Tuesday 24 December 2013

Khalid Samad Sahkan, Kerajaan Negeri Selangor Naikkan Kadar Baru Lesen Perniagaan Sebanyak 300%


SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad menggesa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menarik balik notis kenaikan kadar Lesen Perniagaan/Perindustrian 2014 dan berbincang terlebih dahulu dengan peniaga.

Jelas Khalid, MBSA perlu mencari jalan penyelesaian serta mendapatkan maklum balas dari peniaga untuk dilihat lebih adil bukannya bertindak drastik dan membebankan peniaga.

"Saya menerima aduan dari seorang peniaga yang tidak berpuas hati dengan kadar baru lesen perniagaan yang meningkat sebanyak 300 peratus.

"Ini amat membebankan peniaga apatah lagi notis yang diberikan terlalu singkat iaitu tarikh notis 9 Disember dan perlu diselesaikan pada 31 Disember, jika gagal denda sebanyak 10 peratus dari kadar lesen pula dikenakan.

"Saya gesa MBSA dan Datuk Bandar segera menarik balik notis tersebut dan mengadakan perbincang dengan para peniaga untuk mencari jalan penyelesaian bukan menindas peniaga," jelasnya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Khalid yang turut mempertikaikan keputusan MBSA mengenakan tiga jenis cukai pada satu permis yang baginya adalah tidak wajar.

Katanya pengadu yang sebelum ini hanya dikenakan bayaran sebanyar RM360 setahun bagi industri kraftangan, namum pada 2014 kadar tersebut telah berubah.

Pengadu tersebut melalui notis terbaru telah dikenakan bayaran lesen perniagaan industri kraftangan (menjual/perkhidmatan) sebanyak RM360, industri kraftangan (membuat/proses) sebanyak RM360, industri kraftangan (borong/simpan) pula sebanyak RM400 dan Patil sebanyak RM7, yang menjadikan jumlah kesemuanya sebanyak RM1127.

"Kita mahu MBSA meneliti kembali cara pengiraan kadar tersebut.

"Bagi saya adalah tidak wajar tiga jenis cukai dikenakan pada satu permis yang sama, cara pengiraan perlu dibincangkan dan dijelaskan kenapa.

"Apa rasionalnya ia ditetapkan sedemikian, sudah pasti setiap industri mempunyai ruang menyimpan, proses serta menjualnya. Saya harap ini dapat diselesaikan segera untuk kebaikkan peniagaan dan penduduk Shah Alam," sambung beliau.

Khalid yang turut meminta agar, MBSA serta Datuk Bandar mengambil tindakan segera kerana keputusan tersebut bukan sahaja membebankan peniaga tetapi turut terkena kepada rakyat yang menjadi pembeli.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat turut meminta kerajaan negeri membuat pertimbangan agar pemilihan Datuk Bandar dibuat oleh rakyat agar calon yang dipilih lebih prihatin terhadap masalah dan kesusahan rakyat.

Katanya jika sebelum ini Datuk Bandar dipilih dari kalangan penjawat awam adalah wajar ia dipilih terus dari Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mahupun mana-mana individu yang dipilih rakyat bagi memastikan hak mereka diberi perhatian.

"Bila dipilih oleh rakyat maka Datuk Bandar akan melaksanakan tugas dengan lebih prihatin kerana kedudukannya akan ditentukan oleh rakyat untuk kekal atau disingkirkan," katanya

No comments: