayu di kawasan itu kepada peti undi DAP dengan seberapa daya yang mungkin.

Segala kekurangan ditampung dengan semangat perjuangan yang meluap-luap. Para petugas PAS di Teluk Intan menggunakan semua kesempatan yang ada demi memenangkan rakan sekutu parti ini. Menang DAP bererti menanglah PAS. Malangnya, dengan keadaan serba kekurangan bahkan dengan ketiadaan sokongan daripada DAP sendiri, apa sangatlah yang boleh dibuat oleh PAS.

Keadaan petugas-petugas PAS di PRK Teluk Intan sangat daif. Ada yang terpaksa meminjam wang dari rakan-rakan dan keluarganya, semata-mata untuk tugasan yang diamanahkan. Ada yang terpaksa menebalkan muka, makan minum berhutang di kedai-kedai makan dengan harapan, segala usaha yang dibuat akan memenangkan DAP dan kemenangan itu sudah cukup untuk menghapuskan segala kesusahan yang terpaksa dilalui di Teluk Intan.

DAP sendiri tidak bersungguh-sungguh untuk berusaha mendapat sokongan daripada orang Melayu di Teluk Intan. Changkat Jong langsung tidak diberikan perhatian. Semua usaha DAP hanya tertumpu di kawasan Pasir Berdamar yang merupakan DUN terkuat DAP. Segala peruntukan juga dihumban untuk DUN Pasir Berdamar, manakala DUN Changkat Jong yang lebih luas dan lebih ramai pengundi, langsung tidak dipedulikan.

Begitu juga dengan masalah antara DAP dengan pengundi-pengundi India juga tidak diatasi dengan sebaik-baik mungkin. DAP sedar pemberontakan pengundi-pengundi India di Teluk Intan setelah DAP menjadikan mereka sebagai Pariah dalam dua PRU yang lalu. Pergilah ke mana-mana kawasan India dan tanyakan apa masalah mereka. Rata-rata, jawapannya adalah sama.

Anehnya, pemimpin India dalam DAP cuba pula menyalahkan PAS walhal mereka sendiri sepatutnya turun dan menjadi mata telinga masyarakat India setempat. Sebaliknya mereka lebih seronok berada di kawasan Cina dan sentiasa pula cuba menjadi lebih Cina dari Cina, sepertimana sesetengah pemimpin PAS yang cuba menjadi lebih DAP daripada DAP.

Menjadikan PAS sebagai kambing hitam tidak selayaknya buat parti yang bersekutu dengan PAS. Berapa ramai petugas-petugas PAS yang pergi ke Teluk Intan dengan perbelanjaan sendiri? Berapa ramai pula yang terlupa bahawa sebagai pejuang Islam, kita memperjuangkan Islam, bukannya bersekongkol dengan pihak yang menentang Islam? Dan berapa ramai pula yang terpaksa bersubahat dengan Dyana Sofya yang awal-awal lagi telah menolak hudud dan memperlekehkan Islam walaupun dia cuba diperkenalkan sebagai calon Islam DAP?

DAP seharusnya melihat kesilapan dan kelemahan mereka sendiri, bukannya menuding dan menyalahkan PAS kerana kalah di Teluk Intan. Dan mereka juga perlu mengakui, tanpa PAS, DAP hanyalah parti kucing kurap yang popularitinya hanya sekadar berlegar-legar di kalangan Cina totok yang langsung tidak boleh berbahasa Melayu.

Kepimpinan DAP patut sedar diri dan berterima kasih kepada PAS, bukannya menuduh PAS jadi punca DAP kalah di Teluk Intan. 


Tuesday 3 June 2014

Kifarah Atau Petunjuk Dari Allah Taala Yang Perjuangan Kita Sudah Terseleweng Bila Tuan Guru Presiden Jatuh Sakit di Istanbul?

Tuan Guru Presiden telah kami maklumkan sepanjang beliau berada di Teluk Intan tentang layanan kaum DAP kepada umat Islam di sini. Dari zaman Manogaran sehinggalah ke zaman Seah, orang Melayu-Islam seringkali diherdik bagaikan anjing kurap oleh wakil-wakil DAP. Malahan permintaan bantuan daripada orang Melayu Teluk Intan, bukan sahaja ditolak, malah mereka kerapkali dilabelkan sebagai kroni UMNO walaupun hakikatnya, mereka itulah yang memberikan kemenangan besar kepada DAP dalam dua PRU.

Dan sungguhpun sedih dengan apa yang berlaku, atas nama tahaluf siyasi dan atas nama berpegang kepada janji sehinggalah pihak sekutu memungkiri janji, PAS terpaksa bersabar dan mendakwahkan para pengikut di seluruh Teluk Intan agar sentiasa bersabar dengan ujian Allah Taala.

Ujian dari Allah Taala selalunya didatangkan sebagai imbalan kepada kejayaan yang akan diberikan.

Setidak-tidaknya itulah yang dipercayai oleh jemaah PAS di seluruh Malaysia. Dan kita menunggu-nunggu kejayaan tersebut sepertimana kaum Syiah menunggu Imam Mahdi mereka yang wujudnya sekadar untuk menerangkan betapa benarnya Syiah berbanding Sunnah di dunia ini.

Berbekalkan modal serta perbelanjaan sebanyak RM15,000 yang disalurkan oleh DAP pada beberapa hari sebelum tarikh pengundian pada 31 Mei 2014, petugas-petugas PAS telah bertungkus lumus menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan seberapa daya yang boleh. Ada yang terpaksa mengeluarkan duit kocek sendiri, menumpang tinggal di rumah-rumah jemaah dan tidak kurang juga yang terpaksa bersaing dengan jemaah tabligh yang turut berkampung di masjid-masjid dan surau-surau di sekitar Teluk Intan. 

Melihat kepada reaksi dingin yang diberikan oleh masyarakat Melayu kepada calon DAP, Dyana Sofya, DAP tidak ada pilihan lain kecuali memaksa Tuan Guru Presiden yang sedang keuzuran untuk datang berkempen sama. Walaupun ada beberapa pihak yang telah berusaha agar Tuan Guru Presiden tidak dilibatkan memandangkan keuzurannya, namun tekanan dari kepimpinan PAS yang bertungkus lumus untuk DAP dan lebih DAP dari DAP di Teluk Intan, tidak mampu dilawan.

Akhirnya Tuan Guru Presiden terpaksa juga datang, berkempen dengan tidak sepenuh hati untuk Dyana Sofya. Malahan terpaksa bersikap bertaqiyyah di hadapan awam walaupun di kalangan kami, Tuan Guru Presiden menzahirkan perasaan tidak senang hatinya dengan calon DAP itu.

Calon DAP itu merupakan anak seorang pemimpin Wanita UMNO. Ibu calon DAP itu bukannya seorang yang wajar dijadikan teladan, atau contoh ibu mithali. Terlalu banyak perkara aib yang tidak wajar dibuka di sini tentang calon dan ibunya serta keluarganya. Cukup sekadar kalau kita katakan, sikap Tuan Guru Presiden terhadap calon DAP itu memang tepat pada masanya.

Apabila berita yang disampaikan yang Tuan Guru Presiden jatuh sakit di Istanbul, sesuatu berdetik di hati aku mengatakan, kifarah bagi orang alim dan ulama, amat berat. Ia bukan sahaja petunjuk buat dirinya, tetapi juga kepada mereka yang menjadi pengikutnya.

Sudah tentulah kifarah tersebut adalah untuk mencuci dosa, tetapi dari satu segi, untuk menunjukkan bahawa tindakan silap yang dilakukan sebelum ini adalah kesan daripada kealpaan dan kelalaian makhluk bernama manusia.

Jangan sesekali beranggapan negatif kepada musibah yang melanda kita sebaliknya, ia adalah pembuka jalan kepada kita untuk membetulkan semula haluan kita yang sudah terpesong!

Kepada Tuan Guru Presiden yang amat dikasihi... terima kasih kerana tuan guru sudi 'meminjamkan' tubuh badan Tuan Guru untuk dijadikan petunjuk kepada kami yang masih dan akan terus berjuang untuk memartabatkan agama dan syariat Allah Taala di negara ini.