Thursday, 26 December 2013

GULING KERAJAAN: Sampai Bila Kita Terus Amalkan Perangai Munafiq?


Himpunan pada tengah malam 31 Disember 2013 sebenarnya tidak ada kena-mengena dengan PAS. Menteri Besar Kelantan telah pun membuat pengumuman, PAS Kelantan tidak akan bersama-sama menjayakan demonstrasi itu. Dengan kata lain, PAS Kelantan tidak akan menghantar wakil, tidak akan menghantar peserta dan tidak akan membiayai sebarang perbelanjaan ahli-ahli PAS untuk berdemonstrasi di Dataran Merdeka.

Alasan Ahmad Yaakob ialah, PAS Kelantan tidak bersetuju dengan slogan GULING KERAJAAN yang telah dimasyhurkan oleh SAMM pimpinan Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard. Chegu Bard terlibat kontroversi dengan Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang apabila menuduh Tok Guru Presiden sebagai PENIPU kerana mendedahkan perangai seorang calon PKR yang terlibat dengan PIL KUDA.

Secara rasminya PAS belum terlibat dalam himpunan ini. Dan sekalipun PAS Kelantan telah membuat pengumuman bahawa mereka tidak akan terlibat, PAS negeri-negeri lain pasti akan membantu untuk menjayakan perhimpunan yang dianjurkan oleh Chegu Bard itu.

Alasan perhimpunan adalah untuk melahirkan kemarahan rakyat terhadap kenaikan harga yang telah diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan sepanjang bulan November-Disember 2013.

Sebenarnya kalau PAS yang menganjurkan demonstrasi, kita biasanya akan memastikan para peserta akan mengawal sikap dan bertata tertib dari pra sehingalah pasca demonstrasi. Itu sebab, kita tidak pernah mendengar, demonstrasi anjuran PAS dikaitkan dengan usaha menggulingkan kerajaan.

Tetapi apabila PKR dan DAP mengambilalih urusan demonstrasi, sememangnya itulah yang mereka cuba lakukan. DAP menerusi Ngeh dan Nga di Perak telah menjadi dalang dengan menggunakan ahli-ahli PAS untuk berdemonstrasi berbaring di atas jalanraya menghalang rombongan DYMM Raja Muda Perak daripada menghadiri upacara mengangkat sumpah Menteri Besar Perak yang baru pada Februari 2009. Walaupun PAS sebenarnya tidak terkesan langsung dengan perubahan kerajaan negeri, tetapi yang cukup meroyan pada waktu itu adalah Nizar Jamaluddin, orang PAS tetapi hati dan keseluruhan perasaannya adalah DAP!

DAP cuma cuci tangan dan bercekak pinggang. Ahli-ahli kita pula yang bersikap berlebih-lebihan walaupun kuota kita cumalah jawatan Menteri Besar Perak yang hanya berfungsi sebagai boneka tanpa sebarang kuasa. Usaha-usaha DAP selepas itu adalah untuk menggulingkan Kerajaan Negeri yang diambilalih oleh Zambry setelah tiga orang ADUN Pakatan - dua dari PKR dan seorang dari DAP - lari menyeberang menjadi ADUN Bebas.

Kemudian muncul pula BERSIH dan beberapa demonstrasi lain yang dianjurkan oleh PKR dan DAP dengan PAS sebagai pak turutnya. Kesemua demonstrasi tersebut bertujuan untuk menggulingkan kerajaan kalau kita dengar pada ucapan Anwar Ibrahim.

Dan menariknya, yang bersikap berlebih-lebih adalah ahli-ahli PAS. Segelintir ahli-ahli PAS yang sudah terlalu kemaruk hendak mencetuskan revolusi, berkempen dengan menggunakan media baharu untuk tujuan menggulingkan kerajaan.

Kali ini juga nampaknya perkara yang sama berlaku. Telah dikesan, mereka yang memperkatakan tentang penggulingan kerajaan pada tengah malam 31 Disember 2013 menerusi demonstrasi jalanan, adalah segelintir ahli-ahli PAS sendiri.

Pimpinan pula terus membuat penafian tanpa mahu menyiasat, bahkan menuduh pihak lawan membuat fitnah walaupun terang-terang, bukti yang ditunjukkan adalah ahli jemaah kita sendiri.

Sampai bila sebenarnya kita hendak meneruskan sifat munafik ini? Pada ketika kita menyatakan bahawa demonstrasi tidak akan menggulingkan kerajaan, kita terlupa bahawa sebenarnya itulah yang dimahukan oleh musuh-musuh agama dan umat Islam. Tidak perlu membawa senjata, cukup dengan jeritan dan huru-hara yang dicetuskan bagi membolehkan campurtangan yang lebih besar dan lebih menyeluruh.

Pimpinan sudah menunjukkan jalan salah kepada ahli. Kalau tidak menyokong, lebih baik kita tangani segera parasit yang merosakkan nama baik PAS ini. Kalau kita menyokong penggulingan kerajaan menerusi demonstrasi, elok kalau kita buat betul-betul. Jangan kita main celup-celup kerana yang pasti, ahli-ahli kita juga yang akan dikerah beramai-ramai untuk menjayakan demonstrasi anjuran SAMM yang merupakan NGO PKR dan dipimpin oleh orang yang memperlekehkan Presiden kita. 

Berhentilah daripada terus bersikap munafik dan luruskan perjuangan kita tanpa perlu kita takut-takut kepada TAHALUF SIYASI yang nampaknya telah merugikan kita dalam semua perkara!

1 comment: