Wednesday, 29 January 2014

Jawatan MB Selangor Adalah Amanah Tuan Guru Presiden PAS, PKR Perlu Tahu!


1. Kerusi MB Selangor adalah pilihan oleh PAS menerusi Presiden PAS. Mempertikaikan Tan Sri Khalid sebagai MB secara berterusan adalah bererti mempertikaikan kebijaksanaan Presiden PAS.

2. Tan Sri Khalid telah berjaya menguruskan kerajaan negeri dengan baik. Masalah yang berlaku hanyalah kerana ada pihak di kalangan PKR yang gagal mendapat manfaat peribadi menerusi Tan Sri Khalid yang sangat tegas dalam pengurusan kewangan terutamanya. Tidak ada kewajaran untuk menukar beliau sebagai MB.

3. Sekiranya benar perlu ditukar maka jawatan MB secara mudah boleh diserahkan kembali kepada PAS dengan pemilihan YB Iskandar sebagai MB baru

4. PRK Kajang diadakan untuk menukar MB Selangor oleh PKR. Tujuan PKR ialah untuk mengelakkan jawatan beralih tangan kepada PAS iaitu Iskandar Samad. Ini satu pengkhianatan terhadap rakah Tahaaluf Siyaasi. Ia merupakan tindakan sangat licik dalam berpolitik untuk kepentingan larti sendiri bukan kepentingan PR.

5. Dalam masa yang sama ia satu tempelak kepada Presiden PAS kerana Presiden PAS yang membuat keputusan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB. Maka tindakan PKR adalah satu penghinaan kepada Presiden.

6. Melibatkan diri dengan PRK Kajang semata-mata untuk memenangkan agenda Anwar menjadi MB menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim adalah satu pengkhianatan terhadap PAS. Tidak sewajarnya ahli PAS membiarkan ia berlaku.

YB. Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

Tuesday, 28 January 2014

Ikutkan Sangatlah Permainan Gila PKR dan Anwar Ibrahim

Alasan yang Anwar Ibrahim bagi sebab dia nak bertanding di DUN Kajang adalah untuk memantapkan Pakatan Rakyat Selangor. Dengan kata lain, perletakan jawatan Lee Chin Chen sebagai ADUN Kajang adalah untuk memantapkan Pakatan Rakyat jugalah.

Maknanya secara lebih meluas, semua ADUN Pakatan Rakyat di Selangor belum cukup mantapkan Pakatan Rakyat lagi. ADUN-ADUN dari PAS dan DAP selain PKR, semuanya cabuk-cabuk belakalah. Tak berguna barang seduit, kata orang utara.

Itulah maksud Anwar Ibrahim.

Aku pun tak faham, apa jenis manusialah Anwar Ibrahim ni. Alasan yang diberikannya langsung tidak masuk akal. Kenapa dia tak bercakap terus-terang sahaja yang dia nak jadi Menteri Besar Selangor selepas gagal menjadi Perdana Menteri Malaysia? Apa perlu dia bagi jawapan yang begitu cliche semata-mata nak menunjukkan yang dia tu baik.

Jadi memang kena betullah apabila Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Pusat mendesak penjelasan yang lebih masuk akal, lebih rasional dan lebih waras daripada PKR berhubung tindakan bodoh ini.

Aku menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan oleh Sdr. Mohd Sany Hamzan bahawa PKR di Selangor terlalu besar kepala, ego dan berlagak seperti boss besar. Tindakan perletakan jawatan ADUN Kajang semalam merupakan pengkhianatan amanah yang sangat besar yang telah diberikan oleh rakyat Selangor kepada Pakatan Rakyat, selain membelakangkan semangat 'Syura' di kalangan ketiga-tiga komponen Pakatan Rakyat Selangor. Perletakan jawatan ini juga merupakan satu pembaziran ke atas wang rakyat. Rakyat juga semakin meluat dan bosan dengan gelagat politik rakus PKR Selangor dan Anwar Ibrahim.

