Wednesday 29 January 2014

Dewan Ulama PAS Perak Kecam DUN Kajang Kerana Khianati PAS


1. Seperti mana yang telah sedia maklum, PAS, PKR dan DAP telah melakukan hubungan “tahaluf siyasi” (pakatan politik) sejak sekian lama. Perkara ini diharuskan syarak berdasarkan nas-nas daripada hadis Nabi S.A.W, walaupun terdapat perselisihan (khilafiah) di kalangan ulamak terhadap pakatan dengan parti-parti bukan Islam. (rujuk artikel Ustaz Ismail Haniyyeh, ikhwanwiki.com)

2. “Tahaluf” (pakatan) secara umum di dalam bahasa Arab bermaksud perjanjian atau kesepakatan di antar dua belah pihak untuk saling tolong menolong untuk berhadapan dengan musuh bagi kedua-dua kumpulan itu. (rujuk Dr Munir Ghadban, at Tahaluf as Siyasi fil Islam)

3. Maksud tahaluf (pakatan) dari aspek Islam berdasarkan hadis Shahih Bukhari (5619) Shahih Muslim (4595) Sunan Abu Daud (2536) dan lain-lain ialah perjanjian atau kesepakatan untuk tolong menolong antara satu lain. (rujuk Dr Munir Ghadban, at Tahaluf as Siyasi fil Islam)

4. Isu yang terjadi hari ini ialah perletakan sebagai ADUN Kajang, bagi memberi laluan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di kawasan tersebut. Apabila perletakan jawatan tersebut secara rasmi, PKR mengumumkan perancangan tersebut tanpa perbincangan dan kesepakatan dengan PAS dan DAP.

5. Sepertimana yang sedia maklum, setiap kali berlakunya pilihanraya kecil khususnya, semua jentera dari kalangan Pakatan Rakyat akan mengerahkan ahli masing-masing untuk memenangkan kawasan tersebut bagi mengalahkan UMNO dan Barisan Nasional. Hatta kemenangan ADUN Kajang juga hasil kesepakatan bersama dan hasil tolong-menolong antara PAS, DAP dan PKR.

6. Tetapi perancangan PKR yangdibuat bagi mengadakan pilihanraya kecil di Kajang telah dilakukan di luar perbincangan bersama PAS, menyebabkan tiada kesepakatan bersama berlaku, dan boleh mengundang kepada pengkhianatan Yahudi terhadap perjanjian bersama Nabi Muhammmad S.A.W yang bermula dengan “perancangan belakang tabir” :

a. Peperangan Bani Nadhir, berpunca apabila Yahudi melakukan perancangan belakang tabir untuk mengkhianati perjanjian atau persepakatan dengan Islam. Mereka juga turut merancang komplot untuk membunuh Rasulullah S.A.W.

b. Peperangan Ahzab, sekali lagi Yahudi Bani Nadhir melakukan perancangan belakang, apabila bersepakat dengan musyrikin Makkah, sedangkan di dalam perjanjian dan persepakatan bersama Islam, meletakkan larangan bekerjasama dengan musuh kepada rakyat Madinah.

c. Peperangan Bani Quraizah juga menyaksikan komplot yahudi dengan musyrikin Makkah melalui perbincangan dan perancangan belakang tabir mereka nagi membalas dendam terhadap Rasulullah S.A.W lantas mereka mengkhianati persepakatan bersama Islam.

d. Peperangan Khaibar terjadi kerana ia merupakan markas atau pusat “perancangan belakang tabir” bagi orang yahudi. Hasil daripada keputusan markas ini ialah pengkhianatan terhadap persepakatan mereka bersama Rasulullah S.A.W.

7. Perlu tahu, antara tujuan kesepakatan atau pakatan (tahaluf) dibuat ialah untuk menolak kezaliman (rujuk artikel Ustaz Ismail Haniyyeh,ikhwanwiki.com). Ia bukan untuk dibuat tanpa tujuan itu sepertimana ADUN Kajang meletakkan jawatan tanpa sebab keuzuran dan menyebabkan boleh dibuat pilihanraya kecil dengan sesuka hati.

8. Ustaz Ismail Haniyyeh menyatakan di dalam ikhwanwiki.com bahawa antara syarat tahaluf siyasi ialah “tidak menjadikan tahaluf siyasi itu sebagai matlamat, sebaliknya ia hanya dijadikan wasilah atau cara sahaja”. Iaitu tahaluf siyasi hanya dijadikan sebagai saluran untuk menolak kezaliman bukan sebagai matlamat perjuangan.

Ustaz Norazli Musa
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Perak
29 Februari 2014
27 Rabi’ul Awwal 1435

No comments: