Saturday, 7 December 2013
Macam Ni Baru Namanya Pesanan Yang Baik Untuk Yang Terlibat Dengan Banjir
Banjir telah berlangsung hampir seminggu. Kawasan yang teruk dilanda banjir ialah Kuantan dan Kemaman. Kuantan hampir lumpuh kerana banjir menenggelamkan hampir seluruh bandar Kuantan. Begitu juga Kemaman. Walaupun hari ini air di bandar Chukai sudah mulai surut namun kg Air Putih masih menyaksikan banjir dengan arus deras yang boleh mengancam nyawa.
Setakat semalam 6hb disember 2013 akhbar melaporkan di Pantai Timur seramai 42, 626 telah dipindahkan.
Pahang merupakan negeri paling buruk mengalami kesan musim tengkujuh ini dengan 34,235 mangsa banjir masih ditempatkan di pusat-pusat pemindahan di Kuantan, Pekan, Rompin, Maran, Jerantut, Lipis, Temerloh dan Bera. Rompin menempatkan 2,865 mangsa banjir, Pekan (3,218), Maran, (49), Jerantut (451), Lipis (33), Temerloh (167) dan Bera (61). Kuantan masih mencatatkan jumlah mangsa paling banyak iaitu 27,391 orang yang ditempatkan di 48 pusat pemindahan.
Di Terengganu setakat semalam jumlah mangsa banjir di Kemaman adalah sebanyak 2,372 (595 keluarga), Dungun 2,668 (670 keluarga), Hulu Terengganu 844 (242 keluarga), Setiu 99 (32 keluarga) dan Marang 63 (18 keluarga).
Bagaaimanakah sikap kita dalam menghadapi situasi banjir ini? Saya mencadangkan beberapa perkara berikut:
1. Bagi mangsa banjir banyakkanlah bersabar dengan sentiasa menyebut innalillahi wainna ilaihi raji'un sebagaimana diajar oleh al-Quran kepada mereka yang menghadapi musibah (rujuk surah al-Baqarah ayat 155-156). Mudah-mudahan mereka diberikan ganjaran pahala yang banyak oleh Allah menerusi musibah dan segera diganti oleh Allah dengan yang lebih baik sebagaimana sabit dalam beberapa hadis.
2. Mereka juga perlu banyak berdoa agar Allah lepaskan segera mereka daripada kedukacitaan ini dengan membaca doa-doa yang diajar oleh Rasulullah saw seperti
حَسْبِيَ اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ "
Cukuplah Allah bagi diriku dan Dialah sebaik-baik tempat menyerah diri
Surah Aali Imran ayat 173
Amalkan Doa Nabi Yunus ketika dalam perut ikan Nun dalam surah al-Anbiya ayat 87:
لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
Tiada Ilaah yang ditaati melainkan Engkau. Maha suci Engkau sesungguhnya aku tergolong kalangan orang yang menzalimi diri
3. Bagi bukan mangsa banjir inilah waktu kita menunjukkann keprihatinan terhadap mangsa banjir sebagai lambang ukhuwwah persaudaraan Islam dan persaudaraan kemanusiaan. Kesusahan mereka adalah kesusahan kita juga. Dicubit peha kanan yang kiri juga terasa. Rasulullah saw adalah yang paling prihatin terhadap umat sehingga Allah gambar baginda sebagai "merasa berat ke atas dirinya apa yang kamu semua deritai". Rujuk surah al-Taubah 128.
4. mangsa banjir memerlukan sokongan moral. Maka marilah kita turun mengunjungi mereka dengan sekurang-kurangnya melemparkan senyuman kprihatinan dan tanya khabar yang pasti sahaja menggembirakan mereka. Nabi bersabda: sesiapa yang melepaskan satu kedukacitaan daripada saudaranya di dunia maka Allah kepaskan kedukacitaannya di hari Akhirat." Hadis riwayat Muslim
5. Mangsa banjir di kala ini memerlukan bantuan makanan, selimut, tikar, pakaian, pampers anak. Maka marilah kita segera hulurkan bantuan kewangan kepada mereka sama ada menerusi pelbagai pihak yang sedang mengumpulkan dana dan menyediakan kelengkapan atau dengan turun sendiri menemui penyelia pusat pemindahan dengam membawa bahan-bahan keperluan.
6. Bantuan untuk mereka tidak boleh terhenti setakat berakhirnya banjir malah mereka memerlukan bantuan untuk kembali bangkit untuk hidup kerana mereka telah kemusnahan harta benda yang banyak sama ada rumah, kenderaan, pakaian, alatan rumah dan dokumen rasmi. NGO-ngo kebajikan perlu merancang bantuan kewangan untuk mereka menghadapi sekurang-kurangnya sesi persekolahan baru.
Moga banjir yang berlaku memeberi hikmah yang besar. Moga musibah ini membawa kita semua kembali kepada Allah. Moga doa mangsa banjir dan kita semua kepada Allah serta keprihatinan kita terhadap mangsa banjir diganti oleh Allah dengan keberkatan hidup untuk rakyat Malaysia.
Allahu Akbar. Allahu Akbar Allahu Akbar walillahil hamd.
YB Ust Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus
No comments:
Post a Comment