Sunday 4 May 2014

Sememangnya Yang Tulen Tidak Dapat Tempat Di Sisi Majoriti

Kalau disuruh betul-betul melaksanakan perintah Allah Taala, sebahagian besar daripada kita akan memberikan pelbagai dalih. Kerana itulah, Allah Taala dan Rasulullah s.a.w memerintahkan agar dakwah dijalankan secara berhikmah, bukannya menerusi cerita HUKUM MENGHUKUM. Dan kerana itulah, Allah Taala menjatuhkan hukuman keras terhadap golongan yang suka mentakfirkan golongan yang lain, malah dalam Ayat 11 Surah Al-Hujurat, Allah Taala melarang kita daripada menghina dan memperlekehkan orang lain. Manakala dalam ayat seterusnya pula, Allah Taala memerintahkan agar kita tidak berprasangka dan mencari-cari kesalahan orang lain sebaliknya lebih melihat perbuatan atau muhasabah diri sendiri.

Ini dua kesalahan yang sudah menjadi darah daging kita. Kita terlalu gemar melihat kesilapan dan keburukan perangai UBN tetapi pada masa yang sama, kita terlupa tentang kain kita yang koyak. Kita momokkan kejahilan UBN tetapi pada masa yang sama, kita terlupa bahkan melakukan perbuatan yang lebih teruk dari yang dilakukan oleh UBN. Keburukan itu kita cuba sulami dan tutup dengan penampilan serta tutur kata yang menyerupai golongan mukmin tetapi hakikatnya kosong hampa.

Suatu masa dahulu, kita persoalkan UBN yang cukup gemar mengadakan majlis-majlis lagho yang berunsurkan hiburan dan maksiat. Kita kecam, kita umpat dan kita keji. Kita katakan, majlis-majlis anjuran UBN itu, walau atas alasan apa sekalipun, sifatnya adalah mengundang bala dan bencana dari Allah Taala. Sebaliknya kita pula sentiasa menganjurkan majlis ilmu yang merupakan taman-taman di syurga sebagaimana yang terakam dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w:

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Tabrani, Rasulullah saw bersabda yang aksudnya, "Apabila melewati taman syurga, hendaklah engkau duduk di situ. Istirahatlah kamu di situ." Para sahabat bertanya, "Ya Rasulullah, apakah taman syurga itu?" Nabi menjawab, "Majlis-majlis ilmu." Dalam hadith lain diceritakan, Rasulullah pernah masuk ke sebuah majlis. Di majlis itu, tampak ada dua kelompok, di mana yang pertamanya sedang berzikir, sementara yang ke duanya sedang mempelajari ilmu. Rasulullah bersabda, "Kelompok pertama adalah kelompok yang baik. Mudah-mudahan Allah mengampuni mereka. Sedangkan kelompok ke dua yang sedang mempelajari ilmu, mudah-mudahan Allah membimbing mereka ke jalan yang lurus." Kemudian baginda memilih duduk bersama kelompok majlis ilmu.

Rasulullah saw pernah ditanya oleh salah seorang sahabatnya perihal siapakah teman duduk (berbual) yang paling baik. Rasulullah saw menjawab, "mereka itu adalah orang yang bila kamu lihat, dapat mengingatkanmu kepada Allah, menambahkan ilmumu dalam pembicaraannya, dan mengingatkanmu kepada akhirat dari amal-amalnya." Orang-orang yang memiliki sifat seperti di ataslah yang paling wajar untuk dijadikan teman duduk.

Allah SWT memuliakan dan meninggikan darjat mereka kerana keberimanan mereka dan ilmu yang mereka miliki. Allah SWT berfirman yang maksudnya " ... Dan apabila dikatakan: "Berdirilah kamu, maka berdirilah, niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan". (Al Mujaadilah:11).


Malangnya, pihak kita sendiri nampaknya cukup mencintai majlis-majlis lagho yang mengembangluaskan budaya maksiat walaupun cuba diselindungkan sebagai perjuangan rakyat, kononnya walhal ianya tidak lebih daripada perjuangan menghalalkan perbuatan seorang pemimpin yang ketika berkuasa, bencinya kepada Islam, mengatasi kebencian musyrik kepada Allah Taala. Tetapi apabila dipecat daripada jawatan dan kekuasaan, dia meroyan dan melatah menyalahkan semua pihak, bahkan menuduh semua pihak mahu menganiayainya.

Bagi yang selalu mengikut kelas pengajian al Quran, tentu sekali kita akan maklum bahawa Allah Taala telah menyebut sebanyak 16 kali yang Dia tidak menzalimi hamba-hamba-Nya, bahkan hamba-hamba-Nya yang menzalimi diri sendiri.

Dan bagi yang juga menghadiri kelas Tauhid terutama sekali dalam hal Usuluddin, kita pasti akan tahu dan faham bagaimana fungsi Afaal dan Iradah Allah Taala menjadikan setiap kejadian itu dengan penuh hikmah, manakala manusia pula hanyalah asbab-Nya.

Segala kejadian dan peristiwa waimma kaki yang tercucuk duri sekalipun, semuanya dalam Pengetahuan dan Kehendak Allah Taala.

Begitulah yang Allah Taala tunjukkan kepada kita agar dijadikan panduan dan pedoman. 30 April sehingga 3 Mei, telah berlangsung satu majlis yang bertajuk, LANTUNAN MAHABBAH RASULILLAH S.A.W di Stadium Suka Menanti Alor Setar. Penganjurnya adalah persatuan pondok yang juga merupakan antara dai'e utama Parti Islam Se-Malaysia.


Bagaimanapun, jumlah penyertaan dan hadirin, terlalu kecil kalau dibandingkan dengan Demonstrasi 1 Mei yang tidak tentu hala tujuan, bahkan tidak mengubah sedikit pun keputusan yang telah dibuat oleh Kerajaan UBN untuk mengenakan GST kepada rakyat negara ini bagi menggantikan SST yang memberikan keuntungan besar kepada pihak-pihak tertentu termasuklah kaum pendatang asing.

Ketika tinjauan dibuat semalam iaitu pada malam akhir majlis tersebut, yang hadir cumalah 1300 orang. Menurut pihak penganjur, jumlah hadirin tidak jauh berubah dari 30 April lalu sehinggalah malam terakhir 3 Mei 2014.

Mungkin disebabkan tidak ada ceramah berdegar-degar menyalahkan orang itu, orang ini atau tidak ada cerita sensasi sebaliknya sekadar memuji-muji Rasulullah s.a.w yang telah menyampaikan perutusan Allah Taala kepada umat manusia, maka majlis ini kuranglah menjadi daya tariknya. Atau barangkali kerana di sini tidak ada demonstrasi yang bersifat revolusioner, maka anak-anak muda yang sanggup berkonvoi dan berombongan beramai-ramai ke Kuala Lumpur, tidak menghiraukannya.

Yalah, apa sangatlah memuji dan memperingati Rasulullah s.a.w berbanding berdemonstrasi untuk mendapat pujian Anwar Ibrahim dan para pemimpin DAP, kan? 


2 comments:

Anonymous said...

Antara ciri org beriman, menjauhi perbuatan lagho (sia sia), apatah lg yg mudharat dan berdosa.

Anonymous said...

Salam tuan admin,

Seperti yang pernah saya komenkan, orang yang masih di belakang Ulama dalam pas, sentiasa ditolak tepi, berbanding orang yang mengkagum peliwat dan kapir.

Cuba tuan selak dalam lidah rasmi kita serta fb pemimpin kita, ada tak di promosikan majlis ilmu nie sebagaimana mereka promosikan demo untuk peliwat itu?

Lebih malang, dalam demo tue terdapat kafir yang cuba selitkan bantah hudud dengan melabelkan kita seperti barbaric.Nauzubillah.

Saya sangat mengharapkan ada Ulama kita yang lantang dan berani untuk menentang walaupun terhadap pemimpin pas itu sendiri yang berterusan menghalang hudud ini.

Terima kasih.