Monday, 5 May 2014

Tengok Dengan Mata, Fikir Dengan Akal Bagaimana DAP Tengah Kepung Kita Dengan Berita Yang Kita Nak Dengar

Antara perkara yang seringkali melemahkan sesuatu perjuangan ialah apabila diberikan pujian serta dikhabarkan berita-berita yang kita ingin dengar. Walaupun pujian dan khabar-khabar berita tersebut adalah yang sebenar, tetapi sebagai manusia yang tidak lepas daripada melakukan kesalahan dan alpa, itulah sebenarnya yang sangat digemari. Justeru, sebarang berita benar tetapi tidak menyeronokkan, biasanya segera dilabelkan sebagai FITNAH JAHAT atau tidak benar walaupun kebenarannya terserlah sepertimana yang berlaku dalam kes liwat Anwar Ibrahim.

PAS juga berhadapan dengan benda yang sama. Walaupun ramai yang menegur kepimpinan PAS agar tidak terlalu leka dan alpa dengan segala pujuk rayu serta pujian yang diberikan terutama sekali dari para pemimpin DAP, hakikatnya yang berlaku adalah sebaliknya.

Sehinggakan suara rasmi PAS, HARAKAH turut terlebih sudu dari kuah dengan memberikan liputan dan ruang yang sangat besar kepada pemimpin dan aktiviti DAP berbanding pemimpin dan aktiviti PAS. HARAKAH semenjak 2008 sudah menjadi suara rasmi Pakatan Rakyat walaupun pada masa yang sama, Keadilan dan Roket tidak memberikan ruang yang sebegitu besar kepada PAS.

Hudud menjadi tajuk penting beberapa minggu kebelakangan ini. Lebih hangat lagi hudud diperkatakan ialah apabila UMNO menyatakan persetujuan untuk bersama-sama PAS membentangkan dan menyokong usul hudud untuk perlaksanaan di Kelantan.

DAP dan PKR tidak dapat menyembunyikan kemarahan mereka. Pelbagai tohmahan, kata keji, bahkan suruhan agar PAS keluar dari Pakatan Rakyat telah dibuat. Ketua Publisiti DAP Pusat malah menggesa agar pucuk pimpinan Pakatan Rakyat menyingkirkan PAS daripada gabungan tersebut.

DAP dan PKR menjangkakan, PAS akan merengek-rengek dan membatalkan keinginan serta cita-cita untuk melaksanakan suruhan Allah Taala itu. Sebaliknya, hikmah daripada penentangan DAP, PKR dan parti-parti komponen BN seperti MCA, MIC, GERAKAN dan SUPP memberikan ruang dan peluang kepada PAS untuk menggamit semula nostalgia 1969 apabila PAS menyertai Perikatan. Sebaik-baik sahaja PAS menyertai Perikatan, gabungan tersebut terus bertukar nama menjadi Barisan Nasional.

Mereka terlupa bahawa PAS ada Allah Taala. Tawakkal kepada Allah Taala mengatasi keyakinan terhadap kerjasama Pakatan Rakyat. Tawakkal dan istiqomah kepada Allah Taala, tidak akan dihampakan, sebaliknya tawakkal dan istiqomah kepada Pakatan Rakyat akan membuatkan PAS semakin dihina dan terhina. Tidak sahaja di pandangan manusia dan makhluk, bahkan lebih-lebih lagi pada pandangan Allah Taala.

Satu demi satu bala yang menimpa PAS, seharusnya menjadi iktibar dan pelajaran buat kita semua. Apa lagi bala yang lebih besar diturunkan kepada manusia selain daripada bala hati dan perasaan. Anggota-anggota jemaah PAS bagaikan gerombolan manusia yang tidak dapat berfikir dan sentiasa melihat keburukan orang lain, hati yang dipenuhi perasaan syak dan wasangka, angkuh, riak dan takabbur tetapi pada masa yang sama, gagal bermuhasabah serta memperbaiki amalan serta tauhid kita kepada Allah Taala.

Menjadi Ahli PAS tidak bermakna kita akan masuk ke syurga secara automatik. Kalau ada orang yang mengatakan bahawa PAS ditubuhkan atas perintah Allah, orang itu adalah jahil dan penyesat. PAS tidak ditubuhkan atas titah perintah Allah sebaliknya PAS ditubuhkan kerana keperluan umat Islam dalam sistem demokrasi yang menjadi teras siyasah di negara ini.

Kita masuk syurga kerana rahmat Allah Taala. Untuk mendapatkan rahmat Allah Taala, kita kena berusaha patuh kepada segala titah perintah-Nya dan menghindari segala larangan-Nya. PAS hanyalah salah satu daripada upaya dan usaha ke arah itu, bukannya mutlak.

Begitu jugalah halnya dalam memahami tingkah laku serta muslihat politik pihak musuh. Musuh-musuh Islam bergerak pada setiap masa, sangat aktif dan sangat kreatif. Mereka mempunyai pelbagai cara untuk memusnahkan agama dan umat ini. Mereka berpura-pura baik dengan sebahagian daripada kita, tetapi pada masa yang sama, memujuk agar sebahagian daripada kita yang terpengaruh agar memusuhi saudara-saudara seIslamnya yang lain.

Perhatikanlah apa yang dilakukan oleh DAP kebelakangan ini. Yang paling lantang menyalahkan kita adalah mereka, tetapi apabila kita mula menunjukkan ketidakpedulian, mereka segera menyalahkan UBN kononnya kita terperangkap dengan permainan politik UBN untuk mewujudkan hukum hudud di Kelantan dan seterusnya di Malaysia.

Dalam usaha mendapatkan rahmat Allah Taala, kita merintis jalan untuk perlaksanaan hudud. Berasbabkan kita, bekas Perdana Menteri Malaysia, Dr. Mahathir mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam walaupun ada zaman awal kemerdekaan, Perdana Menteri dari parti yang sama menyatakan Malaysia adalah sebuah Negara Sekular.


DAP sedang takut sekiranya kita bergabung dengan UMNO dan kemudian mendapat majoriti mudah yang membolehkan usul Hudud diluluskan untuk perlaksanaan di Kelantan. Gagal menggertak kita, DAP cuba menggunakan UMNO kerana UMNO adalah berita yang paling getik untuk kita dengar sebagai penyebab agar hudud tidak dibentangkan. DAP juga mengajak MCA, MIC dan GERAKAN untuk bersama-sama mereka menentang hudud sebagai upaya menggertak UBN yang menjadi ABANG BESAR Barisan Nasional.

Hudud bukanlah perkara politik. Hudud juga bukanlah perangkap UBN kerana kita sebenarnya yang memerangkap UBN agar patuh kepada kehendak Allah Taala. Seharusnya perjuangan kita ialah mempercepatkan dan merealisasikan perlaksanaan hukuman hudud, bukannya was-was dengan UBN.

Biarkan Allah dengan kerja-Nya sedangkan kita melakukan kerja demi-Nya!

Sunday, 4 May 2014

Sememangnya Yang Tulen Tidak Dapat Tempat Di Sisi Majoriti

Kalau disuruh betul-betul melaksanakan perintah Allah Taala, sebahagian besar daripada kita akan memberikan pelbagai dalih. Kerana itulah, Allah Taala dan Rasulullah s.a.w memerintahkan agar dakwah dijalankan secara berhikmah, bukannya menerusi cerita HUKUM MENGHUKUM. Dan kerana itulah, Allah Taala menjatuhkan hukuman keras terhadap golongan yang suka mentakfirkan golongan yang lain, malah dalam Ayat 11 Surah Al-Hujurat, Allah Taala melarang kita daripada menghina dan memperlekehkan orang lain. Manakala dalam ayat seterusnya pula, Allah Taala memerintahkan agar kita tidak berprasangka dan mencari-cari kesalahan orang lain sebaliknya lebih melihat perbuatan atau muhasabah diri sendiri.

Ini dua kesalahan yang sudah menjadi darah daging kita. Kita terlalu gemar melihat kesilapan dan keburukan perangai UBN tetapi pada masa yang sama, kita terlupa tentang kain kita yang koyak. Kita momokkan kejahilan UBN tetapi pada masa yang sama, kita terlupa bahkan melakukan perbuatan yang lebih teruk dari yang dilakukan oleh UBN. Keburukan itu kita cuba sulami dan tutup dengan penampilan serta tutur kata yang menyerupai golongan mukmin tetapi hakikatnya kosong hampa.

Suatu masa dahulu, kita persoalkan UBN yang cukup gemar mengadakan majlis-majlis lagho yang berunsurkan hiburan dan maksiat. Kita kecam, kita umpat dan kita keji. Kita katakan, majlis-majlis anjuran UBN itu, walau atas alasan apa sekalipun, sifatnya adalah mengundang bala dan bencana dari Allah Taala. Sebaliknya kita pula sentiasa menganjurkan majlis ilmu yang merupakan taman-taman di syurga sebagaimana yang terakam dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w:

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Tabrani, Rasulullah saw bersabda yang aksudnya, "Apabila melewati taman syurga, hendaklah engkau duduk di situ. Istirahatlah kamu di situ." Para sahabat bertanya, "Ya Rasulullah, apakah taman syurga itu?" Nabi menjawab, "Majlis-majlis ilmu." Dalam hadith lain diceritakan, Rasulullah pernah masuk ke sebuah majlis. Di majlis itu, tampak ada dua kelompok, di mana yang pertamanya sedang berzikir, sementara yang ke duanya sedang mempelajari ilmu. Rasulullah bersabda, "Kelompok pertama adalah kelompok yang baik. Mudah-mudahan Allah mengampuni mereka. Sedangkan kelompok ke dua yang sedang mempelajari ilmu, mudah-mudahan Allah membimbing mereka ke jalan yang lurus." Kemudian baginda memilih duduk bersama kelompok majlis ilmu.

Rasulullah saw pernah ditanya oleh salah seorang sahabatnya perihal siapakah teman duduk (berbual) yang paling baik. Rasulullah saw menjawab, "mereka itu adalah orang yang bila kamu lihat, dapat mengingatkanmu kepada Allah, menambahkan ilmumu dalam pembicaraannya, dan mengingatkanmu kepada akhirat dari amal-amalnya." Orang-orang yang memiliki sifat seperti di ataslah yang paling wajar untuk dijadikan teman duduk.

Allah SWT memuliakan dan meninggikan darjat mereka kerana keberimanan mereka dan ilmu yang mereka miliki. Allah SWT berfirman yang maksudnya " ... Dan apabila dikatakan: "Berdirilah kamu, maka berdirilah, niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan". (Al Mujaadilah:11).


Malangnya, pihak kita sendiri nampaknya cukup mencintai majlis-majlis lagho yang mengembangluaskan budaya maksiat walaupun cuba diselindungkan sebagai perjuangan rakyat, kononnya walhal ianya tidak lebih daripada perjuangan menghalalkan perbuatan seorang pemimpin yang ketika berkuasa, bencinya kepada Islam, mengatasi kebencian musyrik kepada Allah Taala. Tetapi apabila dipecat daripada jawatan dan kekuasaan, dia meroyan dan melatah menyalahkan semua pihak, bahkan menuduh semua pihak mahu menganiayainya.

Bagi yang selalu mengikut kelas pengajian al Quran, tentu sekali kita akan maklum bahawa Allah Taala telah menyebut sebanyak 16 kali yang Dia tidak menzalimi hamba-hamba-Nya, bahkan hamba-hamba-Nya yang menzalimi diri sendiri.

Dan bagi yang juga menghadiri kelas Tauhid terutama sekali dalam hal Usuluddin, kita pasti akan tahu dan faham bagaimana fungsi Afaal dan Iradah Allah Taala menjadikan setiap kejadian itu dengan penuh hikmah, manakala manusia pula hanyalah asbab-Nya.

Segala kejadian dan peristiwa waimma kaki yang tercucuk duri sekalipun, semuanya dalam Pengetahuan dan Kehendak Allah Taala.

Begitulah yang Allah Taala tunjukkan kepada kita agar dijadikan panduan dan pedoman. 30 April sehingga 3 Mei, telah berlangsung satu majlis yang bertajuk, LANTUNAN MAHABBAH RASULILLAH S.A.W di Stadium Suka Menanti Alor Setar. Penganjurnya adalah persatuan pondok yang juga merupakan antara dai'e utama Parti Islam Se-Malaysia.


Bagaimanapun, jumlah penyertaan dan hadirin, terlalu kecil kalau dibandingkan dengan Demonstrasi 1 Mei yang tidak tentu hala tujuan, bahkan tidak mengubah sedikit pun keputusan yang telah dibuat oleh Kerajaan UBN untuk mengenakan GST kepada rakyat negara ini bagi menggantikan SST yang memberikan keuntungan besar kepada pihak-pihak tertentu termasuklah kaum pendatang asing.

Ketika tinjauan dibuat semalam iaitu pada malam akhir majlis tersebut, yang hadir cumalah 1300 orang. Menurut pihak penganjur, jumlah hadirin tidak jauh berubah dari 30 April lalu sehinggalah malam terakhir 3 Mei 2014.

Mungkin disebabkan tidak ada ceramah berdegar-degar menyalahkan orang itu, orang ini atau tidak ada cerita sensasi sebaliknya sekadar memuji-muji Rasulullah s.a.w yang telah menyampaikan perutusan Allah Taala kepada umat manusia, maka majlis ini kuranglah menjadi daya tariknya. Atau barangkali kerana di sini tidak ada demonstrasi yang bersifat revolusioner, maka anak-anak muda yang sanggup berkonvoi dan berombongan beramai-ramai ke Kuala Lumpur, tidak menghiraukannya.

Yalah, apa sangatlah memuji dan memperingati Rasulullah s.a.w berbanding berdemonstrasi untuk mendapat pujian Anwar Ibrahim dan para pemimpin DAP, kan? 


Saturday, 3 May 2014

'Kami Tak Undi PAS Sebab Suka PAS Tapi Kerana Tidak Ada Pilihan Lain'


Itu kenyataan yang dituturkan oleh beberapa orang penyokong kuat Anwar Ibrahim dan DAP dalam sebuah forum terbuka bertajuk, Hudud Di Malaysia yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur malam tadi.

Kegelisahan golongan berkenaan semakin ketara apabila Kerajaan Persekutuan menyatakan persetujuan untuk mewujudkan sebuah jawatankuasa teknikal bersama-sama Kerajaan Negeri Kelantan bagi mengkaji perlaksanaan hukuman hudud di Kelantan sebagai permulaan.

Walaupun di dalam BN sendiri berlaku tentangan membabitkan MCA, GERAKAN dan SUPP, namun seperti biasa dalam keadaan apa-apa pun, UBN dilihat lebih berkemampuan untuk menenangkan mereka sepertimana yang telah dilakukan oleh parti itu sebelum ini.

Berbeza pula dengan PAS yang menggunakan taktik lemah lembut dan mengambil hati serta menurut.


Dalam forum semalam, Dr. Ahmad Farouk Musa, Pengarah Islamic Renaissance Front yang diketahui merupakan penyokong kuat Anwar Ibrahim dan juga merupakan penggerak utama pergerakan Islam Liberal di Malaysia mengatakan, tindakan PAS berkeras mahu melaksanakan hudud akan merugikan parti ini.

Aktivis sosial Haris Ibrahim, seorang lagi penyokong kuat Anwar Ibrahim turut berkata, PAS memperolehi undi daripada mereka kerana tiada pilihan. Justeru, kalau PAS terus bertegas mahu melaksanakan hudud, PAS akan menerima akibat yang sangat buruk.

Seorang peguam NGO Save Sarawak Rivers, Abun Sui Anyit turut menyuarakan nada serupa. Lebih malang lagi ialah apabila peguam PAS yang juga Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin mengambil sikap mengampu kaum kafir apabila berkata, dia sendiri berpendapat bahawa hudud perlu ditangguhkan terlebih dahulu sehingga penerangan menyeluruh kepada rakyat Malaysia dibuat.

Tidakkah pendapat dan pendirian Hanipa Maidin itu sama sahaja dengan pendirian serta pendapat UBN yang kita kecam selama ini?

Hudud bukanlah taktik untuk meraih undi sebagaimana yang difahami oleh kaum kafir itu. Sebaliknya hudud adalah tuntutan dari Allah Taala, sama seperti solat lima waktu, sama seperti berpuasa pada bulan Ramadhan, sama seperti membayar zakat dan fitrah, bahkan sama juga seperti kewajipan menunaikan ibadah ziarah dan Haji. Walaupun bukan digolongkan sebagai rukun, namun kewajipan itu dimohorkan menerusi ayat-ayat al Quran.

Sementara itu, Anwar Ibrahim yang sedang berada di Jakarta berkata, keadaan semasa tidak memungkinkan Pakatan Rakyat akan berpecah. Maksud yang boleh difahami ialah, Anwar amat berharap, PAS akan menggugurkan keputusan yang telah lama dibuat dan asas perjuangan parti ini untuk mewujudkan Baldatun Toiyyibatun Wa Robbun Ghafur.

Seperti biasa, ujian besar yang dibuat ialah PAS akan kehilangan peluang untuk memerintah Putrajaya bersama-sama DAP dan PKR sekiranya terus bertegas untuk melaksanakan hudud.

Barangkali mereka semua terlupa bahawa PAS sudah biasa kalah. Para ulama PAS yang dirahmati Allah Taala seringkali berkata bahawa PAS tidak kisah kalah dalam pilihanraya kerana PAS memang sudah biasa kalah tetapi PAS tidak mahu kalah apabila disoal di hadapan Allah Taala kelak kerana Allah Taala adalah maqam kepada perjuangan PAS, bukannya Putrajaya.

Hanya setelah PAS diresapi oleh para pemimpin yang hanya bertubuh dan berbaju PAS tetapi berjiwa dan roh mereka adalah Anwar Ibrahim dan DAP, bahkan golongan yang terpengaruh dengan liberalisme dan moderat, asas perjuangan PAS itu telah dikorbankan demi kuasa dan kesenangan duniawi.

Benar kata sebilangan orang PAS, PAS perlu kembali kepada fitrah. Kekuatan PAS sebenarnya terletak kepada ulama kerana ulamalah yang akan memandu ahli-ahli PAS ke jalan kebenaran, bukannya golongan gila kemasyhuran yang sekarang ini sedang membarisi kepimpinan. Dewan Ulama dan Majlis Syura perlu diperkukuhkan semula, manakala mulut-mulut yang gatal nak bercakap, perlu ditutup dan dizipkan!

Musuh Islam Semakin Ketara Penentangan, Kita Pula Semakin Beria-ia Ambil Hati Mereka


Mungkin ramai yang perasan, selepas PRU12 pada tahun 2008 yang menyaksikan buat kali pertama, gabungan parti-parti pembangkang utama di Malaysia berjaya menang besar dengan DAP adalah pemegang konsesi terbesar dalam kemenangan tersebut. Begitu juga dengan PKR dan PAS turut menerima laba yang sama.

Manakala UBN mengekalkan penguasaan mereka. Yang kalah merudum adalah parti-parti komponen BN seperti MCA, MIC, SUPP dan GERAKAN.

Sepatutnya dengan pertambahan undi kepada PAS dan kerusi Melayu-Islam di dalam PKR, membuatkan umat Islam bertambah utuh, kuat dan suara mereka lebih vokal serta peluang-peluang di bidang pendidikan, perbankan, industri, ekonomi dan sebagainya bertambah kuat serta terbuka. Syiar Islam juga semakin bertambah dan Malaysia terkenal kerana pemurnian akidah umat Islamnya yang sudah dijajah semenjak beratus-ratus tahun lampau sehinggakan bidaah dan khurafat pun gagal dibezakan sama sekali, malah disekalikan dalam akidah.

Malangnya apa yang berlaku adalah sebaliknya. Ahli-Ahli Parlimen yang beragama Islam, gagal memanfaatkan peluang tersebut, sebaliknya mereka jadi berpuak-puak, berpecah belah dan saling bersikap assobiyyah apabila sentiasa membela kemungkaran dan kezaliman yang dilakukan oleh puak masing-masing.

PAS juga tidak terkecuali. Kemenangan dan kejayaan menguasai Kedah dan Kelantan, menjadikan sebahagian besar pemimpin PAS lupa daratan dan tidak lagi peduli dengan perjuangan sebenar parti. Upaya pihak-pihak di dalam PAS yang mahu melihat PAS lebih kuat dan berwibawa menerusi penguasaan hierarki kepimpinan di Selangor dan Perak, akhirnya dimusnahkan oleh pemimpin-pemimpin PAS sendiri yang tergila-gilakan projek serta kemewahan yang telah disuap oleh Cina DAP.

Akhirnya PAS hanya berpuas hati sebagai Menteri Besar boneka di Perak, manakala di Selangor pula, PAS hanya mendapat jawatan yang kalau tidak ada pun, tidak akan mencacatkan sama sekali pentadbiran negeri.

Sehingga sekarang, masih ramai orang yang mengaku mereka dari jemaah PAS, gagal memahami muslihat sebenar Kerajaan Perpaduan. Mereka sebaliknya cukup menyayangi Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng, sehinggakan pelbagai gambaran indah diberikan kepada tubuh badan Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng semata-mata untuk mendapat pujian daripada kelompok yang lebih layak kita gelarkan sebagai MUSYRIK itu.

Kita percaya bulat-bulat kepada momokan kononnya Anwar Ibrahim difitnah meliwat dan menolak segala bukti serta fakta yang diberikan di mahkamah. Kita percaya bahawa DAP akan menyokong dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan walaupun pada hakikatnya, DAPlah yang memperjuangkan penghapusan keistimewaan Perlembagaan Persekutuan yang diberikan kepada Melayu-Bumiputera, Bahasa Melayu dan agama Islam di negara ini. Kita percaya mereka boleh berubah dan kita juga percaya bahawa kita akhirnya akan berjaya memenangi hati mereka menerusi pendekatan kita yang lebih Islamik berbanding UBN.

Namun dari hari pertama Pakatan Rakyat disuarakan di Perak sehinggalah PRU-13 dan sehingga kini, DAP dan Anwar Ibrahim tidak berkurang memusuhi Islam dan PAS, sebaliknya bertambah-tambah dengan kita secara keseluruhannya digambarkan sebagai kaum yang jumud, barbaric dan hidup pada zaman batu.

Selepas 'kemenangan' pada PRU-12, rumah-rumah ibadat bukan Islam semakin membesar dan semakin bertambah. Kaum Hindu telah membesarkan rumah-rumah ibadat mereka dan Kerajaan yang cukup khuatir akan kehilangan sokongan masyarakat Hindu, terpaksa memilih untuk menjadi penakut walaupun rumah-rumah ibadat tersebut dibina secara haram di tanah-tanah milik kerajaan mahupun persendirian. Manakala kita pula, turut mengambil pendirian yang sama kerana bimbang sokongan kepada PAS akan turut hilang, walaupun hakikatnya semua kerusi DUN dan Parlimen yang kita tandingi adalah kerusi majoriti Melayu-Islam kecuali di Sabah dan Sarawak.

Taktik cuba mengambil hati kaum kafir telah menyebabkan kita terperosok dan mundur jauh dari jalan perjuangan. Ditambah pula dengan kelemahan kita sendiri yang mudah terpegun kepada wang ringgit serta puji-pujian yang diberikan kerana istiqomah kita menentang UBN, membuatkan musuh sebenar kita itu dapat mengambil kesempatan dengan mudah.

Kita ditindas dan diperlekehkan, sedangkan pada masa yang sama, kita pula dituntut untuk bersetuju dengan apa-apa sahaja tindakan mereka.

