Monday, 26 May 2014

AURAT DYANA SOFYA: Bila Pemimpin PAS Tidak Lagi Malu-Malu Untuk Jadi Munafiq

Barangkali kepimpinan PAS tidak sedar tentang momokan pengundi-pengundi Melayu dan Islam di Teluk Intan tentang parti ini serta seluruh kepimpinannya. Bukan kerana parti yang memperjuangkan Islam ini tidak baik, melakukan dosa atau membawa lari sejumlah besar wang negara ke seberang laut, tetapi kerana perangai sesetengah kepimpinan terutama sekali yang kiblat mereka kepada Lim Guan Eng dan Anwar Ibrahim, yang ditunjukkan sepanjang kempen PRK Teluk Intan.

PAS secara jujur, tidak menghantar petugas yang ramai sepertimana PRK-PRK lalu. Sebaliknya PAS hanya menghantar sebahagian kecil anggota kempen terutama membabitkan jentera Muslimat, agar tidak dikatakan oleh DAP yang kita memboikot PRK ini dan enggan membantu DAP apatah lagi DAP menampilkan seorang calon perempuan Melayu mewakili parti itu.

Dengan peruntukan kecil iaitu hanya sekitar RM15,000 untuk jentera PAS berkempen bagi memenangkan DAP di Teluk Intan, tidak banyak yang boleh dilakukan. Jangan pula ada yang berkata, DAP sebenarnya sama seperti PAS, tidak ada banyak duit seperti BN dan UBN. Justeru, perbelanjaan perlu dilakukan secara berhemah dan PAS juga perlu berkorban untuk memenangkan DAP. Menang DAP bererti menang Pakatan Rakyat. Menang Pakatan Rakyat bererti PAS juga telah menang.

Benarkah begitu?

Setidak-tidaknya, itulah yang kerap diberitahu kepada ahli-ahli PAS yang lain. Kemenangan Pakatan Rakyat bererti perjuangan PAS untuk mewujudkan sebuah Negara Islam/Negara Berkebajikan di Malaysia akan tercapai.

Hakikatnya, ia tidak seperti yang digambarkan dan diberitahu kepada ahli-ahli PAS sehingga sesetengah daripada kita lebih percayakan DAP dan PKR berbanding parti sendiri. Semua itu hanyalah momokan dan retorik semata-mata.

Apa yang berlaku ialah, semakin kuat DAP, semakin lemahlah perjuangan kita. Semakin banyak kemenangan bermajoriti besar yang diperolehi oleh DAP, semakin longgarlah akidah kita kepada Islam.

Itu yang terbukti apabila para pemimpin kita memberikan hukum-hukum mudah membabitkan calon DAP, Dyana Sofya terutama dalam hal menutup aurat.

Jangan fikir apabila Dyana Sofya memakai selendang dan bertudung ketika bersama-sama kita berkempen dari satu tempat ke satu tempat di Teluk Intan, maka kita sudah boleh dibutakan dan dibodoh-bodohkan. Sedangkan ketika berkempen di hadapan masyarakat bukan Islam, calon DAP yang juga merupakan ahli PERKASA bersama-sama ibunya yang pernah menjadi Ketua Wanita PERKASA yang pertama dan masih lagi ahli UBN, menunjukkan sikap liberal yang amat keterlaluan sehinggakan hukum hudud pun disamakan dengan hukum sekular, bahkan dipandang lebih hina.

Sudah tiga orang pemimpin PAS membuat ulasan tentang aurat terbuka Dyana Sofya. Semuanya menghalalkan perbuatan Dyana Sofya. Sehinggakan dalam satu khutbah Jumaat di sebuah masjid di Kampung Banjar, imamnya turut menghalalkan perbuatan Dyana Sofya dengan memberitahu para jemaah bahawa Dyana Sofya hanyalah MUDARAT KECIL berbanding UBN yang perlu ditentang habis-habisan.

Amat memalukan dengan sikap sebegini kerana kita begitu mudah bersikap TAK APA kalau membabitkan geng kita sendiri tetapi kita akan melakukan apa-apa sahaja, hatta fitnah yang kejam terhadap pihak musuh sebagaimana yang kita umpatkan tentang aurat Rosmah Mansor sehinggakan ada pula di kalangan kita yang MENGHUKUM KAFIR kepada Rosmah Mansor kerana enggan menutup aurat walaupun sudah tua bangka.

Hukum Islam tidak berpilih-pilih. Yang dikatakan assobiyyah ialah apabila kita menyokong kumpulan atau puak sendiri untuk melakukan kezaliman dan penindasan bukannya bersikap kebangsaan atau nasionalisme sebagaimana yang diajarkan kepada kita selama ini.

Di PRK Teluk Intan, memang jelas, kita bersalah kerana bersikap assobiyyah dan kita semua melakukan kezaliman kepada Allah Taala, agama Allah Taala, Rasulullah s.a.w dan umat Islam secara keseluruhannya.

Semoga kita semua tidak terus dibutakan dengan perbuatan sesat seperti ini sebaliknya kembali semula ke jalan kebenaran iaitu berpesan-pesan kepada kebenaran, meninggalkan segala kebatilan, sekalipun yang kita bakal hadapi adalah kumpulan kita sendiri.


Tuesday, 20 May 2014

PRK Teluk Intan dan PRK Bukit Gelugor: Kita Akhirnya Kena Akui, KITA ADALAH BACUL DAN PENGECUT!

Setelah mendapat arahan daripada pucuk pimpinan, atas dasar wala', aku tahan diri daripada memperkatakan perkara ini selama beberapa hari. Namun semakin ditahan, aku melihat keadaan semakin teruk. PAS semakin diburuk-burukkan oleh kepimpinan dan pakar-pakar strategis PAS yang berkiblatkan Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng.

Walaupun secara rasmi, kempen di Teluk Intan belum pun sampai 72 jam, tetapi daripada apa yang aku dapat lihat sepanjang berada di Teluk Intan ialah, betapa lemahnya PAS apabila berhadapan dengan DAP serta desakan daripada apek-apek yang enggan menerima Islam sebagai agama dominan di negara ini dan menjadi agama rasmi majoriti rakyatnya.

Sebaliknya dengan menggunakan calon yang diambil dari kalangan orang Islam, tetapi sangat bersifat sekular serta terlalu liberal, yang meletakkan DAP lebih penting dari Islam, DAP melakukan serangan dari segala penjuru untuk terus menekankan kejumudan dan kekolotan agama serta umat Islam dengan para pemimpin PAS pula tidak ubah seperti tikus mondok dengan ketul tahi.

Mungkin sebahagian daripada kita seronok apabila UBN dan pemimpin-pemimpinnya diserang oleh DAP, tetapi UBN tidak meletakkan calon di Teluk Intan mahupun Bukit Gelugor. Serangan terhadap UBN sebenarnya mempunyai kiasan yang lebih terkait dengan PAS kerana PAS yang memperjuangkan Islam dan hukum hudud di Malaysia, bukannya UBN.

Menariknya, sehinggakan calon DAP yang digilai ramai itu pun, turut sama menyerang UBN bersama-sama ibunya, walaupun calon yang bakal ditentangnya nanti adalah dari GERAKAN yang bersependapat dengan DAP dalam kebencian mereka terhadap Islam, umat Islam mahupun undang-undang Islam.

PAS bukan tidak menghantar wakil dalam kempen PRK Teluk Intan. Kita ada ramai pemimpin-pemimpin kanan PAS termasuklah Timbalan Presiden untuk mengutarakan pandangan serta pendirian parti Islam ini. Malangnya, para pemimpin PAS yang ada di Teluk Intan pula, lebih DAP dari DAP.

Bayangkanlah betapa penakut dan baculnya kita apabila arahan dari Jalan Raja Laut kepada para penceramah kita yang bergerak aktif di PDM majoriti Melayu apabila fatwa ulama-ulama PAS tidak boleh digunakan di PRK Teluk Intan.

Para penceramah diingatkan tidak lagi bercakap bahawa undi PAS dapat pahala kerana ditakuti akan ada yang bertanya, undi DAP yang jelas menentang hudud, apa yang mereka akan dapat.

Juga para penceramah tidak dibenarkan sama sekali mengulas tentang pendapat ulama-ulama PAS tentang siapa yang bekerjasama dengan bukan Islam, maka jatuh kafir. Para penceramah PAS juga dilarang sama sekali menyentuh tentang hudud walaupun sebaris ayat kerana mahu menjaga hati para pemimpin DAP. Cabaran DAP agar PAS pilih antara hudud dan Pakatan Rakyat, dikatakan menjadi punca utama arahan tersebut.

Para penceramah PAS juga tidak akan bercakap tentang hukum haram membuka aurat kerana ia akan menyentuh calon DAP, Dyana Sofya secara langsung. Tidak boleh disebut langsung tentang rambut Rosmah Mansor, mahupun kecenderungannya untuk berpakaian ketat kerana kredibiliti calon DAP di kalangan orang Melayu di Teluk Intan perlu dijaga. 

Para penceramah PAS juga diingatkan, tidak boleh langsung bercakap tentang KRONI kerana yang bertanding mewakili DAP adalah kroni Lim Kit Siang. Dyana Sofya adalah SETPOL Lim Kit Siang yang menjaga Parlimen Gelang Patah selepas Lim Kit Siang memenanginya.

Kami juga tidak dibenarkan bercakap atau memberitahu orang-orang Melayu di Teluk Intan yang diceramahkan tentang ada pemimpin dan ahli-ahli PAS yang sanggup ke Syria untuk berjihad menentang kerajaan kafir Syria sepanjang kempen PRK Teluk Intan. Malah kami juga dilarang bercakap tentang calon GERAKAN-BN dari kaum Cina kerana Dyana Sofya mewakili Lim Kit Siang yang juga seorang Cina dan kafir mutlak.

Semuanya perlu dipatuhi bagi mengelakkan sebarang masalah kepada DAP. Sedangkan pada masa yang sama, kepimpinan yang sama jugalah yang membisu dan menjadi berhala apabila DAP menyusahkan PAS dalam semua cara termasuklah dalam kes perlaksanaan HUKUM HUDUD di Kelantan.

Friday, 16 May 2014

Di Sebalik Kebencian DAP Terhadap PAS, PAS Tetap Hantar Jentera Kempen Ke Teluk Intan

Muslimat PAS sudah mula menjalankan kempen dari rumah ke rumah di Kampung Ayer Hitam, Teluk Intan walaupun ketika Memorial bekas Ahli Parlimen Teluk Intan, wakil PAS dijadikan kura-kura oleh pemimpin-pemimpin DAP.
 
Ada beberapa kes melibatkan PAS dalam Pakatan Rakyat dalam kempen PRK Parlimen Bukit Gelugor dan PRK Parlimen Teluk Intan. Dalam kedua-dua kempen tersebut, PAS cuba dipinggirkan oleh DAP secara hina. Kalau ada pun YDP atau pemimpin PAS, mereka tidak dibenarkan sama sekali menyentuh tentang isu perlaksanaan hudud kerana DAP berpendapat, PAS sedang cuba mensabotaj peluang kemenangan besar mereka di kedua-dua Parlimen.

Pun begitu, PAS tetap juga memberikan sokongan kepada DAP walaupun DAP menentang PAS dan cuba meminggirkan serta mengaibkan PAS di kalangan penyokong-penyokong mereka sendiri. Ini adalah untuk membuktikan kesetiakawanan PAS yang tidak berbelah bahagi dan sepatutnya dicurigai oleh DAP mahupun PKR.

Berikut adalah pergerakan dan program yang diaturkan oleh PAS bagi mendapatkan sokongan pengundi-pengundi Islam di Teluk Intan.

Pada 18 MEI 2014 jam 1500 PAS Kawasan SG SIPUT yang diketuai oleh ROSNI bin ABU BAKAR - Timbalan YDP PAS Kawasan SG.SIPUT akan bertolak ke TELUK INTAN bersama-sama 20 orang ahli dan berhimpun bersama-sama pimpinan PAS Negeri PERAK untuk tujuan mengagihkan jenteranya di Unit Peti Undi (UPU).

Taklimat tersebut akan dilakukan oleh Ustaz MISBAHUL MUNIR bin MASDUKI - YDP PAS Kawasan BAGAN DATOH/Timbalan Pesuruhjaya PAS PERAK. Selesai taklimat dan pengagihan, kesemua jentera PAS akan bergerak ke PDM KG BAHAGIA untuk menghadiri perhimpunan jentera PR di Kg Bahagia, TELUK INTAN.

Selain itu, PAS turut menganjurkan Wacana Pengukuhan Aqidah (WPA) Peringkat Negeri Perak Darul Ridzwan.

Berikut adalah atur caranya:

Tarikh : 16 Mei 2014
Hari : Jumaat
Masa : 6.00 - 11.00 pm
Tempat : Teluk Intan Perak Darul Ridzwan.

Tema : Kanun Jenayah Syariah Jaminan Keamanan dan Keadilan.

Penyertaan : Terbuka kepada semua termasuk non muslim
_________________

6.00 pm : Pendaftaran
6.30 pm : Al Mathurat

6.40 pm : Tazkirah Senja
oleh : Al Fadhil Ustaz Fakhrudin bin Abdul Aziz.
Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Negeri Perak.
Tajuk : Kanun Jenayah Syariah Jaminan Keamanan dan Keadilan.

7.25 pm : Solat Maghrib

7.40 pm : Kertas Kerja 1
oleh : Yb. Ustaz Nasrudin Hassan At Tantawi.
Pengerusi 1
Lajnah Dakwah PAS Pusat.
Tajuk : Hudud : Hukuman Setimpal dan Kawalan Allah swt.

8.25 pm : Solat Isyak dan Makan Malam.

9.00 pm : Kertas Kerja 2.
Oleh : Al Fadhil Dr. Mansur Bin Sulaiman.
Pensyarah University Malaysia Pahang.
Tajuj : Hudud : Perlaksanaannya di Malaysia

9.45 pm : Kertas Kerja 3.
oleh : Al Fadhil Ustaz Azhar Yahya
Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan.
Tajuk : Hudud : Kedudukan Non Muslim.

10.30 pm : Ucapan Penutup
Oleh : Al Fadhil Ust Khairy Jamaludin
Pengerusi Lajnah Tarbiah DPP Negeri Perak.

11.00 : Bersurai

Anjuran : Lajnah Tarbiyah DPP Negeri Perak dengan Kerjasama Lajnah Dakwah PAS Negeri Perak.

Thursday, 15 May 2014

HU PHANG CHAW Berang Tak Dilantik Semula Mengetuai DHPP Pusat

Bekas Ketua Dewan Himpunan Penyokong-Penyokong PAS (DHPP) Hu Phang Chaw berang apabila namanya digugurkan daripada senarai baru sayap kepimpinan parti itu. Dia menuduh kepimpinan Pusat PAS telah menyingkirkannya kerana pendirian kerasnya terhadap hudud.

Tidak sahaja berang, bahkan Hu Phang Chaw telah melabelkan pemimpin-pemimpin PAS sebagai BODOH, TIDAK BIJAK dan KURANG ARIF POLITIK. Menurutnya lagi, sebahagian pemimpin-pemimpin utama PAS, tidak senang dengan tentangannya terhadap hudud dan inilah punca utama dia disingkirkan dari DHPP.

"Saya yakin, alasan terbesar mengapa saya disingkirkan adalah sebab suara lantang saya terhadap hudud dan para pemimpin PAS tak dapat tahan telinga lagi. Jadi tindakan diambil terhadap saya," katanya.