Bagi aku, dengan bukti yang sudah sedia ada, Dewan Pemuda PAS Pusat tidak payah lagi memberi amaran untuk tidak membantu PKR, sebaliknya elok kalau kita pulaukan sahaja PRK yang membazir ini. PKR terlalu mementingkan politik Anwar Ibrahim dan tidak menghiraukan keuntungan jangka panjang melibatkan PAS yang menjadi tonggak Pakatan Rakyat.

Sepatutnya sebagai budak kecik di Selangor, PKR mendapatkan pandangan PAS. PKR perlu sedar diri bahawa tanpa PAS, PKR tidak akan menjawat jawatan Menteri Besar di Selangor dan tidak akan mampu berlagak dengan jawatan Exco atau Pengerusi GLC negeri. Setiap satu undi kemenangan PKR, semuanya adalah datangnya dari PAS.

Ini masanya untuk mengajar PKR yang semakin besar kepala. Biar kali ini mereka sedar diri dan lebih berhati-hati lain kali.

PKR tidak perlu bimbang memandangkan 41% pengundi di Kajang adalah kaum Cina dan 11% pula masyarakat India. Sebahagian daripada 48% undi Melayu, pastinya datang dari kaum UBN yang buat undi protes terhadap Najib. Jadi pusing kut mana pun, PKR tetap akan menang sekalipun calon mereka cumalah sehelai seluar dalam Levis.

Jemaah Islam cuma mahu mengajar Anwar Ibrahim dan PKR sahaja supaya mereka tidak terlalu galak dan terlalu berlagak.

Mana PAS Nak Letak Muka Kalau Anwar Buat Keputusan Masuk Balik UMNO?


Angin tak ada ribut tak ada, tiba-tiba Anwar bercakap tentang konsensus? Tiba-tiba sahaja Anwar Ibrahim nak jadi lelaki budiman yang tahu halal haram dan had batasan berpolitik? Dan tiba-tiba sahaja Anwar Ibrahim bertukar menjadi Pak Syeikh yang janggutnya panjang ke dada dan serbannya berat tujuh kati?

Helah Anwar apabila dia menyatakan, para pemimpin politik perlu mengutamakan negara berbanding kepentingan parti, mudah diteka. Anwar sudah terdesak ke penjuru. Semuanya jadi tidak menjadi. Mahu tidak mahu, akhirnya yang dijadikan penjahat adalah PAS.

Najib, Presiden UBN sudah pun memberitahu yang saranan Anwar Ibrahim akan dipertimbangkan dan diperhalusi dengan sebaik-baiknya.

Apa maksudnya tu?

Selagi berlainan parti, pertempuran dan permusuhan tidak dapat dielakkan. Nak aman senang saja, masuk parti lawan. Ulang balik sejarah Tengku Razaleigh Hamzah dan Semangat 46nya. PAS juga akhirnya yang duduk di ceruk dan dilihat sebagai penjahat. Selama ini pun, cerita Anwar Ibrahim nak masuk UBN balik, bukannya cerita dongeng. Konsensusnya dengan Abdullah Badawi yang mendorong kepada pembebasannya dari penjara juga adalah kemasukan balik ke dalam UBN tetapi majoriti ahli UBN menentang. Bila hajatnya ditentang itulah, Anwar Ibrahim buat macam-macam cerita dan isu dari setiap pelusuk dan penjuru negara.

Yang diseret dan diheret ke sana ke mari adalah PAS. PAS jugalah yang menyediakan segala keledai dan lembu untuk berdemonstrasi bagi kepentingan politik Anwar Ibrahim.

Dari awal lagi, bukan sedikit anggota Jemaah Islam PAS yang tidak bersretuju dengan kesungguhan kepimpinan nak berkawan baik dengan Anwar Ibrahim. Sebusuk-busuk Mahathir, tak adalah pernah dia mengumpamakan Tuan-Tuan Guru kita yang dihormati sebagai ulama selipar atau sebagainya. Sebaik-baik Anwar Ibrahim, apa label terburuk dan terhina yang tidak pernah dilemparkan kepada kita.

Ada di kalangan kita yang cuba menyedapkan hati sendiri. Kononnya, Anwar sudah bertaubat dan tahu tentang keburukan UBN. Jadi, kita kena bagi peluang kepada dia. Hakikatnya, manusia seperti Anwar Ibrahim takkan berubah sebab dalam kejahatan UBN, dialah kejahatan paling buruk yang pernah dilahirkan oleh UBN. Dan kita pula mengambil, mengangkat dan menjulangnya sebagai wali kita.

Sekarang, terimalah nasib buruk kita yang kita sendiri tempah.

Aku tak tahu nak sorok mana muka kalau benar Anwar Ibrahim masuk UBN macam yang diura-urakan. Tapi aku teringin sangat nak tengok kawan-kawan kita yang beria-ia sangat menyokong dan membesar-besarkan Anwar Ibrahim melebihi kepimpinan parti sendiri kalau ianya benar-benar menjadi realiti. Nak tengok sangat sama ada  muka mereka bertukar jadi biru pekat atau biru muda.

Monday, 27 January 2014

Lagi Sekali, PAS Selangor Akan Diarahkan Bantu Anwar Menangkan Azmin!

Permainan letak jawatan ini sebenarnya sudah dijangka dari awal terutama selepas terdapat ura-ura MPN cuba desak Menteri Besar bubarkan DUN untuk buat pilihanraya negeri tetapi ditentang hebat oleh DAP dan PAS. DAP dan PAS awal-awal lagi sudah memberi kata putus, pertembungan antara Azmin Ali-Khalid Ibrahim hanya akan menyusahkan, bahkan akan memalukan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, disebabkan ketua PKR adalah Anwar Ibrahim, jadi perkataan 'MALU' tidak wujud dalam hidup mereka.

Seorang ADUN diarahkan untuk membuat pengorbanan bagi mengurangkan ketegangan pertembungan kuasa antara Azmin Ali dan Khalid Ibrahim. Sesuatu yang perlu diketahui ialah, tanpa persetujuan DYMM Sultan Selangor, tiada sesiapa pun yang boleh dibenarkan menjadi Menteri Besar Selangor. Azmin Ali dah terkena tulah Raja sehingga akhirnya rancangannya menjadi Menteri Besar menggantikan Khalid pada penghujung penggal 2008-2013 hari itu, gagal sepenuhnya.

Atas kapasiti itulah, PAS Selangor bersedia untuk mengambilalih. Kita menang 15 kerusi DUN tetapi ketika kita sudah bersedia untuk jawatan Menteri Besar, Anwar Ibrahim masuk campur dan kita tak mahu kecoh-kecoh, jawatan tersebut kita bagi balik kepada PKR atas semangat Pakatan Rakyat.

Mungkin ramai yang tak tahu, PAS sebenarnya lebih mendapat perhatian daripada DYMM Sultan berbanding PKR. Hanya kerana PAS menghormati 'perjanjian', maka PAS akhirnya terpaksa melepaskan jawatan tersebut. Ditambah pula, ada pemimpin-pemimpin PAS Selangor sendiri yang beria-ia mengatakan, jawatan Menteri Besar Selangor adalah status quo PKR yang kononnya telah dipersetujui oleh PAS sekalipun kata putus daripada kepimpinan pusat belum pun diterima. Demi menjaga air muka dan imej parti, akhirnya kita benarkan sahaja kenyataan berkenaan.

Hari ini, seperti yang dijangka, Anwar Ibrahim dan PKR bikin drama lagi. Berat sangat dah PKR ni. Semua benda dia nak dramakan. Dari drama tak menjadi demonstrasi di hadapan Kedutaan Jepun, sampailah demonstrasi TURUN di Seberang Jaya, Pulau Pinang, akhirnya berdrama juga dalam kisah rumahtangga Naib Presiden.