Sudah-sudahlah memberikan sokongan dan sentiasa menyokong PKR khususnya Anwar Ibrahim dan DAP. Sudah terbukti pun, kita tidak mendapat sebarang laba daripada perkongsian dengan mereka, sebaliknya kita yang lebih banyak rugi, bahkan kita pula yang dilihat sebagai terhegeh-hegeh untuk mendapatkan redha mereka.

Friday, 2 May 2014

Kenyataan Rasmi Pengarah Jabatan Amal Berhubung Insiden Pergaduhan Dalam Himpunan Semalam

 
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

KENYATAAN JABATAN AMAL MALAYSIA (SELANGOR) BERKENAAN INSIDEN BERKAITAN HIMPUNAN GST.

Saya mengambil tanggungjawab utk menjawab tohmahan seperti yang tersiar meluas di laman web dan media sosial kerana anggota Jabatan Amal dari Selangor berada di semua lokasi berkumpul pada Himpunan Gst semalam.

1. Insiden Semasa HimpunanJabatan Amal Malaysia ditugaskan untuk menjaga kelancaran himpunan dari aspek keselamatan termasuklah antara perkara pentingnya adalah memastikan peserta tidak memasuki kawasan padang yang menjadi antara syarat utama kebenaran himpunam diberikan.

Kejadian yang berlaku adalah disebabkan oleh cubaan memasuki kawasan padang dataran oleh sekumpulan kecil 'peserta' dan tindakan mengganggu acara himpunan dengan membuat bising juga oleh kumpulan yang sama.

Tindakan memukul mereka tidak berlaku sama sekali tetapi kami hanya berusaha menyuraikan mereka dan kami juga cuba menenangkan sekumpulan peserta lain yang mula membalas kata kata makian mereka kepada kami sehingga berlaku sedikit ketegangan.

Gambar yang menunjukkan ada antara mereka luka di dahi MUNGKIN kerana semasa kejadian tolak menolak tersebut. Cuma saya katakan, ramai peserta yang datang untuk berhimpun dengan baik, mereka datang dan pulang dalam keadaan yang harmoni pada hari tersebut. Kenapa ada seorang yang luka? Apa yang dia telah buat?

2. Insiden malam selepas himpunan.
Jabatan Amal dengan ini menafikan sekeras kerasnya bahawa kami terlibat dalam insiden berkenaan.

Tiada anggota AMAL yang bernama Anuar dari kawasan Pandan seperti didakwa.

Tiada kad keahlian dikeluarkan oleh kami semenjak 8 tahun lalu dan yang dikeluarkan dulu pun sangat terhad dan kami kenal mereka yang mempunyai kad keahlian.

Berkuasa betul mereka yang terlibat menyerang pada malam tersebut dengan hanya menunjukkan kad keahlian Amal, pihak polis boleh dihalau....(logik ke?)

Kami mendesak pihak yang menuduh menyerahkan bukti kepada kami dan pihak berkuasa kerana kami tidak sesekali akan bersekongkol dengan perbuatan sebegini.

Untuk makluman semua, kami dari Jabatan Amal Malaysia atau lebih dikenali sebagai Unit Amal tidak pernah dilatih atau melatih anggota untuk melakukan tindakan seperti dituduh bahkan ketika kami bertugas kami pernah dipukul, diludah, dicaci maki tetapi kami mengambil pengajaran dari akhlak Rasulullah dalam menghadapi perbuatan sebegini, apa sahaja kerja buat kami dan apa yang kami hadapi, kami hanya menyharapkan pembalasan dari Allah. Redhanya yang kami buru, kami yakin dengan janji Nya.

BERAMAL KERANA ALLAH
Khairil Anuar Ismail
Pengarah Jabatan Amal Malaysia (Selangor)

Bukankah Lebih Baik Pesuruhjaya PAS Kedah Tutup Mulut Saja Dari Keluarkan Sebarang Komen


Bila sebut Mahfuz Omar, bukan kata orang UBN, orang PAS sendiri pun mencebik dan mencemik. Walaupun popular di kalangan pucuk pimpinan dan pimpinan lapis kedua, Pesuruhjaya PAS ini sebenarnya kerap kali membuatkan orang PAS terpaksa menahan malu setiap kali tindak tanduk dan cakap-cakapnya diulas atau dipangkah.

Mahfuz bukanlah orang yang terbaik untuk mengulas sesuatu isu bagi pihak PAS. Dia mungkin sesuai untuk jadi pekerja parti tetapi tidak sepatutnya dilantik ke jawatan-jawatan utama dalam sesebuah organisasi. Sebabnya ialah, selain dia tidak boleh bekerja sebagaimana yang berlaku dalam Sato Kedah dulu, dia juga gagal menutup kejahilannya sendiri.

Dalam ceramahnya di Dataran Merdeka, katanya, demonstrasi anjuran PKR itu sepatutnya dijadikan produk pelancongan. Ada yang bersorak, ada yang bertakbir tetapi lebih ramai yang rasa macam nak termuntah bila dengar dia mengeluarkan kenyataan sebegitu.

Mana mungkin demonstrasi boleh dijadikan sebagai produk pelancongan. Tidak ada mana-mana negara di dunia ini, hatta Amerika Syarikat yang dikatakan bebas itu pun, menjadikan demonstrasi sebagai produk pelancongan.

Apakah sebenarnya dalam fikiran Mahfuz Omar, para pelancong akan duduk berbaris mengambil gambar demonstrasi-demonstrasi anjuran PKR yang menonjolkan gelagat-gelagat hodoh termasuklah bergaduh dengan pihak berkuasa serta menyerang wakil-wakil media? Atau sebenarnya Mahfuz Omar terfikir, ramai pelancong yang berfikiran seperti orang PKR, yang tidak dapat menahan gedik kaki mereka apabila melihat demonstrasi sedang berlangsung, lantas akan datang dari jauh dengan menggunakan pelbagai jenis kenderaan seperti yang dilakukan oleh orang kita?

Yang aku tahu, sebarang demonstrasi besar akan menyebabkan para pelabur lari membawa segala macam pelaburan mereka ke negara-negara yang lebih stabil ekonominya. Lagi besar demonstrasi yang dibuat, lagilah kosong negara tersebut daripada pelabur. Tidak ada mana-mana pelabur yang sanggup mengambil risiko di atas ketidakstabilan politik. Itu yang berlaku di Sepanyol dan Greece, malah negara-negara Timur Tengah seperti Mesir, Libya, Morocco, Yaman mahupun Syria dan Afghanistan.

Berbanding demonstrasi-demonstrasi yang PAS anjurkan, demonstrasi-demonstrasi anjuran PKR lebih banyak merosakkan negara. Dan lebih banyak mendatangkan penderitaan kepada rakyat. Kegilaan mereka untuk berdemonstrasi sehinggakan isu Anwar masuk penjara pun boleh menyebabkan mereka berkumpul di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur dan kita pula dipaksa untuk menyokong mereka, tidak mendatangkan sebarang manfaat pun kepada majoriti masyarakat di negara ini.

Kita menentang GST jikalau GST itu mendatangkan keburukan kepada rakyat. Tetapi yang pasti, penentangan terhadap GST hanya melibatkan orang Melayu, manakala orang Cina pula tidak tertarik langsung untuk menentang GST. Anwar Ibrahim sendiri pun menyatakan persetujuan dengan perlaksanaan GST dan menganggapnya sebagai baik. Hansard Parlimen sendiri mengesahkan kenyataan dan sokongan Anwar Ibrahim kepada GST.

Kemudian Mahfuz ketika ditanya mengapa hanya orang Melayu sahaja yang menyokong perhimpunan atau demonstrasi menjawab, sebab orang Melayu masih ramai yang miskin. Bagaimana yang dikatakan miskin, aku sendiri pun tidak faham.

Aku melihat keadaan di dalam parti sendiri. Kalau dahulu, para pemimpin PAS kalau hendak berceramah, akan pergi secara berkonvoi. Para dai'e PAS pula akan berkelana seperti orang tabligh, membawa tikar jerami dan buntil baju untuk berdakwah dan berkempen bagi mendapatkan sokongan buat parti. Para penceramah ke sana ke mari dengan van-van atau kereta-kereta berusia lebih sedekad. Tak adalah yang tidur di hotel-hotel mewah atau makan di restoran-restoran atau coffee-house.

Sekarang, pemimpin PAS dengan UBN hanya dibezakan menerusi pakaian dan janggut sahaja. Cara hidup mereka sangat sama. Rumah sudah besar. Ada pagar batu di sekeliling rumah mereka. Kereta pun tak ada lagi kereta Proton atau Perodua. Semuanya mewah-mewah belaka. Mahfuz yang tidak pandai memandu pun, boleh beli kereta mewah dan menggaji pemandu peribadi.

Orang PAS tidak lagi sekadar terdiri daripada petani, penoreh getah, pekebun kecil atau penanam padi dan nelayan. Sebaliknya terdiri daripada golongan profesional dan korporat. Sumbangan untuk parti pun, lebih banyak duit not lima puluh dan seratus berbanding syiling dan wang kertas seringgit.

Yang sebenarnya, Mahfuz cuba menipu dalam memberikan alasan sedemikian. Memang orang Melayu yang paling ramai terbabit dalam demonstrasi sebab orang Melayu di Malaysia mudah diajak berdemonstrasi sebab mereka ada banyak masa terluang dan sentiasa dimanjakan oleh Kerajaan UBN walaupun semakin ramai yang menolak UBN. Tak seperti orang Cina yang bertungkus lumus menguasai dan mengekalkan penguasaan ekonomi di Malaysia, orang Melayu hanya suka merungut tetapi malas berusaha. Kita telah diajar oleh pemimpin-pemimpin baru kita bahawa siapa pun yang menjadi kerajaan, perlu bertanggungjawab membela rakyat.