Menurutnya, dia tidak pernah mempersoalkan tentang kewujudan hudud dalam Islam tetapi dia sentiasa berpendapat bahawa hudud tidak sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia kerana pelbagai alasan.

Hu Phang Chaw semenjak tahun 1999 lagi telah berkempen untuk PAS sebagai bukan Islam dan menjadi orang pertama yang dilantik mengetuai kelab penyokong pada tahun 2004. Walaupun beragama Kristian, dia tetap memegang jawatan tertinggi dalam kelab tersebut yang kemudiannya diangkat menjadi sayap parti pada tahun 2010.

Hu Phang Chaw mempersoalkan semangat hormat-menghormati dan muzakarah di dalam PAS berhubung pemecatannya. Katanya, kalau PAS tidak dapat membuktikan amalan demokrasi dalam parti, bagaimana para pengundi akan mempercayai PAS.

Ketika ditanya sama ada dia akan keluar dari menyokong PAS, menurutnya, dia tidak pernah berfikir ke arah itu, bahkan dia sentiasa percaya kepada teras perjuangan sepertimana yang terdapat dalam Perlembagaan PAS.

Timbalan Presiden MCA, Wee Ka Siong cuba menjadi tukang hasut apabila memberitahu Hu Phang Chaw agar meninggalkan PAS kerana PAS telah melihat Hu Phang Chaw sebagai satu ancaman.

"Sekiranya inilah caranya PAS melayan seorang penyokong setia, bayangkan bagaimana layanan buruk PAS ke atas etnik dan penganut agama minoriti di Malaysia sekiranya PAS dibenarkan menawan Putrajaya," kata Wee Ka Siong dalam satu kenyataan.
Hu Phang Chaw adalah pesaing Wee Ka Siong di Parlimen Ayer Hitam semasa PRU-13 lalu. Hu Phang Chaw hanya kalah dengan majoriti tipis kepada Wee Ka Siong.

Monday, 12 May 2014

BERSEDIA WAHAI PEJUANG ALLAH DI TERENGGANU... Terengganu Bakal Terima Menteri Besar Baru Jam 3:00 Petang Nanti!


Syukur Alhamdulillah hirabbil 'alamin

ALLAH HU AKBAR!

Berita yang baru diterima ini amat menggembirakan.

Sesungguhnya sabar itu adalah jalan menuju kejayaan...

Apabila datang janji Allah Taala, terhapuslah segala janji-janji makhluk. Apabila Allah Taala berkehendakkan sesuatu, maka jadilah ia.

UBN Terengganu bakal bergolak. Kedudukan 17-15 yang mereka miliki sekarang, tidak akan bertahan lagi. Ada yang akan keluar meninggalkan UBN dan menyertai kita. Menteri Besar baru yang bakal angkat sumpah pukul 3:00 petang nanti, akan memberikan lebih banyak kelebihan kepada JUNDULLAH yang berjuang dengan ikhlas.

Bersedialah untuk mengembalikan Terengganu ke jalan Allah Taala. Pulihkan semula semangat kita selepas kekalahan pada 2004 dengan azam untuk mempertahankan agama Allah Taala di bumi yang dipenuhi barokah pada petang ini MENERUSI BALA yang Allah Taala turunkan kepada pentadbiran Najib Abdul Razak!

Nama TGHH Dipergunakan Oleh Pro-DAP Dalam PAS Untuk Kepentingan PRK Bukit Gelugor dan PRK Teluk Intan


Dua pilihanraya kecil membabitkan Parlimen Bukit Gelugor di Pulau Pinang dan Parlimen Teluk Intan di mana kedua-dua kerusi tersebut bakal ditandingi oleh calon-calon dari DAP, memerlukan sokongan daripada PAS serta umat Islam. DAP dalam usaha untuk mengekalkan majoriti besar di kedua-dua kerusi Parlimen tersebut, enggan dilihat sebagai 'kalah' menerusi jurang majoriti yang dikecilkan.

