Tuesday 5 May 2015

Hujah Dangkal Mat Sabu Sekadar Cubaan Halalkan Kebencian PKR Kepada Hudud

Semakin lama, sikap dan kecenderungan Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu ke atas kepimpinan dan perjuangan partinya sendiri, semakin ketara. Sepatutnya sebagai orang yang pernah bergelar 'Ayam Sabung PAS', Mat Sabu lebih faham tentang PAS dan perjuangan parti ini berbanding orang lain, termasuklah para pemimpin yang baru muncul dari IRC, ABIM dan sebagainya.

Barangkali selepas Mahathir tidak lagi menjadi penghulur maklumat kepadanya sepertimana ketika Mahathir masih Perdana Menteri dahulu, Mat Sabu hilang segala punca dan tindakan serta kenyataan-kenyataannya jelas tidak mendatangkan keuntungan langsung kepada parti. Malah Mat Sabu dilihat lebih condong kepada perjuangan Anwar Ibrahim dan DAP yang amat dimusuhi PAS suatu masa dahulu.

PRK Permatang Pauh sekali lagi menyaksikan Mat Sabu menjadi jurucakap PKR dan keluarga Anwar Ibrahim berbanding memperjuangkan hasrat parti yang mahu memartabatkan Islam. Malah Mat Sabu yang seringkali dipertikaikan kedudukannya dalam saf kepimpinan bertunjangkan ulama, cuba mengeluarkan hujah serta menghalalkan perbuatan Wan Azizah dan pendirian PKR yang teguh memperlekehkan serta menentang hukum hudud walaupun hanya untuk dilaksanakan di Kelantan.

Wan Azizah pernah dipetik sebagai berkata, kononnya sebagai orang Islam dia menerima hudud kerana ia adalah perintah Allah Taala tetapi umat Islam dan rakyat Malaysia memerlukan lebih dari hudud terutama menentang kebobrokan UBN. Sokongan sebulat suara yang diberikan UBN Kelantan kepada usul Kerajaan Negeri Kelantan berkenaan hudud dikatakannya palsu dan hanya sandiwara sedangkan penentangan yang dibuat oleh PKR dan dia sendiri ke atas hudud, merupakan satu usaha untuk mengeluarkan rakyat daripada kongkongan ekonomi serta kebejatan pentadbiran UBN.

Barangkali tidak cukup bodoh untuk faham, walaupun cakapnya berbelit-belit, Wan Azizah dan PKR sememangnya bersuara senada DAP iaitu menentang hudud dan perlaksanaan hudud, bahkan menentang keras pembentangan usul hudud di Parlimen.

Antara wasiat Almarhum TGNA kepada ahli jemaah adalah, seandainya UBN mahukan Islam, maka wajib bagi kita untuk memberikan sokongan kepada mereka.

Menariknya, Mat Sabu dan sebahagian daripada para pemimpin PASMA dan Anwariyyun dalam PAS menghalang kebenaran daripada diperlihatkan kepada ahli jemaah Islamiyyah PAS sebaliknya cuba mengelabui dengan bidaah-bidaah serta taghut yang berkiblatkan DAP dan PKR.

Dalam kenyataan terbarunya, Mat Sabu menyatakan PAS amat memerlukan PKR. Justeru, dalam PRK Permatang Pauh, para penyokong PAS perlu memberikan undi mereka kepada Wan Azizah bagi membolehkan DAP dan PKR membantu PAS ke Putrajaya.

Mat Sabu mencanang kronologi peristiwa yang membuahkan Pakatan Rakyat dalam siri ceramah beliau bagi menyakinkan penyokong PAS untuk mengundi Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada pilihan raya kecil kerusi parlimen itu Khamis ini.

Malah beliau berkata mantan Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat dan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah memimpin Kelantan dan Terengganu hanya apabila PAS bergading dengan parti politik lain.

"Tahun 1978 kita lawan BN tetapi tidak menang, tidak boleh ambil semula Kelantan, tahun 1982, kita lawan semula BN untuk ambil Kelantan pun tidak boleh juga, tahun 1990, bila BN pecah, kita tahaluf dengan Semangat 46, kita lawan UMNO, kita menang dan tawan Kelantan.

"Nik Aziz jadi menteri besar selepas menang, maknanya kita ambil pakatan politik dan bukan PAS seorang," katanya di hadapan kira-kira 150 ahli PAS dan orang luar yang datang memerhati di Markaz Besar PAS Pejabat ADUN Permatang Pasir.

" Kita menang di Terengganu setelah ada barisan alternatif walaupun Keadilan tidak berapa besar di Terengganu, kita sokong dia, dia sokong kita, Tok Guru Haji Hadi dapat menjadi menteri besar Terengganu.

"Hasil daripada pakatan dan keadilan," kata beliau, merujuk kepada kejayaan PAS menubuhkan kerajaan negeri di Terengganu pada pilihan raya umum 1999 namun ia tewas pada PRU seterusnya.

Kupasan sejarah itu diungkit Mat Sabu berikutan gertakan ahli-ahli PAS di peringkat akar umbi yang mengancam mahu menafikan 10,000 undi untuk Wan Azizah di Permatang Pauh. Mereka marah kerana tindakan PKR membidas Hadi sebelum ini.

Dalam ceramahnya, Mat Sabu juga berkata hasil kerjasama dengan DAP dan PKR, pemimpin-pemimpin PAS dapat rasa menjadi menteri besar di negeri-negeri lain seperti Perak dan Kedah.

Yang tidak disebutkan oleh Mat Sabu ialah, PKR dan DAP sebenarnya yang banyak menang kerusi, berjaya menawan Pulau Pinang dan Selangor, bahkan Perak dengan bantuan serta pergantungan kepada PAS.

Mengapa Mat Sabu memperlekehkan partinya sendiri?

Kecil sangatkah, kerdil sangatkah, lemah sangatkah PAS sehingga perlu diperlekehkan oleh Timbalan Presiden sendiri? Mengapa pula agaknya, UBN menggunakan pelbagai kaedah dan dakyah semata-mata untuk mengalahkan PAS jikalau PAS sangat lemah seperti persepsi yang cuba ditimbulkan oleh Mat Sabu?

2 comments:

Anonymous said...

Mat Sabu ingatkan pengundi ahli PAS utk kenangkan "budi" PKR dan PAS. Jasa apa ye ? Yg kita tahu dan ketara sangat kedua-dua parti ini memang tegar utk menyokong pihak gereja katolik bagi mensyirikkan kalimah ALLAH. Sekarang "budi" yang terbaru mereka adalah utk meminta ahli PAS supaya mengenepikan sahaja HUDUD Islam. Mungkin Mat Sabu nak beritahu bahawa PKR dan DAP jauh lebih penting dari hukum Islam itu.

Boleh ke kita anggap PAS sebagai parti yang kononnya mewakili Islam selepas ini agaknya?

Anonymous said...

Nabi SAW kepada orang yang bertanya kepada beliau tentang Hari Kiamat,
"Jika urusan dilimpahkan kepada orang yang bukan ahlinya, tunggulah Hari Kiamat".
(Diriwayatkan Al-Bukhari hadits no.59 dan 6496 dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'Anhu