AMK menerusi ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin segera mengeluarkan kenyataan media bahawa AMK menyokong sepenuhnya Anwar Ibrahim dicalonkan sebagai calon ADUN Kajang kemudian menjadi Menteri Besar Selangor dengan alasan Anwar Ibrahim seorang yang berwibawa.

Tetapi tidak sampai lima jam kemudian, Azmin Ali yang merupakan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor mengeluarkan pula kenyataan keras, memberi amaran kepada AMK jangan memandai-mandai. Kata Azmin Ali, MPN belum putuskan siapa yang nak dijadikan calon ganti Lee Chin Cheh yang khabarnya dah tempah tiket untuk lari ke Australia.

Azmin Ali turut menekankan bahawa calon yang akan menggantikan Lee Chin Cheh di kerusi DUN Kajang semestinya anak jati negeri Selangor walaupun beberapa orang ADUN PKR sebenarnya bukan anak jati Selangor seperti Suhaimi Shafie yang berasal dari Bagan Serai.

Aku melihat drama-drama PKR ini sebagai sesuatu yang amat meloyakan. Mereka ini benar-benar mewarisi perangai hodoh UBN, malah lebih hodoh dari yang ada dalam UBN. Kalau bukan kerana persetujuan kepimpinan untuk bertahaluf siyasi dengan PKR, aku rasa, ramai Jemaah Islam PAS yang sanggup menyekeh-nyekeh kepala para pengikut dan pemimpin PKR.

PKR tidak pernah cuba menyelesaikan masalah sesama mereka, sebaliknya mereka mencipta masalah yang lain. Mereka harap sangat-sangat PAS akhirnya akan berkorban untuk menyelamatkan mereka seperti dalam kes-kes terdahulu. Mereka hanya buat masalah, PAS akhirnya jadi mangsa kambinghitam untuk dikekah ramai-ramai.

PRK Kajang pun sama jugalah. Kita tengoklah nanti, yang dikerah untuk berkempen macam nak gila, adalah PAS. PAS Bangi, PAS Hulu Langat, PAS Semenyih, PAS Ampang pasti akan dikerah beramai-ramai dan berampung di Kajang, manakala PKR pula akan bertindak sebagai mandur sambil mereka boleh mengeluarkan arahan konon-kononnya merekalah tuan besar.

Ini penyakit yang sudah lama berlaku dan kita dalam PAS tidak pernah ambik iktibar apa pun.

Kenapa Marah Bila Debat KALIMAH ALLAH Dibatalkan?


Aku tak faham mengapa sebilangan orang yang mengaku mereka memperjuangkan Islam, tidak faham mengapa perdebatan KALIMAH ALLAH antara Noh Omar dengan Khalid Samad dibatalkan, mengamuk sakan. Kata mereka, peluang untuk menunjukkan kebebalan Noh Omar dan kejahilan UBN terbuang begitu sahaja ekoran pembatalan ini.

Secara peribadi, aku memang tidak bersetuju perdebatan KALIMAH ALLAH antara Noh Omar dengan Khalid Samad. Satu, kerana kedua-duanya beragama Islam, begitu juga dengan penganjurnya. Kedua, kedua-duanya dan penganjur sama-sama bukan ahli dalam bidang Usuluddin dan Tasauf. Ketiga, mereka tidak mencari persamaan sebaliknya sekadar mencari populariti.

Dalam hal ini, aku lebih memilih Islam berbanding parti.