Sehingga ada pula yang berkata, kalau rakyat tidak ada kerja, kerajaan perlu mencari rakyat yang tidak bekerja itu dan menawarkan pekerjaan bergaji besar kepada mereka. Kalau kerajaan tak buat seperti itu, rakyat terutama sekali orang Melayu akan terus miskin.

Aku belum pernah lagi menyokong UBN tetapi aku juga tidak menyokong pembohongan seperti ini. Kita berjuang atas kebenaran. Dan kebenaran jugalah yang kita duduk di atasnya, bukannya pembohongan demi memenangkan perjuangan kita.

Hadith:

DARI Ibnu Umar r.a katanya: "Saya dengar Nabi SAW bersabda: "Bagi tiap-tiap orang yang khianat (penipu) ada bendera yang dipancangkan tanda khianatnya di hari kiamat kelak. [Riwayat Bukhari]

Huraian Hadith:


Rasulullah SAW menjelaskan sifat-sifat orang munafik, di antaranya: Apabila ia berkata, ia berbohong, apabila berjanji, ia mungkiri dan apabila diberi amanah, ia khianat.

Maka wajar jika Rasulullah SAW menyatakan bahawa berdusta atau berbohong itu termasuk dalam dosa besar.

Dalam sebuah riwayat diceritakan, telah datang kepada Rasulullah SAW, seorang lelaki meminta nasihat.

Lelaki itu mengaku bahawa dia tidak dapat meninggalkan satu maksiat yang biasa dilakukannya, iaitu berzina.

Mendengar pengakuan jujur lelaki ini Rasulullah SAW berwasiat kepadanya: "Hanya dengan satu perkara: "Laa Takzib! (Jangan berbohong!)." Ternyata dengan menjaga untuk tetap melaksanakan nasihat Rasulullah SAW itu, lelaki ini dapat menghindari perbuatan maksiat yang susah ditinggalkannya kerana setiap kali dia ingin melakukan zina, dia akan ingat kepada nasihat baginda itu.

"Bagaimana kalau saya ditanya oleh Rasulullah SAW? Jika saya menjawab: "Tidak, bererti saya telah berbohong. Jika saya mengaku bererti saya wajib dihukum", fikir lelaki tersebut sehingga telah berhenti dari berzina.

Gaduh Dengan Jabatan Amal, Kerjasama Dengan SAMM Perlu Dikaji Semula


Bukan tidak ada yang menentang keputusan Jabatan Amal untuk terlibat dalam demonstrasi-demonstrasi anjuran PKR. Namun suara-suara itu sayup-sayup sahaja kedengaran dan langsung tidak dipedulikan. Ketua-Ketua Jabatan dan Unit Amal lebih berminat untuk mendapatkan pujian daripada para pemimpin PKR, dan berasa megah diri apabila Jabatan dan Unit Amal dikatakan, jauh lebih baik berbanding Polis.

Semalam, barulah masing-masing tahu yang PKR dan keanggotaan SAMM di dalam parti tersebut adalah satu gabungan biadap, kurang ajar, kuat berbohong dan kuat pula menfitnah. Adakah kali ini, mereka akan menuduh Special Branch (SB) juga yang terlibat, menyamar sebagai SAMM dan mencetuskan pergaduhan dengan Jabatan dan Unit Amal bagi mencetuskan pergaduhan sesama sendiri?

Kalau sebut sahaja PKR dan SAMM, tidak mustahil, alasan tersebut akan digunakan. Dan penafian demi penafian akan dibuat yang pemuda-pemuda berkenaan bukannya ahli SAMM sebaliknya menegaskan bahawa mereka tidak dikenali dan besar kemungkinan adalah anggota SB yang menyamar.


Ini sebenarnya bukanlah kali pertama kejadian seperti ini berlaku. Sebaliknya sudah berkali-kali. Ironinya, gelagat sebegini turut menjadi ikutan sebahagian daripada ahli-ahli PAS yang dengan tanpa usul periksa dan main percaya sahaja akan menuding jari kepada polis.

Barangkali disebabkan itulah, Johari Othman, Ketua Unit Amal PAS yang bertugas semalam mendakwa SAMM keras kepala dan tidak mengikut arahan sebagaimana yang diarahkan sehingga menjadi punca utama mereka bergaduh. Johari Othman lebih menjurus kepada Chegu Bard yang cukup kurang ajar dan biadap. Dan kerana itulah, menurut Johari, pada masa hadapan Unit Amal akan lebih berhati-hati dalam menjalin kerja dalam aktiviti membabitkan PKR pada masa akan datang.

Secara keseluruhannya, Unit Amal telah menjalankan tugas dengan baik, iaitu mengawal perhimpunan ini daripada sebarang kekecohan.