Maka pada saat-saat akhir itulah, pro-DAP di dalam PAS bertindak secara bijak iaitu dengan mengeluarkan satu kenyataan media atas nama Tuan Guru Presiden yang mengumumkan PAS menangguhkan cadangan membentangkan usul rang undang-undang persendirian dalam persidangan Dewan Rakyat Jun nanti.

Musuh-musuh Islam bersorak kemenangan dengan keputusan tersebut. Tuan Guru Presiden dilihat sebagai seorang yang sangat lemah dan tidak dapat membuat keputusan bagi pihak parti. Manakala Tuan Guru Menteri Besar Kelantan pula, perlu meletakkan jawatan sebagai mengotakan janjinya kerana PAS Kelantan gagal melaksanakan hudud.


Ada pihak yang menyatakan, pintu tohmahan dan fitnah sudah tertutup apabila Tuan Guru Presiden membuat keputusan untuk menangguhkan usul perlaksanaan hudud di Kelantan. Mereka memberikan alasan kononnya, hudud telah digunakan oleh UBN untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat.

Amatlah malang apabila ada segelintir orang yang seringkali memberitahu mereka adalah pejuang Islam, tiba-tiba sahaja memutarbelitkan kenyataan dan mengangkat Pakatan Rakyat lebih tinggi dari Islam. Ternyata, hudud telah menelanjangkan sebahagian daripada kita dan mendedahkan bahawa sebahagian daripada kita yang mengaku memperjuangkan Islam, sebenarnya hanyalah golongan munafiq yang cukup gembira apabila Islam tidak dapat ditegakkan di negara ini.

Sebenarnya apa yang berlaku amat mudah diteka. Penguasaan golongan pro-Anwar Ibrahim dan pro-Lim Guan Eng di dalam PAS, telah menyebabkan nama Tuan Guru Presiden telah dipergunakan dengan sewenang-wenangnya. Pengumuman berhubung penangguhan pembentangan usul itu dibuat demi membantu DAP mendapat majoriti besar dalam kedua-dua PRK di Pulau Pinang dan Perak.


Hudud telah menyebabkan ketegangan tercetus antara DAP-PKR dengan PAS. DAP sudah berulang-ulang kali menghalau PAS keluar dari Pakatan Rakyat. Lim Guan Eng telah melabelkan Tuan Guru Presiden sebagai seorang manusia pembohong. Manakala Anwar Ibrahim yang cuba bermain jalan selamat, mengatakan hudud tidak boleh dilaksanakan di negara ini kerana masyarakat majmuk dan perlu dihapuskan rasuah terlebih dahulu.

Golongan pro-DAP dan Anwar Ibrahim di dalam PAS begitu takut sekiranya hubungan dan keberadaan PAS di dalam Pakatan Rakyat, terputus ekoran isu hudud. Mereka telah menyiapkan alasan-alasan standard yang seringkali diberikan oleh Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng apabila berada dalam keadaan tersepit iaitu menyalahkan UBN. Justeru, tidak menghairankan apabila hudud dikatakan perangkap UBN dan PAS diperingatkan agar tidak meneruskan agenda hudud kerana dibimbangi masuk perangkap UBN.

Apabila kenyataan media diedarkan oleh PAS semalam yang memaklumkan usul tersebut ditangguhkan terlebih dahulu, golongan penyembah Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng di dalam PAS menarik nafas lega kerana sumber kewangan mereka dari PKR dan DAP belum terputus.

Yang pasti, Tuan Guru Presiden akan dikerahkan ke penamaan calon Parlimen Bukit Gelugor untuk menunjukkan kepada seluruh dunia bahawa PAS sudah tersungkur di bawah telapak kaki Lim Guan Eng, Lim Kit Siang dan wakil Anwar Ibrahim, Wan Azizah Wan Ismail.


Sunday, 11 May 2014

Selepas Tuduh TGHH Berbohong, Ternyata Yang Menipu Adalah LIM GUAN ENG Sendiri!!!

Tiada seorang pun daripada kita yang berani menyanggah Lim Guan Eng ketika dia memalukan dan mengaibkan Tuan Guru Presiden pada 24 April menerusi kenyataannya. Lim Guan Eng yang disembah dan dipuja oleh sebahagian daripada kita, telah menuduh Tuan Guru Presiden sebagai seorang penipu dan nyanyuk. Malah ketika Setiausaha Agung DAP itu mendesak Tuan Guru Presiden mengeluarkan bukti yang menunjukkan dia dan DAP telah bersetuju untuk PAS memperjuangkan dan melaksanakan hudud, tiada sesiapa di kalangan kita yang sanggup untuk menyahut cabarannya.

Bantuan dari Allah Taala datang dalam bentuk yang kita tidak pernah jangkakan. Kadang-kadang musuh yang kita sangat benci itulah yang akhirnya membantu kita.

Inilah yang berlaku apabila Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow mendedahkan bukti menunjukkan pembohongan yang dilakukan oleh Lim Guan Eng.

Dalam satu surat persetujuan bersama yang ditandangani oleh Lim Guan Eng dan Tuan Guru Presiden tidak lama sebelum PRU-13, tercatat jelas di situ persetujuan yang menyatakan, PAS BERHAK MEMPERJUANGKAN AKIDAH DAN KONSEP NEGARA ISLAM SECARA SENDIRI.

Ayat berkenaan dipersetujui oleh Lim Guan Eng dan ini dibuktikan menerusi tandatangan Lim Guan Eng sendiri pada bahagian bawah surat persetujuan berkenaan.

Justeru tidak hairanlah apabila MCA dan GERAKAN menghentam Lim Guan Eng yang mereka sifatkan sebagai lidah bercabang. MCA dan GERAKAN dilihat sekarang ini sedang menekan Lim Guan Eng untuk berterus-terang berhubung sokongannya dan DAP kepada hudud. Sedangkan pada masa yang sama, Lim Guan Eng pula cuba menafikan dan memindahkan kesalahan tersebut kepada MCA dan GERAKAN yang kita ketahui semenjak dari dahulu lagi, telah menghalang UBN daripada menyahut seruan kita agar kembali kepada tatacara dan budaya Islam. 

Mungkin sebahagian daripada kita 'gembira' kerana ini menunjukkan DAP menyokong PAS dan terpaksa berbelit cakap kerana takut pengaruh DAP di kalangan orang Cina akan berkurangan. Namun pada masa yang sama, adakah kita sedar, gelagat yang ditunjukkan oleh Lim Guan Eng yang bermuka-muka ini, sebenarnya menjadi musuh terbesar kepada kita.


Mengapa Lim Guan Eng tidak berterus-terang dan sanggup melabelkan Tuan Guru Presiden sebagai seorang penipu walhal sebenarnya dia sedang melakukan muslihat politik? Apakah kerana Tuan Guru Presiden seorang yang penyabar, maka label PENIPU dan PEMBOHONG boleh diberikan sesuka hati? Adakah kerana PAS sentiasa akur kepada DAP, maka dia bebas mengutuk dan mencerca kita, padahal dari peringkat awal lagi, dia sudah pun menyatakan persetujuan.

Jangan pula Lim Guan Eng menyalahkan UBN kononnya surat persetujuan tersebut telah dipalsukan. Jangan pula dia memberitahu kononnya semasa dia menurunkan tandatangan persetujuan, dia berada dalam keadaan tidak sedar atau dia tidak memahami Bahasa Melayu yang digunakan dalam surat berkenaan.

Sekarang, bukti telah terbentang, adakah Lim Guan Eng akan memohon maaf atau menarik semula semua artikelnya terhadap PAS dan Tuan Guru Presiden?

Aku tak fikir, si laknat ini sanggup berbuat begitu sebaliknya dia akan terus berbelit-belit dan menipu sebagaimana yang dilakukannya selama ini.