Ada juga yang bertanya, siapa dari kalangan PAS Selangor yang memberikan tekanan kepada Karangkraf agar membatalkan program tersebut. Golongan ini sebenarnya adalah golongan yang amat rosak akidah dan pengetahuan agama mereka. Sepatutnya mereka berterima kasih kepada kalangan PAS Selangor yang membuat desakan itu kerana telah menyelamatkan PAS daripada dilihat sebagai perosak dan parasit agama kerana tidak membenarkan seorang yang bukan ahlinya seperti Khalid Samad berdebat bagi sesuatu yang dia sendiri tidak faham. Sebaliknya mereka mencari-cari punca untuk dipersalahkan dan membuatkan DAP serta golongan bukan Islam yang beria-ia mahu mengucar-ngacirkan negara ini dengan KALIMAH ALLAH tersenyum lebar.

Kalau benar-benar hendak berdebat, anjurkanlah perdebatan antara golongan ilmuwan Islam dengan golongan paderi yang menyokong penggunaan KALIMAH ALLAH untuk Bible dan penerbitan-penerbitan mereka yang lain dalam Bahasa Melayu. Dari situ, pencerahan akan lebih banyak terbina. Bukan sahaja umat Islam, bahkan kaum Kristian juga akan lebih faham mengapa ada pro-kontra dalam kemelut ini.

Kita tak mahulah nanti tulang-belulang HIGH PRIEST yang diletakkan dalam kotak kaca dan disembah bagi mendapatkan restu, berkat atau sebagainya, kemudiannya dinyatakan sebagai TULANG-BELULANG ALLAH pula. Pada masa itu, berdebat apa-apa pun dah tak berguna lagi.

Sunday, 26 January 2014

DEBAT KALIMAH ALLAH KHALID SAMAD VS NOH OMAR: Memang Patut Dibatalkan Pun!


Ada banyak pihak dari kalangan Pakatan Rakyat yang tidak berpuas hati apabila terdapat desakan agar perdebatan KALIMAH ALLAH membabitkan Khalid Samad dengan Noh Omar dan dianjurkan pula oleh akhbar Sinar Harian, dibatalkan. Kata mereka, Noh Omar pengecut kerana membatalkan perdebatan itu setelah dari awal mencabar Khalid Samad.

Secara peribadi, aku langsung tidak bersetuju dengan perdebatan ini. Dan aku juga rasa, ramai yang melihat ini merupakan salah satu daripada kaedah-kaedah musuh Islam untuk menang dalam perebutan KALIMAH ALLAH di Malaysia.

Untuk apa sebenarnya perdebatan antara dua orang Melayu tersebut dibuat dan dianjurkan pula syarikat media milik Melayu selain moderatornya juga Melayu?

Bukankah lebih baik sekiranya perdebatan tersebut dibuat antara The Herald atau Lawrence Andrew, paderi yang begitu angkuh untuk menggunakan KALIMAH ALLAH dalam penerbitan dakwah Katholik dalam Bahasa Melayu dengan mana-mana pemimpin Melayu, khususnya yang mempunyai pengetahuan agama yang mendalam, terutama sekali dalam bidang Usuluddin dan Tasauf?

Khalid Samad dan Noh Omar bukannya orang yang layak untuk berdebat tentang KALIMAH ALLAH. Kedua-duanya adalah golongan sekular yang melihat agama dan Islam sama ada sebagai amalan semata-mata atau sebagai modal untuk mendapatkan kuasa. Daripada tindakan-tindakan mereka sebelum ini, tiada sebarang keikhlasan mereka dalam memperjuangkan agama, sebaliknya kedua-dua orang ini lebih kelihatan seperti pedagang dan penjual ayat-ayat Allah Taala sepertimana yang Allah Taala firmankan yang mafhumnya:

Mereka menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit, lalu mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah. Sesungguhnya amat buruklah apa yang mereka kerjakan.
(QS at-Taubah [9]: 9).

Perdebatan ini sebenarnya tidak langsung bertujuan mendekatkan diri kita atau para pendengar kepada Allah Taala, bahkan secara halusnya, berusaha menjauhkan kita dari-Nya dengan menganggap semua agama adalah sama dan al-Rabb yang diperibadatkan dalam setiap agama itu adalah ALLAH TAALA.

Atas dasar inilah Almarhum Tuan Guru Datuk Harun Taib dan Tuan Guru Prof. Dr. Haron Din Al-Hafiz serta yang terbaru, Tuan Guru Dato Bentara Nik Aziz Nik Mat, Mursyidul Am, menentang penggunaan KALIMAH ALLAH oleh mereka yang bukan beragama Islam.

Atas dasar inilah juga, DYMM Yang Di-Pertuan Agong dan Sultan-Sultan Melayu, menitahkan agar KALIMAH ALLAH dipertahankan sebagai hak eksklusif di jazirah ini. Bab Sabah dan Sarawak itu bersangkutan dengan persefahaman serta pembentukan Malaysia yang berkaitan dengan TAHALUF SIYASI yang sepatutnya ahli-ahli PAS sudah faham.

Mengapa pula ada sebahagian daripada kita yang begitu beria-ia hendakkan perdebatan ini berlaku sedangkan keuntungannya tidak berpihak kepada Islam dan umatnya di Semenanjung Malaysia? Sedangkan perdebatan yang sebenar-benarnya perlu wujud adalah antara golongan Kristian yang mendesak dan menuntut penggunaan kalimah itu di Semenanjung dengan golongan yang keras mempertahankannya.

Ramai yang menanti-nantikan perdebatan antara Islam dan Kristian di negara ini. Sudah terlalu lama benar kita membiarkan minoriti Kristian hidup dengan tanggapan, mereka bebas berbuat apa-apa sahaja termasuklah mengetuk kepala kita hanya kerana sebahagian daripada Perlembagaan Malaysia mahu digunakan, manakala sebahagian yang lain, mereka tentang dan cuba buat-buat tak nampak.

Sinar Harian dan Karangkraf sepatutnya lebih berani menganjurkan perdebatan antara Kristian dengan Islam dalam hal membabitkan KALIMAH ALLAH. Malah Kerajaan Najib Abdul Razak sepatutnya lebih berani membenarkan para daie seperti Dr. Zakir Naik datang ke negara ini dan berceramah sepertimana Mahathir membenarkan Allahyarham Ahmad Deedat berceramah dalam suasana tertutup di Malaysia yang kemudian ditentang keras oleh Kristian yang takut menerima kenyataan dan kebenaran.

Saturday, 25 January 2014

AL-FATIHAH... ALLAH TAALA TELAH MENGANGKAT SEORANG DARIPADA PEJUANG-NYA!

Dato' Harun Taib, Ketua Dewan Ulama PAS Malaysia telah menyahut panggilan Illahi tengah malam tadi, tatkala ramai yang menarik nafas lega apabila mendengar berita, Tuan Guru Dato Dr. Harun Din Al-Hafiz kembali stabil walaupun masih di wad CCU Institut Jantung Negara.

Jemaah Islam kehilangan seorang pemimpin. Umat Islam di Malaysia kehilangan seorang gembala yang sentiasa menggembalakan kawanannya mengikut lorong dan laluan yang benar. Umat kehilangan seorang pejuang yang bersendirian berjuang pada saat-saat akhir kehidupannya.

Allahyarham merupakan antara segelintir pemimpin PAS yang menolak campurtangan DAP dalam parti PAS. Pada Pilihanraya Kecil Sungai Limau yang lalu, Allahyarham tidak hadir mesyuarat selama dua hari sebelum hari mengundi kerana enggan menerima campurtangan DAP pada kempen PAS di Sungai Limau. Allahyarham turut pernah menggesa pucuk pimpinan PAS menarik diri daripada Pakatan Rakyat ekoran sikap keterlaluan DAP dalam banyak hal.

Selepas PRU13, Allahyrham pernah menzahirkan kebimbangan akan ancaman chauvinist dari DAP yang mahukan kuasa dan menggesa pucuk pimpinan PAS mengadakan hubungan dengan UMNO bagi menyelamatkan Islam.

Berikut adalah antara beberapa petikan daripada kata-katanya:

KALIMAH ALLAH
"Saya juga berpuas hati dan menyokong penuh keputusan Mahkamah Rayuan semalam tidak membenarkan KALIMAH ALLAH digunakan dalam majalah The Herald. Dalam bab akidah, Islam kena jaga."

"Saya tidak bersetuju dengan pendpaat Mohd. Asri. Sebagai seorang Islam, saya tetap tegaskan bahawa KALIMAH ALLAH hanya hak agama dan umat Islam, bukan Islam tiada hak menggunakan kalimah suci itu."

"Majlis Syura Ulama PAS tidak akan menarik balik atau berbincang apa-apa lagi mengenai isu ini. Ia melibatkan akidah, bukan sesuatu yang boleh mendapatkan kelonggaran."

HUBUNGAN POLITIK DENGAN PKR
"Manakala di pihak Majlis Syura Ulama pula, hendaklah meneliti kembali Tahaluf Siyasi bersama-sama PKR dikaji semula setelah berlaku perkara-perkara yang boleh melemahkan PAS dan merosakkan hubungan di dalam Tahaluf Siyasi."

"Saya menharapkan agar PAS Pusat segera menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji dan menilai kemerosotan sokongan pengundi Melayu kepada PAS serta menilai kembali Tahaluf Siyasi terutamanya dengan PAS sejauh mana ia menguntungkan PAS."

MEMBIDAS KARPAL SINGH
"Secara umumnya bahawa bukan sahaja hudud tapi syariat Islam itu dilaksanakan selepas berjaya mendapat keyakinan rakyat untuk memimpin Malaysia."

"Kita meneaskan bahawa pihak kami tidak bersetuju tindakan Pengerusi DAP, YB Karpal Singh yang dilihat mencampuri urusan Majlis Syura Ulama PAS yang telah diputuskan secara kolektif."

HIMPUNAN BLACK505
"Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib mengulangi bahawa parti itu tidak secara sukarela menganjur atau mengambil bahagian dalam perhimpunan itu (Black 505) kerana telah menerima keputusan pilihanraya umum ke-13."

"Saya tida berminat untuk berbuat demikian kerana untuk membantah keputusan pilihanraya itu dan saya tidak tahu kenapa mereka membantah itu (keputusan pilihanraya."

"Fikirkan kemenangan melalui kesabaran. Kesabaran adalah kunci yang membuka. Apa perlu kemenangan yang isinya belum ranum."

Kita akan melihat beberapa orang pemimpin utama kaum MUNAFIQ dalam PAS akan memberikan pelbagai ucapan serta puji-pujian terhadap Allahyarham Tuan Guru Harun Taib walaupun semasa hidupnya, merekalah yang paling kuat menentang, bahkan mengejinya kerana buah fikirannya yagn tidak selari dengan mereka. Yang amat pasti ialah, mereka sebenarnya sangat gembira kerana salah seorang penentang dan penghalang PAS daripada terus menjadi barua DAP dan PKR, sudah pun meninggal dunia.

Justeru, gerakan memurnikan PAS walaupun kehilangan seorang pemimpin yang berwibawa seperti Allahyarham Tuan Guru Datuk Harun Taib, tetap beriltizam untuk terus berjuang meletakkan PAS semula ke landasan asal perjuangan dan penubuhannya. Kehilangan pemimpin kami, tidak akan melemahkan semangat kami, bahkan akan semakin membuatka kami bersemangat walaupun kami juga sedar, kami akan berhadapan dengan seribu satu macam munafiq yang berjubah PAS tetapi berhati DAP dan PKR.

Al-Fatihah buat Allahyarham Tuan Guru Datuk Harun Taib. Beliau telah meninggalkan kita dan mendahului kita menemui Maha Pencipta. Lambat-laun kita akan mengikut jejaknya pun. Namun semangatnya terus membara dan kita tidak seharusnya meninggalkan perjuangan ini biarpun akhirnya kita turut dijemput sama.