Thursday, 16 January 2014

Jangan Sesekali PAS Ulangi Perangai Takut Kritikan Dari Kaum Sendiri Macam UMNO

Bagi jemaah Islam, pengajaran yang boleh diperolehi daripada musibah yang sedang melanda UBN, seharusnya menjadi panduan kepada kita dalam memperjuangkan dan memartabatkan kalimah Thoiyibbah di negara ini, khususnya. Allah Taala memberikan pengajaran-Nya dalam pelbagai bentuk dan tidak semestinya berbeza dengan bencana yang kita minta kepada-Nya untuk UBN, ia tidak bermaksud Allah Taala tidak menunaikan permintaan kita.

UBN sekarang sedang berhadapan dengan krisis kepercayaan. Pemimpin-pemimpin utamanya seperti Najib sedang mendapat kritikan keras daripada ahli-ahli parti sendiri. Manakala pemimpin-pemimpin lain UBN turut dikecam, bukan sahaja kerana mereka gagal berfungsi sebagai pemimpin, sebaliknya kerana mereka lebih pandai bercakap berbanding bekerja.

Para pemimpin UBN sekarang ini sedang menggelupur bagaikan cacing kepanasan apabila mereka dihentam, dikritik dan dibelasah oleh golongan yang selama ini setia menyokong mereka. Sehinggakan ada pula yang tidak tertahan melabelkan golongan tersebut sebagai pengancam keselamatan negara.

Takut berhadapan dengan kritikan merupakan bencana yang Allah Taala sematkan dalam hati para pemimpin UBN yang keji ini. Mereka menganggap, sebagai penyokong, maka segala tindakan mereka wajarlah disokong dan tidak boleh dikritik sama sekali. Bukan itu sahaja, sebarang cubaan untuk mendedahkan salah laku mereka pula, disifatkan sebagai menjatuhkan maruah parti.

PAS sebenarnya tidak terkecuali dalam hal ini. Suatu ketika dahulu, kecoh jugalah jemaah Islam apabila para pemimpin PAS menggelepar dan menggelupur apabila dikritik oleh penyokong-penyokong sendiri. Sehinggakan ada yang cuba mengungkit tentang konsep wala' dan tsiqah yang menjadi pegangan PAS semenjak sekian lama demi menjaga kerukunan dan keharmonian dalam parti.

Untuk lebih menyedapkan cerita, dikatakan pula, kritikan bukan tidak boleh dibuat, sebaliknya perlu mengikut saluran-saluran yang betul agar maruah parti tidak terjejas dan pihak musuh tidak mengetahui kelemahan dan kekurangan parti kita.

Yang sebenarnya, penyakit takut dikritik di kalangan pemimpin memang sejenis barah yang perlu dihindarkan. Pemimpin yang terlalu asyik mendengar cerita-cerita sedap yang bertujuan membodek dan mengampu, akhirnya tidak sahaja akan memusnahkan pemimpin itu sendiri, bahkan lebih teruk lagi memberi kesan buruk kepada jemaah.

Itu yang sedang berlaku dalam UBN sekarang. Para pemimpinnya sudah terlalu sedap dengan cerita-cerita mengampu dan tidak benar daripada para penasihat dan konsultan serta pegawai di sekeliling mereka. Akhirnya Perdana Menteri dan Presiden UBN seringkali terlucut cakap yang tidak sepatutnya. Banyak perkara yang benar, tidak disampaikan kepada Presiden UBN sehinggakan Presiden UBN tergelincir lidah dan akhirnya menerima bala kecaman daripada puak sendiri.

Kita perlu jadikan pengajaran agar dalam jemaah Islam PAS, perkara sebegini tidak berlaku. Kritikan sama ada keras atau lembut, wayar diladeni dengan sebaik-baiknya. Pemimpin yang tidak boleh dikritik sebenarnya adalah pemimpin yang sombong dan tidak memerlukan baiah kita. Biarkan pemimpin jenis ini hidup dalam kepompong dan keseronokan mereka sendiri.


No comments:

Post a Comment