Thursday, 17 April 2014

Barangkali Sudah Sampai Masanya, Kita Cuma Berani Membuli Tetapi Tak Berani Berjuang

Kematian Karpal Singh merupakan satu kerugian besar kepada DAP dan Anwar Ibrahim. Selama ini, Karpal Singhlah yang menjadi baju besi dan perisai utama DAP dan Anwar Ibrahim. Walaupun terdapat ramai peguam lain dalam DAP mahupun PKR, namun karisma mereka tidak menyerupai Karpal Singh.

Dari awal pembabitannya dalam politik negara lagi pada tahun 1970, Karpal Singh sudah dikenali kerana penentangannya yang sangat keras terhadap perkara utama dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu Artikel 152 dan Artikel 153 yang menetapkan peruntukan untuk Melayu dan Bumiputera, Islam, raja-raja dan adat istiadat Melayu selain Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Sekalipun terdapat cerita kononnya, Karpal Singh merupakan penegak Perlembagaan Persekutuan, hakikatnya yang disokong hanyalah Artikel-Artikel yang boleh dimanipulasi dan memberi kelebihan kepada DAP yang tegar memperjuangkan Malaysian Malaysia mereka.

Tuan Guru Presiden pernah melabelkan Karpal Singh dan Lim Kit Siang sebagai UBAT LUPUT TARIKH. Karpal Singh pernah mengeluarkan pelbagai kenyataan karut tentang PAS dan kepimpinan PAS. Malah berbanding UBN, permusuhan Karpal Singh terhadap PAS jauh lebih besar kerana Karpal Singh menyerang dasar dan Perlembagaan PAS, manakala UBN pula sekadar menyerang furu' dan khilafiyah yang disebabkan oleh kejahilan mereka sendiri.

Agak keterlaluan apabila ada sebilangan daripada kita memberikan reaksi yang langsung tidak mencerminkan sebagai seorang Islam apabila kita melebih-lebihkan dan mendewa-dewakan Karpal Singh sehingga ada yang sanggup menangis di tepi kerandanya selain mendakwa Karpal Singh lebih baik berbanding orang UBN kepada kita.

Pakatan Rakyat mungkin satu talian hayat kepada kita dan jemaah parti ini tetapi Pakatan Rakyat bukanlah tali yang mengikat kita. Kita kata kita mahu mengikut al Quran dan hadis, ijma' dan qiyas, tetapi akhirnya kita memilih untuk mengikut hawa nafsu.

Dalam agama Allah Taala, sebaik mana pun si kafir, mereka tetap tidak lebih baik daripada orang Islam yang paling jahat sekalipun. Bahkan perkara ini amat jelas menerusi peristiwa Nabi s.a.w dengan bapa saudaranya, Abu Talib bin Abdul Mutalib yang sehingga ke akhir hayat, menjaga dan melindungi Nabi s.a.w tetapi tetap enggan beriman kepada agama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Begitulah juga dengan ikrar kita. Pada ketika Mahfuz Omar menjadi Ketua Pemuda PAS, bukan main lantang lagi kita bercakap tentang tentangan Negara Islam oleh DAP. Kita membuat pelbagai ikrar dan iltizam. Tetapi kemudian, apabila kita berada dalam satu kelompok bersama-sama dengan DAP dan Karpal Singh, kita pula yang lebih tersengih dan mengangguk-angguk dalam usaha kita untuk mendapatkan redha Karpal Singh dan DAP.

Sekarang, DAP sudah kehilangan Harimau Jelutung mereka. Pemuda PAS yang dikepalai oleh Suhaizan Kaiat begitu takut dengan gemuruh apabila ada SMS yang menyatakan kita akan melangkah mayat Karpal Singh setelah berita kematiannya tersebar. Punyalah takutnya kita kepada DAP, respons yang diberikan amat pantas tetapi dalam banyak berita yang membabitkan umat Islam, Pemuda PAS pula tidak lebih daripada kura-kura yang dijentik kepalanya. Terkesot sehingga kelihatan seperti si kulup sedang kesejukan.

Itulah kita sekarang... kita cuma berani apabila berhadapan dengan UBN kerana kita tahu, UBN tidak akan sampai hati untuk membalun kita sebagaimana Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang bahkan Karpal Singh membalun kita. Kita cuma berani membuli dan bercakap besar tentang perjuangan kita, tetapi apabila Allah Taala membentangkan laluan untuk kita membuktikan segala yang kita laung-laungkan, kita terus jadi kecut dan penakut, tak ubah seperti kaum Yahudi yang diceritakan oleh Nabi s.a.w pada penghujung zaman nanti.

3 comments:

Anonymous said...

Ini memang artikel yang cukup pedih seperti terkena santau.

Anonymous said...

Syuhadah? Sedekahkan fatihah kepada orang bukan Islam yang meninggal dunia? Biarpun saya seorang Melayu yang jahil, amat pincang kelihatannya!

Anonymous said...

Salam saudara, mungkin kita terlupa atau buat2 tidak peduli, siapakah sampai sekarang yang lantang menyerang tentang perlaksanaan Islam di Malaysia, walaupun di negeri bawah Pakatan Rakyat termasuk Kelantan. Teman sebantal kita yang lebih teruk mengalang kita dari UBN sehingga sanggup melobi si kafir dari komponen BN untuk manghalang tujuan dari kita.
Nauzubillah.