Monday 23 December 2013

Najib Sudah Bayangkan Penyerahan Jawatan Perdana Menteri Kepada Tuan Guru Haji Hadi



Jemaah Islam yang berjuang bersama-sama PAS, bersedialah semua. Ini adalah ujian terbesar kepada kita. Ujian itu tidak hanya datang dalam bentuk kesusahan dan kesukaran, tetapi ujian yang lebih getir biasanya datang sewaktu kita dalam kesenangan dan di dalam kemenangan.

Najib dan UBN nampaknya sudah semakin hampir ke penghujung kekuasaan mereka. Benar janji Allah Taala bahawa Dialah yang berkuasa menaikkan mana-mana kerajaan dan Dia juga berhak menjatuhkan mana-mana kerajaan.

UBN yang telah berkuasa lebih setengah abad, akhirnya melakukan kesilapan yang tidak dijangka bermula dari zaman Abdullah Badawi membawa ke era pentadbiran Najib Razak. Walaupun kalau diikutkan resmi makhluk, pengalaman sepatutnya mengajar UBN untuk menjadi lebih berhati-hati dalam pengekalan kuasa, nampaknya perancangan Allah Taala jauh lebih hebat dan tidak dapat ditelah oleh mana-mana makhluk-Nya.

Memang benar, negeri-negeri Pakatan Rakyat seperti Selangor dan Pulau Pinang, kadar cukai dan harga barangan sedang memuncak. Memang benar juga, Selangor enggan berkompromi dan menunaikan janji Pakatan Rakyat untuk memansuhkan bayaran tol lebuhraya walaupun Kerajaan Negeri mempunyai saham dalam syarikat-syarikat konsensi lebuhraya selain mempunyai majoriti dua pertiga di DUN yang membolehkan tujuan itu dilaksanakan. Tidak itu sahaja, pampasan yang diberikan oleh Kerajaan Pusat apabila kenaikan tol-tol di lebuh-lebuhraya seluruh Selangor ditahan sebelum ini, turut dinikmati oleh Kerajaan Negeri.

Seharusnya kita bersyukur kerana Allah Taala telah menggelapkan hati para pemimpin Umno dan tentera-tentera mereka sehinggakan mereka tidak dapat melihat kelemahan yang sedang berlaku di negeri-negeri tadbiran Pakatan Rakyat. Kita harus memanjatkan kesyukuran kerana Allah Taala telah membingungkan fikiran para pemimpin UBN dan bala tentera mereka, sehinggakan mereka tidak nampak isu ni boleh dijadikan senjata ampuh untuk menyerang Pakatan Rakyat.

Berbanding Kerajaan UBN yang sekadar menaikkan kadar antara 10% sehingga 30%, Selangor dan Pulau Pinang mencatatkan kenaikan lebih 100%. Malah PBT-PBT di seluruh Selangor juga nampaknya telah menaikkan bayaran yuran lesen perniagaan lebih 300% sekaligus akan menyebabkan harga barangan meningkat berkali-kali ganda di Selangor sekaligus merebak ke Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.

Pakatan Rakyat bagaimanapun, tidak sebodoh UBN yang diketuai oleh Najib Razak dengan membuat pengumuman menerusi media dan dihebahkan ke seluruh negara tentang peningkatan harga dan tarif itu. Pakatan telah melakukannya secara diam-diam dan kenaikan tersebut tidak disedari oleh rakyat, sekaligus mengurangkan tekanan kepada Kerajaan Negeri. Rakyat hanya tahu apabila mereka terpaksa membayar lebih apabila menerima bil cukai.

Ada sesuatu yang amat menarik untuk kita renung, bagaimana Allah Taala mengajar kita tentang kuasa-Nya. Najib Razak sudah tentu tahu tentang kemarahan dan kegelisahan rakyat berhubung kenaikan harga dan tarif yang tertahan-tahan semenjak tahun 2008 lagi. Bagaimanapun, Najib Razak yang cuba berselindung di belakang PEMANDU dan EPU yang diketuai oleh Idris Jala dan Wahid Omar, tetap menyuarakan keyakinannya bahawa tindakan Kerajaan meluluskan kenaikan tersebut tidak akan memberi sebarang kesan kepada kedudukan mereka di Putrajaya.

PEMANDU cuba diperlihatkan sebagai sebuah badan yang dianggotai oleh bijaksana walaupun beberapa orang daripada mereka, sangat terkenal kerana telah menjual aset negara dan GLC dalam usaha untuk menutup kerugian daripada operasi yang tidak cekap. PEMANDU semenjak penubuhannya sehingga kini, tidak langsung memberikan sebarang jasa kepada rakyat Malaysia khususnya kepada UBN, sebaliknya lebih bertindak sebagai duri dalam isi kepada parti pemerintah itu.

Berkat doa daripada ulama-ulama kita, akhirnya UBN dimusnahkan dari dalam menerusi perlantikan orang seperti Idris Jala dan Omar Ong yang lebih mendatangkan kemusnahan berbanding manfaat. Semakin kerap Najib Razak menyebut tentang PEMANDU, semakin cepatlah Allah Taala memindahkan kuasanya kepada Presiden yang amat kita sayangi, Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang.

Marilah kita sama-sama berdoa, semoga Najib Razak terus mengulangi kesilapan ini secara sengaja mahupun tidak sengaja. Kita mahu dia terus menyebut tentang hebatnya PEMANDU dan pada masa yang sama, bagaikan mencurah minyak ke dalam api kemarahan rakyat Malaysia yang rata-rata tahu, semua kenaikan yang diumumkan oleh Kerajaan UBN adalah angkara PEMANDU.

Justeru, kita selaku pejuang agama Allah Taala yang berpegang kepada tariqahnya yang diberi nama Parti Islam Se-Malaysia, haruslah bersyukur dan segera bermuhasabah diri. Selain itu, kita juga harus bersedia untuk berhadapan dengan pancaroba lebih besar apabila jemaah kita berkuasa agar kita tidak meniru dan mengikut teladan yang telah ditunjukkan oleh Najib Razak dan UBN.

Jangan berasa megah dengan kemenangan yang semakin hampir ini, sebaliknya hendaklah merendah diri dan mengingati pada setiap masa, Allah Taala berhak mencabut kekuasaan yang dipinjamkan kepada jemaah kita seandainya kita salah urus, salah tadbir dan khianat kepada agama Allah Taala.

Jadikan apa yang berlaku di Kedah sebagai teladan kepada kita semua....

No comments: