Monday 5 May 2014

Tengok Dengan Mata, Fikir Dengan Akal Bagaimana DAP Tengah Kepung Kita Dengan Berita Yang Kita Nak Dengar

Antara perkara yang seringkali melemahkan sesuatu perjuangan ialah apabila diberikan pujian serta dikhabarkan berita-berita yang kita ingin dengar. Walaupun pujian dan khabar-khabar berita tersebut adalah yang sebenar, tetapi sebagai manusia yang tidak lepas daripada melakukan kesalahan dan alpa, itulah sebenarnya yang sangat digemari. Justeru, sebarang berita benar tetapi tidak menyeronokkan, biasanya segera dilabelkan sebagai FITNAH JAHAT atau tidak benar walaupun kebenarannya terserlah sepertimana yang berlaku dalam kes liwat Anwar Ibrahim.

PAS juga berhadapan dengan benda yang sama. Walaupun ramai yang menegur kepimpinan PAS agar tidak terlalu leka dan alpa dengan segala pujuk rayu serta pujian yang diberikan terutama sekali dari para pemimpin DAP, hakikatnya yang berlaku adalah sebaliknya.

Sehinggakan suara rasmi PAS, HARAKAH turut terlebih sudu dari kuah dengan memberikan liputan dan ruang yang sangat besar kepada pemimpin dan aktiviti DAP berbanding pemimpin dan aktiviti PAS. HARAKAH semenjak 2008 sudah menjadi suara rasmi Pakatan Rakyat walaupun pada masa yang sama, Keadilan dan Roket tidak memberikan ruang yang sebegitu besar kepada PAS.

Hudud menjadi tajuk penting beberapa minggu kebelakangan ini. Lebih hangat lagi hudud diperkatakan ialah apabila UMNO menyatakan persetujuan untuk bersama-sama PAS membentangkan dan menyokong usul hudud untuk perlaksanaan di Kelantan.

DAP dan PKR tidak dapat menyembunyikan kemarahan mereka. Pelbagai tohmahan, kata keji, bahkan suruhan agar PAS keluar dari Pakatan Rakyat telah dibuat. Ketua Publisiti DAP Pusat malah menggesa agar pucuk pimpinan Pakatan Rakyat menyingkirkan PAS daripada gabungan tersebut.

DAP dan PKR menjangkakan, PAS akan merengek-rengek dan membatalkan keinginan serta cita-cita untuk melaksanakan suruhan Allah Taala itu. Sebaliknya, hikmah daripada penentangan DAP, PKR dan parti-parti komponen BN seperti MCA, MIC, GERAKAN dan SUPP memberikan ruang dan peluang kepada PAS untuk menggamit semula nostalgia 1969 apabila PAS menyertai Perikatan. Sebaik-baik sahaja PAS menyertai Perikatan, gabungan tersebut terus bertukar nama menjadi Barisan Nasional.

Mereka terlupa bahawa PAS ada Allah Taala. Tawakkal kepada Allah Taala mengatasi keyakinan terhadap kerjasama Pakatan Rakyat. Tawakkal dan istiqomah kepada Allah Taala, tidak akan dihampakan, sebaliknya tawakkal dan istiqomah kepada Pakatan Rakyat akan membuatkan PAS semakin dihina dan terhina. Tidak sahaja di pandangan manusia dan makhluk, bahkan lebih-lebih lagi pada pandangan Allah Taala.

Satu demi satu bala yang menimpa PAS, seharusnya menjadi iktibar dan pelajaran buat kita semua. Apa lagi bala yang lebih besar diturunkan kepada manusia selain daripada bala hati dan perasaan. Anggota-anggota jemaah PAS bagaikan gerombolan manusia yang tidak dapat berfikir dan sentiasa melihat keburukan orang lain, hati yang dipenuhi perasaan syak dan wasangka, angkuh, riak dan takabbur tetapi pada masa yang sama, gagal bermuhasabah serta memperbaiki amalan serta tauhid kita kepada Allah Taala.

Menjadi Ahli PAS tidak bermakna kita akan masuk ke syurga secara automatik. Kalau ada orang yang mengatakan bahawa PAS ditubuhkan atas perintah Allah, orang itu adalah jahil dan penyesat. PAS tidak ditubuhkan atas titah perintah Allah sebaliknya PAS ditubuhkan kerana keperluan umat Islam dalam sistem demokrasi yang menjadi teras siyasah di negara ini.

Kita masuk syurga kerana rahmat Allah Taala. Untuk mendapatkan rahmat Allah Taala, kita kena berusaha patuh kepada segala titah perintah-Nya dan menghindari segala larangan-Nya. PAS hanyalah salah satu daripada upaya dan usaha ke arah itu, bukannya mutlak.

Begitu jugalah halnya dalam memahami tingkah laku serta muslihat politik pihak musuh. Musuh-musuh Islam bergerak pada setiap masa, sangat aktif dan sangat kreatif. Mereka mempunyai pelbagai cara untuk memusnahkan agama dan umat ini. Mereka berpura-pura baik dengan sebahagian daripada kita, tetapi pada masa yang sama, memujuk agar sebahagian daripada kita yang terpengaruh agar memusuhi saudara-saudara seIslamnya yang lain.

Perhatikanlah apa yang dilakukan oleh DAP kebelakangan ini. Yang paling lantang menyalahkan kita adalah mereka, tetapi apabila kita mula menunjukkan ketidakpedulian, mereka segera menyalahkan UBN kononnya kita terperangkap dengan permainan politik UBN untuk mewujudkan hukum hudud di Kelantan dan seterusnya di Malaysia.

Dalam usaha mendapatkan rahmat Allah Taala, kita merintis jalan untuk perlaksanaan hudud. Berasbabkan kita, bekas Perdana Menteri Malaysia, Dr. Mahathir mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam walaupun ada zaman awal kemerdekaan, Perdana Menteri dari parti yang sama menyatakan Malaysia adalah sebuah Negara Sekular.


DAP sedang takut sekiranya kita bergabung dengan UMNO dan kemudian mendapat majoriti mudah yang membolehkan usul Hudud diluluskan untuk perlaksanaan di Kelantan. Gagal menggertak kita, DAP cuba menggunakan UMNO kerana UMNO adalah berita yang paling getik untuk kita dengar sebagai penyebab agar hudud tidak dibentangkan. DAP juga mengajak MCA, MIC dan GERAKAN untuk bersama-sama mereka menentang hudud sebagai upaya menggertak UBN yang menjadi ABANG BESAR Barisan Nasional.

Hudud bukanlah perkara politik. Hudud juga bukanlah perangkap UBN kerana kita sebenarnya yang memerangkap UBN agar patuh kepada kehendak Allah Taala. Seharusnya perjuangan kita ialah mempercepatkan dan merealisasikan perlaksanaan hukuman hudud, bukannya was-was dengan UBN.

Biarkan Allah dengan kerja-Nya sedangkan kita melakukan kerja demi-Nya!

No comments: